Anda mempunyai akaun blogger?

Monday, November 29, 2010

MAKAN LEMPENG NYIUR DI KEDAI MAKAN SUKA RAMAI KG. MERAGA BERIS

Pada petang semalam, kami bertolak ke Kuala Terengganu agak lewat dan perut pula tidak terisi pula dengan apa-apa makanan petang. Akibatnya perut mula la berkeroncong sepanjang perjalanan dari Kuantan ke Kemaman. Apalagi sampai sahaja di Kg Meraga Beris, suami mengajak untuk singgah makan di Kedai Makan Suka Ramai yang biasa kami singgah sebelum ini jika melalui jalan pantai pada lewat petang. Sebenarnya kedai ini hanya beroperasi pada waktu petang sehingga lewat malam dan tutup pada siang hari.


Kedai ini terletak di Kg Meraga Beris dan berada di dalam daerah Kemaman. Jika anda biasa menginap di Awana Kijal Hotel, Warung Lempeng Nyiur ini adalah terletak selepas hotel tersebut jika dari Kuala Terengganu dan berada di sebelah kiri jalan yang anda lalui. Manakala jika anda dari arah Kuantan, kedai ini terletak di sebelah kanan anda dan sebelum Awana Kijal Hotel. Sila klik di sini untuk ke google maps. Kedai ini tiada papan tanda diletakkan di hadapan warongnya, dan mungkin jika anda masuk ke dalam kedai ini barulah anda terlihat papan tanda kedai ini di dalam kedainya.



papan tanda Kedai Makan Suka Ramai di dalam warong ini.


papan tanda SUP KAMBING sahaja yang ada di luar warong ini



Selain daripada menempah masakan panas, kami turut membuat pesanan lempeng nyiur sebagai makanan sampingan. Kadang-kadang anak saya hanya makan lempeng nyiur sahaja dan sudah cukup memadai kerana lempeng ini diperbuat daripada tepung gandum. Oleh itu, Lempeng Nyiur ini dikategorikan makanana yang berkarbohidrat dan khasiatnya juga seumpama nasi. Lempeng nyiur di Kedai Makan Suka Ramai ini sedap kerana disediakan bersama kuah kari daging. Kadang-kadang kami akan membuat pesanan tambahan yang lain kerana tidak mencukupi kerana semua anak-anak dan saya sendiri menyukainya.



lempeng nyiur yang disediakan bersama kari daging




Share

Friday, November 26, 2010

FESTIVAL BATIK, SONGKET DAN KRAFTANGAN 2010 DI TTC

Saya terbaca sebuah artikel di dalam akhbar online Teganuhariini tentang sebuah program yang sedang berlangsung sekarang secara besar-besaran di Pusat Dagangan Terengganu (TTC). Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menganjurkan festival batik, songket dan kraf Terengganu 2010 bermula 25 November ini sehingga 4 Disember 2010. Program ini akan berlangsung selama dua minggu dan semua penduduk seluruh negara dijemput hadir untuk memeriahkan lagi program tersebut. Sekiranya anda tercari-cari di manakah Pusat Dagangan Terengganu ini terletak di mana, sila klik di sini untuk ke google maps.



Objektif utama festival selama dua minggu itu bertujuan merealisasikan peranan industri kraf sebagai pemangkin pembangunan ekonomi dan sosioekonomi negeri dan negara. Selain itu, ia dapat memberi peluang kepada usahawan dan pengusaha industri kraf mempromosi dan mengetengahkan produk mereka kepada masyarakat umum selain peluang mencari rakan niaga.



cara menenun songket


demonstrasi mencanting batik


Kebetulan pula pada 30hb November nanti saya akan mengikut Encik suami ke Pulau Pinang kerana ada Konvensyen di salah sebuah hotel di Batu Feringgi dan kami sekeluarga akan singgah di Kuala Terengganu terlebih dahulu sebelum bertolak ke sana. Jadi dapatlah saya singgah ke festival ini untuk melihat program yang sedang berlangsung itu. Mungkin ada pengalaman yang boleh saya kutip semasa berada di dalam festival itu nanti.


Share

Wednesday, November 24, 2010

TAK SABAR NAK BERCUTI DI HOTEL RIYAZ...

Semalam belek surat khabar Metro dari muka pertama hingga ke akhirnya, terjumpalah artikel tentang Hotel Riyaz di Pulau Duyong tu. Kebetulan pula pakej penginapan hadiah yang diterima pula dekat situ tak sabar pula nak menginap di situ cepat-cepat. Encik suami pula tak dapat menempah semasa Karnival Moonson kerana bilik sudah dipenuhkan dengan peserta Monsoon Cup nanti. Jadi semasa program itu berjalan, kami terpaksa menginap di rumah sewa Encik suami dahulu. Kemungkinan selepas Monsoon Cup dah habis, barulah dapat tidur di situ.



keratan berita yang dikeluarkan di dalam Berita Metro (23hb November 2010)



Berbalik kepada artikel yang saya baca di dalam surat khabar Metro semalam, Hotel Riyaz yang bertaraf lima bintang pada masa kini sudah terkenal berbanding dahulu. Apataknya hotel ini menawarkan pelbagai program yang gah belaka dan antaranya Monsoon Cup yang bertaraf antarabangsa. Dalam masa yang sama selain daripada dapat menerima kehadiran orang ramai di seluruh negara, penawaran kerja kepada penduduk sekitar dan ini akan menambah pendapatan mereka.




Share

Tuesday, November 23, 2010

BERHATI-HATI SEMASA MANDI MANDA DI AIR TERJUN SEMASA MUSIM TENGKUJUH

Saya terbaca satu artikel keluaran surat khabar Metro hari ini tentang kematian seorang pemuda yang sedang mandi di Hutan Lipur Lata Tembakah bersama 2 orang rakannya pada hari semalam. Arwah Ahmad bin Mustafa yang cuba membantu seorang rakannya yang tenggelam semasa mandi tambahan pula rakannya tidak pandai berenang tetapi selepas kawannya sempat diselamatkan, arwah pula yang tenggelam dan tidak timbul-timbul. Rakannya tidak dapat menyelamatkannya kerana air di situ sangat dalam dan sejuk.



keratan akhbar tentang kematian arwah Ahmad yang lemas di Hutan Lipur Tembakah



Takziah kepada keluarga mangsa atas pemergian anak yang tercinta. Sebenarnya pada musim tengkujuh ini sememangnya air di kawasan sebegini akan menjadi semakin dalam dan sejuk jadi sukar untuk kita menjangkakan apa yang berlaku. Seperti yang pernah saya pergi sebelum ini sememangnya air terjun di Hutan Lipur Tembakah sejuk, apatah lagi dengan keadaan musim tengkujuh sebegini. Jadi nasihat saya semoga pengunjung berhati-hati jika mandi di kawasan air terjun semasa musim tengkujuh seperti ini. Semoga tiada lagi malapetaka sebegini berlaku dan menjadi sempadan pada pengunjung yang berkunjung ke tempat sebegini dalam musim tengkujuh ini.


Kami sekeluarga ada juga niat untuk singgah lagi ke Hutan Lipur Lata Tembakah, tetapi kami simpan dahulu niat ini untuk ke tahun hadapan. Kami menunggu musim tengkujuh berlalu kerana semasa musim panas nanti pasti sesuai untuk mandi sepuas-puasnya dan sesuai untuk aktiviti barbeku.




Share

Sunday, November 21, 2010

YESS !! AKHIRNYA DAPAT JUGA MENUNGGANG GAJAH

Kami sekeluarga sempat singgah di Santuari Gajah Sg Ketiar semalam semasa perjalanan balik ke Kuala Terengganu. Santuari Gajah Sg Ketiar ini adalah terletak 56km dari Jeti Pengkalan Gawi dan 11km dari sempadan negeri Kelantan-Terengganu jika anda datang dari arah Kelantan melalui jalan Felda Sg Aring - Tasik Kenyir. Sepanjang perjalanan untuk ke Kuala Terengganu, kami dipersembahkan dengan keindahan panorama Tasik Kenyir yang kebiru-biruan. Ramai juga pengunjung yang singgah di sini untuk melihat sendiri gajah-gajah yang jinak ini dan bergambar dengan gajah-gajah di sini secara dekat.


gajah dengan belalainya...dan Kak long asyik mengekor di sebelah Suria je


Semasa kami singgah pada pertama kalinya beberapa bulan yang lepas, masih belum ada perkhidmatan seperti surau dan tandas tetapi kali ini semuanya telah disediakan untuk kemudahan pengunjung yang singgah ke sini. Mungkin pada masa akan datang, perkhidmatan akan bertambah seiring dengan pertambahan pengunjungnya. Dan mungkin juga pihak kerajaan akan mengenakan bayaran kepada pengunjung ke sini untuk menambahbaik kemudahan sedia ada.



ramai juga pengunjung yang datang hari ini...mungkin sudah menjelang cuti sekolah..


surau dan tandas yang disediakan untuk pengunjung..


Masa untuk melawat adalah bermula jam 11.00 pagi sehingga jam 5.00 petang. Kebetulan pula semasa kami singgah adalah masa pelawat boleh menunggang gajah iaitu bermula pukul 4.00 petang sehingga 5.00 petang, jadi saat inilah saya ambil peluang untuk menunggang gajah yang memang sukar dapat peluang sebegini dengan percuma pula tu. Kebiasaannya saya hanya melihat orang lain yang menunggang gajah di dalam televisyen tetapi pada hari semalam, saya yang alami sendiri. Walaupun ada perasaan takut tetapi dek ingin juga merasa naik gajah saya kuatkan juga semangat.


suria (gajah besar) dan kak long (anak gajah)

bergambar bersama Seri


penulis sedang menunggang gajah dengan anak



menunggang gajah di sekitar kawasan ini


Untuk memudahkan pengunjung untuk menunggang gajah, pihak berwajib telah membina satu wakaf yang bertangga untuk memudahkan pengunjung naik ke atas badan gajah. Gajah yang saya tunggangi ini bersama-sama dengan pengasuhnya adalah dinamakan Suria. Di pusat pemuliharan gajah ini terdapat 3 ekor gajah, iaitu Suria, Seri dan Kak long yang mana semuanya jinak-jinak belaka dan dibiarkan bebas bersama-sama pengunjung yang berkunjung di sini.


wakaf yang disediakan untuk pengunjung naik gajah ini


penulis bersedia untuk turun dari gajah


Aktiviti sebegini menjadikan satu memori yang indah untuk anak-anak kecil yang kebiasaannya mereka hanya melihat gajah hanya di dalam buku dan juga televisyen sahaja. Jika ada rezeki pada masa akan datang, kami akan singgah lagi untuk menunggang gajah lagi di sini. Walaupun jauh untuk ke sini, tetapi sebenarnya berbaloi kerana dapat menikmati satu pengalaman yang baru yang sukar diperolehi pada masa kini.


*pengalaman pertama di Santuari Gajah Sg Ketiar

Share

Saturday, November 20, 2010

KEMBALI KE KUALA TERENGGANU SELEPAS BERCUTI RAYA IDUL ADHA

Pada petang ini kami sekeluarga akan bertolak ke Kuala Terengganu yang akan melalui jalan Felda Sg. Aring -Tasik Kenyir. Tak sabar pula nak melihat keindahan sekitar Tasik Kenyir dan singgah di Santuari Gajah Sg Ketiar nanti. Rindu pula pada 3 ekor gajah yang pernah kami pegang dan bergambar bersama-sama beberapa bulan yang lepas semasa singgah di sini. Saya tidak dapat bayangkan pada tahun 2012 yang kawasan sekitar Tasik Kenyir yang biasa kami lalui ini akan menjadi kawasan bebas cukai. InsyAllah jika ada rezeki dapatlah merasa dan tidak sabar pula saya untuk merasai keadaan itu nanti.


Apabila melalui Jambatan Sultan Mahmud , Kuala Terengganu pula adalah perkara yang paling disukai oleh anak-anak saya kerana mereka dapat melihat muara sungai dan bangunan-bangunan di sekitar Kuala Terengganu dari atas jambatan ini. Saya sempat mengambil video kemeriahan anak-anak di dalam kereta semasa perjalananan kami ke Kuala Terengganu semasa melalui jambatan Sultan Mahmud tersebut beberapa bulan yang lepas.




inilah 3 ekor gajah yang ditempatkan di Santuari Gajah Sg Ketiar semasa singgah ke sini beberapa bulan yang lepas


keindahan sekitar Tasik Kenyir yang saya sempat rakamkan semasa berada di atas jalan raya beberapa bulan yang lepas



video
video keriangan kanak-kanak di dalam kereta semasa berada di atas Jambatan Sultan Mahmud


Kami akan berada di Kuala Terengganu selama 3-4 hari sebelum balik ke Kuantan semula kerana encik suami ada urusan kerja di Kuala Lumpur pula nanti. Dan kami akan kembali semula di Kuala Terenggau pada 28hb November pula untuk mengikuti Program Monsoon Cup di Pulau Duyong yang akan diadakan pada 30hb November hingga 5hb Disember 2010. Tidak sabar pula saya untuk melihat kemeriahan program yang bertaraf antarabangsa tersebut.



Share

Tuesday, November 16, 2010

MALAM INI BALIK KAMPUNG, TAPI SINGGAH DAHULU DI KUALA TERENGGANU!

Hari esok adalah merupakan hari perayaan yang besar-besaran bagi umat Islam selain daripada Hari Raya Aidilfitri. Pada tahun ini kami akan menyambut Hari Raya Idhul Adha ini di Kelantan, di mana tiba-tiba kami menukar rancangan asal yang hanya beraya di Kuantan.Jadi, kami akan bertolak pada malam ini juga dan singgah di Kuala Terengganu dahulu sebelum pada awal pagi kami bertolak ke kampung halaman di Kelantan. Dan kami akan dijangka sampai pada pagi raya esok. Selepas pagi solat sunat raya Idhul Adha nanti, mesti kami sekeluarga sibuk untuk menguruskan hasil korban untuk penyediaan makanan tengahari.



Menyebut tentang hari raya korban ini, saya telah mencari apakah makna dan pengertian Hari Raya korban atau Hari Raya
Idhul Adha. Marilah kita sama-sama menghayatinya.


Hari Raya Idhul Adha merupakan hari besar umat Islam di seluruh dunia dimana pada hari tersebut didalamnya terdapat suatu kegiatan yakni penyembelihan hewan ternak (Kurban) dengan tujuan mendapatkan redha dari Allah Swt. Sedangkan penyembelihan haiwan ternak (kurban) secara etimologi berasal dari kata bahasa Arab, yakni
Qaraba, Yaqrabu, Quban wa qurbanan wa qirbanan. Jadi, korban bererti mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mengerjakan sebahagian perintah-Nya. Korban dalam pengertian kita sehari-hari sebenarnya diambil dari kata udhhiyah yakni bentuk jama’ dari kata ”dhahiyyah” yaitu sembelihan pada waktu dhuha tanggal 10 sampai dengan 13 Dzulhijjah. Dari sinilah muncul istilah ”Idul Adha”.



Dengan demikian yang dimaksud dengan korban atau udhhiyah adalah penyembelihan haiwan dengan tujuan beribadah kepada Allah pada hari raya Aidil Adha dan tiga hari Tasyriq, yaitu tanggal 11, 12 dan 13 Dzulhijjah.


pada hari tersebut, umat Islam digalakkan untuk berkorban...



Makna korban adalah seperti yang berikut :

1. Merupakan pencerah jiwa kerana dengan berkurban bererti jiwa kita terhubung dengan ketaqwaan kepada Allah SWT;
2. Dapat memupuk keikhlasan, kejujuran dan kesabaran yang membimbing kita mencintai Allah dan akhirnya juga mencintai makhluk ciptaanNya.
3. Mempereratkan tali persaudaraan kepada sesama manusia serta sikap solidaritas yang tinggi; dan
4. Memperkuat keteguhan hati dan jiwa dalam diri kita.



Share

Sunday, November 14, 2010

SUTERA EKSLUSIF TERENGGANU DI KUANTAN!!

Bulan ini merupakan bulan yang terakhir untuk persekolahan pada tahun ini. Persekitaran sekolah amat sibuk terutama kami guru-guru di sekolah kerana perlu menanda kertas peperiksaan akhir tahun pelajar, menyiapkan fail-fail panitia dan juga fail persatuan, memasukkan markah ke dalam sistem, kemas bilik khas kepada guru yang memegang bilik khas , menghantar penilaian prestasi dan macam-macam lagi. Kadang-kadang bila akhir tahun sebegini, ramai antara guru yang tidak menang tangan dan kadang-kadang boleh stress melampau-lampau.



Tetapi dalam kesibukan kami ini ada juga perkara yang perlu diisi untuk menangani stress itu, dan aktiviti yang paling digemari bila ada aktiviti jual menjual. Lebih-lebih lagi jika bab pakaian, em wanita kan mesti nak cantik. Apakah ia barang itu?...Sutera Ekslusif Terengganu la apa lagi...kebiasaannya jika ingin membeli sutera dari Terengganu saya sendiri ke Pasar Payang jika nak beli sutera ini. Kiranya sutera dari Terengganu memang diminati di serata negara dan mudah dijumpai di mana-mana pun termasuk di sini.



semuanya sudah ada pembelinya...laku tau bawa 10 laku 9 helai...


aktiviti memilih....em memang cantik sutera Terengganu..corak dan warna yang menarik


Dengan kepesatan bidang ICT pada masa kini lagi meudahkan urusan jual beli seperti ini,pembeli hanya buka blog/laman web pemborong di dalam internet dan tempah melaluinya seperti di http://koleksisutera.blogspot.com. Selepas itu bayar guna kad kredit atau transfer by Maybank2U atau lain-lain perbankan, dalam masa beberapa hari akan sampailah di rumah pembeli tersebut.


Share

Saturday, November 13, 2010

BURRPPP KENYANG HARI NI DAPAT MAKAN SATAR, OTAK-OTAK DAN PAIS CHE WAN

Lepas mengambil adik dari SMK Lepar Hilir tengahari tadi kerana ada peperiksaan Mtest di situ, kami terus bergerak ke Kemaman untuk ke Kedai Che Wan Geliga, Kemaman. Lama juga tak ke sana, selepas baca balik artikel tentang satar di situ rindu la pula ngan otak-otak, satar dan paisnya. Kebetulan suami pun ada di rumah kerana bercuti di hujung minggu. Kedai Otak-Otak Che Wan ini terletak di Kg Geliga iaitu laluan ke Pantai Teluk Mak Nik dan anda akan temui kedai ini adalah terletak sebelum Sekolah Rendah Seri Geliga di sebelah kiri anda (jika dari arah Kuantan).



otak-otak...isinya ikan tenggiri yang segar..


pais..ikan selar kuning yang disalut rempah otak-otak dan di kukus dengan daun pisang...sedap cubalah rasa...



inilah satanya....isi ikan yang digaul dengan kelapa dan cili hijau serta dibalut dengan daun pisang seterusnya dibakar...



Mungkin masa kami sampai di kedai ini dalam lingkungan jam 3.00 petang dan kedai baru sahaja dibuka, jadi orang taklah terlalu ramai seperti yang biasa kami datang ke sini. Jadi selesa pula jika nak ambil gambar dengan sesuka hati, apa taknya nanti mereka kata kami ni orang yang tak pernah jumpa makanan ni la pula. Tidak sampai 5 minit selepas menempah minuman dan air, semua makanan terhidang atas meja. Apa lagi dengan cepat kami menghabiskan semua makanan tanpa meninggalkan apa-apa kecuali kulitnya. Itu menunjukkan makanannya sedap sangat sampai menjilat jari bak iklan ayam kfc pula.


sedapnya....


best..


tinggal hanya kulitnya sahaja....


Selepas habis makan dan membayar, kami terus bergerak ke masjid yang berdekatan untuk solat Zohor dan seterusnya bergerak ke Kuantan pula. Tambahan pula kami kena cepat sampai di rumah, malam ini anak saya ada majlis konvo untuk tadikanya.


Jika anda nak menempah makanan ini, bolehlah anda menelefon nombor di bawah :

Alias (013-9873557 begin_of_the_skype_highlighting              013-9873557      end_of_the_skype_highlighting)
Along (019-9007442)



Share

Friday, November 12, 2010

ESOK KE KEMAMAN JALAN-JALAN CARI MAKAN


Esok adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh saya kerana pada hari esok kami sekeluarga akan ke Kemaman, Terengganu untuk makan satar, otak dan pais di Kedai Che Wan yang sedap tu. Berkecur pula air liur bila buka balik artikel yang saya masukkan ke blog ini sebelum ini yang menceritakan tentang "Makan Satar, Otak-otak dan Pais di Kedai Che Wan" yang menceritakan keenakan makanan itu. Jika pembaca tidak biasa atau tidak pernah tahu kewujudan kedai ini, sepatutnya anda singgah dan rasainya sendiri. Mungkin setiap orang mempunyai citarasa yang berbeza dari segi makanan kegemaran.


inilah rupa otak-otak yang sedap tuh..


Kebiasaannya makanan ini akan menjadi sedap jika sumber ikan yang digunakan segar dan ramuan rempahnya juga. Seperti yang saya ceritakan sebelum ini, saya sukakan satar dan otak-otak di kedai ini kerana lembap dan tidak terlampau kering serta rempahnya yang sesuai dengan citarasa saya. Selain daripada satar dan otak-otak dikedai ini turut menjual pulut bakar, keropok lekor, keropok keping, ikan dan sotong goreng, nasi air, mi sup dan lain-lain lagi.



Jika ada antara ahli keluarga yang tidak menggemari satar dan otak-otak, bolehlah minta makanan lain di sini. Kebiasaannya makanan untuk anak kecil saya ialah nasi air. Manakala anak yang lain, selain daripada satar dan otak-otak serta pais, keropok goreng turut diminta. Em tak kenal apa itu pais?...jika nak kenal sila ke artikel sebelum ini yang pernah saya ceritakan tentangnya. Dan jika anda tidak tahu di manakah kedai ini terletak, kedai ini adalah laluan untuk ke Pantai Teluk Mak Nik. Selamat berhujung minggu....


Share

Monday, November 8, 2010

KARNIVAL MONSOON SEMPENA PERTANDINGAN MONSOON CUP 2010


JIka anda berada di sekitar bandar Kuala Terengganu pasti akan terlihat banner Karnival Monsoon sempena pertandingan Monsoon Cup 2010 ini. Saya sempat mengambil gambar banner tersebut yang diletakkan berhampiran lampu isyarat sekitar bandar Kuala Terengganu semasa cuti umum sempena perayaan Deepavaali baru-baru ini. Karnival Monsoon ini akan diadakan bermula 30hb November sehingga 5hb Disember 2010 di Ri-Yaz Heritage Marina & SPa, Pulau Duyong. Kepada pembaca yang tidak pasti di manakah lokasi Ri-Yaz Heritage Marina & Spa,Pulau Duyong ini terletak bolehlah klik di sini untuk ke google maps.



banner yang diletakkan berhampiran lampu isyarat di sekitar bandar Kuala Terengganu.

Daripada maklumat pada banner tersebut, terdapat pelbagai aktiviti yang menarik menanti kita semua. Antara aktiviti tersebut ialah Konsert, Sukan Rakyat, Aktiviti bersama artis, Permainan tradisional, Zon peminat monsoon, PenampilanUpin & Ipin, Pertandingan memancing dan Pertandingan mewarna bagi kanak-kanak. Karnival ini tidak mengenakan bayaran kepada pengunjung dan semua boleh mengikuti aktiviti yang akan diadakan nanti.



Kebetulan program ini akan berlaku semasa musim cuti sekolah, jadi dapatlah kami sekeluarga meluangkan masa menyaksikan pertandingan kapal layar di Monsoon Cup yang bertaraf antarabangsa ini. Malah sebahagian besar aktiviti yang diadakan semasa Karnival Monsoon ini bersesuaian dengan kanak-kanak, pasti anak-anak saya tidak rasa bosan semasa berada di sini nanti. Saya telah melihat jadual penuh Monsoon Cup 2010 yang boleh didapati dalam laman web Monsoon Cup iaitu http://www.monsooncup.com.my/



Oleh itu, kami sekeluarga akan cuba untuk menempah bilik di Ri-Yaz Heritage Marina & Spa semasa program ini berlangsung dengan menggunakan pakej hadiah pertandingan blog pelancongan Terengganu 2010 yang diterima penulis baru-baru ini. Selain daripada itu, hadiah ini merupakan hadiah ulang tahun perkahwinan kami yang ke - 8 pada 1hb Disember 2010.


Jadi selain daripada menyaksikan program ini, dapatlah kami menyambut hari ulang tahun perkahwinan kami di Kuala Terengganu nanti. Sebenarnya amat berbaloi usaha saya selama ini kerana selain daripada menerima hadiah yang ditawarkan, saya juga dapat penginapan percuma sempena hari ulangtahun perkahwinan kami. Sesungguhnya sepanjang tahun 2010 ini adalah perkara yang amat bermakna kepada kami sekeluarga.


Semoga kami berjaya untuk mendapatkan bilik semasa program ini berlangsung kerana semestinya ramai pengunjung samaada dari dalam dan luar negara akan berkampung di sini untuk mengikuti pertandingan atau menyaksikan pertandingan kapal layar yang berprestij tersebut.




Share

Sunday, November 7, 2010

LAYANAN KEDAI KEROPOK LEKOR BTB BAGAI TUNGGU GILIRAN KAUNTER BANK



Jika sebelum ini saya pernah memasukkan cerita tentang kesedapan keropok lekor bukit tok beng, dan kali ini sekali lagi saya akan bercerita tentang perkara yang sama. Pada hari semalam (hari Sabtu) semasa berada di Kuala Terengganu saya sempat singgah ke Kedai keropok lekor Bukit Tok Beng untuk membeli keropok lekor untuk dibawa balik ke Kuantan. Kedai ini terletak di Kampung Bukit Tok Beng yang merupakan laluan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Jika anda yang tidak biasa dengan tempat ini, sila klik untuk ke google maps.


papan tanda kedai keropok btb


masa operasi kedai keropok ini serta senarai nama beserta nombor telefon untuk tempahan.


Kebiasaannya suami saya yang akan membeli keropok di sini jika dia pulang ke Kuantan, tetapi kali ini giliran saya sendiri untuk membeli kerana kebetulan kami sekeluarga berada di sini. Pada mulanya saya amat gembira kerana di kaunter tempat membeli keropok lengang dan hanya ada beberapa pelanggan sahaja yang sedang membeli. Dengan segera saya meminta keropok lekor rebus sebanyak RM30.00 stok untuk seminggu di rumah, dengan segera gadis yang bertugas menegur supaya saya untuk mengambil nombor. Patutlah semasa saya masuk ke kedai ini ramai pengunjung yang sedang duduk dan hanya beberapa orang sahaja yang sedang berdiri kerana giliran nombornya. Tetapi di bahagian keropok lekor yang siap digoreng dan dimakan terus tidak perlu untuk beratur panjang pula.


nombor giliran saya, terpaksa menunggu kira-kira 27 orang lagi sebelum saya


semua menunggu giliran dengan duduk sahaja, tak payah nak beratur macam dulu-dulu


Tanpa berfikir panjang saya segera menekan nombor di sudut yang disediakan seperti di bank. Dalam hati saya berkata, “semakin maju kedai ini dan ramai pelanggan yang datang membeli keropok di sini dan terpaksa menggunakan sistem giliran bernombor ala-ala bank pula”. Mungkin sistem giliran bernombor ini baru dilaksanakan dalam beberapa bulan ini, kerana sebelum ini tidaklah seperti ini tetapi terpaksalah kita beratur panjang berjam-jam pula. Walaupun menunggu lama tetapi berbaloi kerana keropoknya memang sedap dan tidak jemu di makan berulang kali. Daripada perbualan saya dengan pekerja di kedai ini, sumber ikan untuk membuat keropok lekor di sini adalah daripada ikan yang segar semuanya. Tidak dinafikan keropoknya memang sedap dan jika anda ke sini pasti akan kembali lagi ke sini pada masa akan datang.


tempat merebus keropok lekor, besar dan banyak betul periuknya dan hanya menggunakan kayu api (ala tradisional juga ni)


inilah rupa keropok btb..sedap...makan masa panas-panas sedap lagi


Share

Saturday, November 6, 2010

AKTIVITI SEKITAR DI TIEP SEMPENA SULTAN'S CUP TERENGGANU ENDURANCE CHALLENGE

Perjalanan kami dari Kg. Jabi, Jerteh untuk ke Kuala Terengganu hari ini tidak disiakan begitu sahaja kerana kami singgah sebentar di Terengganu International Endurance Park (TIEP) untuk meninjau pertandingan Sultan’s Cup Terengganu Endurance Challenge. Sebenarnya daripada papan informasi yang diletakkan di sekitar kawasan TIEP ini rupanya banyak aktiviti yang diadakan selain daripada Panggung Terbuka yang telah saya masukkan ke dalam blog sebelum ini.


sempat bergambar di pintu gerbang TIEP sebelum masuk



papan informasi yang diletakkan di sekitar TIEP


Antara aktiviti yang diadakan sepanjang 5hb November dan 6hb November 2010 ialah Persembahan artis dan Panggung Terbuka pada waktu malam, demo masakan dan kraftangan Terengganu, Permainan Terengganu, Tunggangan Kereta Kuda, Gerai Jualan Produk Unik Terengganu dan lain-lain lagi pada siang harinya. Ramai pengunjung tidak melepaskan peluang melihat kuda yang masuk pertandingan kuda lasak dengan lebih dekat dan bergambar di samping kuda tersebut. Selain daripada itu, pengunjung berpeluang naik kuda dengan dikawal oleh penjaga kuda tersebut.


antara aktiviti yang sempat dirakamkan di sekitar TIEP


pentas di mana Persembahan artis dan Panggung Terbuka diadakan


penulis sempat bergambar dengan kuda yang menyertai pertandingan Sultan's Cup Terengganu Endurance Challenge



Pada pendapat saya, pertandingan Sultan’s Cup Terengganu Endurance Challenge seumpama ini dapat memperkenalkan negeri Terengganu kepada dunia luar. Selain daripada itu, aktiviti sampingan yang diadakan sepanjang pertandingan ini merupakan aktiviti yang sihat kerana dapat memperkenalkan pengunjung yang hadir ke sini dengan pertandingan kuda lasak selain dapat menjana pendapatan kepada penduduk berhampiran dengan pembukaan gerai-gerai makanan dan pameran.


Disebabkan saya singgah sebentar sahaja, kami sekeluarga tidak sempat untuk melihat semua acara yang berlaku pada hari ini. Sebelum beredar saya sempat mengambil beberapa gambar yang diambil dengan kamera baru yang dihadiahkan semasa memenangi pertandingan blog ini.


Share

Thursday, November 4, 2010

PANGGUNG TERBUKA DI TERENGGANU INTERNATIONAL ENDURANCE PARK

Sebenarnya dalam beberapa hari yang lepas ingin saya mengemaskini blog ini dengan satu program yang menarik yang akan berlaku di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong pada 5 November hingga 6 November 2010 tetapi sibuk pula dengan memasukkan artikel tentang majlis penyampaian hadiah pertandingan blog ini pula. Akhirnya niat saya dilupakan begitu sahaja, sehingga hari ini apabila semak kembali gambar-gambar di dalam telefon bimbit yang diambil sebelum ini barulah saya terperasan tentang program ini. Gambar ini diambil semasa kami sekeluarga berada di Kuala Terengganu pada minggu yang lepas.


banting yang digantung di sekitar Bazaar Warisan dan Pasar Payang


Banting tentang PANGGUNG TERBUKA banyak digantung di sekitar kawasan laluan ke Bazaar Warisan dan Pasar Payang. Daripada gambar yang digantung tersebut terdapat beberapa gambar artis daripada luar negara antaranya Jackie Chan, Shahrukh Khan dan lain-lain lagi. Mungkin filem daripada pelakon-pelakon tersebut yang akan dimainkan semasa program ini berlangsung. Selain daripada dapat melihat pertandingan kuda lasak dalam Sultan’s Cup Terengganu Endurance Challenge 2010 yang akan berlangsung pada 5 November hingga 7 November 2010, kita turut dapat melihat wayang di Panggung Terbuka juga di sini.


Jika anda merupakan pengunjung yang tidak pernah sampai ke TIEP, tempat ini sebenarnya berada di sebelah SMK Lembah Bidong, Setiu dan berada di laluan jalan Kuala Terengganu - Kelantan. Klik ke google maps untuk memastikan di manakah lokasi TIEP. Sebenarnya mungkin di dalam google maps masih belum diletakan pointnya lagi, saya hanya menggunakan SMK Lembah Bidong sebagai point kerana TIEP hanya bersebelahan dengannya.


Di kawasan sekitar di sini terdapat beberapa tempat penginapan yang boleh anda bermalam antaranya Merang Suria Resort, Aryani Resort Sdn Bhd dan Sutra Beach & Spa. Pasti berbaloi jika anda datang ke program seperti ini kerana selain itu dapat melawat ke beberapa tempat menarik di kawasan sekitar di sini antaranya Pantai Rhu Sepuluh dan juga cuba rasai sendiri kelazatan makanan laut seperti Ikan Celup Tepung, sotong celup tepung, udang celup tepung di sekitar laluan pantai ini.




Share

Wednesday, November 3, 2010

KEMENANGAN INI ADALAH UNTUK SEMUA

Jutaan terima kasih diucapkan kepada YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Negeri Terengganu , Kerajaan Negeri Terengganu, Unit Komunikasi Negeri Terengganu dan kepada semua pihak yang terlibat kerana memberi peluang kepada peserta-peserta pertandingan blog ini untuk bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan negeri untuk mempromosikan Terengganu sempena Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan. Daripada penilaian saya sendiri dengan melihat persembahan blog-blog peserta yang layak untuk pertandingan ini sebenarnya amat sengit sekali dan amat tipis sekali untuk saya mendapat kedudukan tempat yang pertama, kedua, ketiga, keempat dan kelima mahupun saguhati. Daripada bacaan ulasan hakim yang dipaparkan pada hari ini di dalam blog penganjur, mungkin ada antara kriteria pemilihan blog ini sebagai yang terbaik ada pada blog ini.



Memang saya akui, blog ini masih banyak kekurangan dan tidak sehebat blog-blog yang lain dan perlu banyak membuat pembaikan. InsyaAllah dalam masa datang saya cuba untuk melakukan beberapa pembaikan untuk cuba menangani kelemahan tersebut. Saya mengharapkan pihak di luar mengkritik secara membina untuk memastikan persembahan blog ini lebih kemas yang mempunyai informasi yang menarik serta bertujuan untuk mempromosikan pelancongan negeri Terengganu.



kemenangan yang tidak dijangkakan....


bersama pemenang tempat pertama mengikut kategori


Sebenarnya pada permulaan blog ini dibina pada awal bulan Julai, dek sikap tamak untuk mendapatkan 75 artikel sebagai syarat pertandingan saya cuba menyalin daripada beberapa artikel daripada laman-laman web lain tanpa menyatakan sumber yang diambil. Tetapi selepas membaca dengan teliti beberapa syarat yang perlu diikuti dengan berulang kali, saya melakukan beberapa perubahan dan cuba membuat artikel mengikut acuan sendiri iaitu menceritakan langkah demi langkah pengalaman yang saya alami sendiri walaupun mungkin kekurangan dari segi tatabahasa dan kurang sedap dibaca. Memang saya akui, artikel yang saya coretkan selama ini tidaklah sehebat penulis novel mahupun pemberita di luar sana.



Pada setiap hujung minggu kami sekeluarga akan mencari bahan di seluruh negeri Terengganu mengikut kawasan yang terdekat dahulu. Contohnya pada minggu pertama ke daerah Kemaman dan minggu seterusnya ke daerah-daerah yang lain pula. Kami akan membuat perancangan terlebih dahulu untuk memastikan pada setiap minggu saya dapat menyediakan sebanyak 7 artikel dalam seminggu. Dan dalam masa sehari sepanjang kunjungan-kunjungan itu, dapat saya ke lokasi-lokasi yang menarik lebih dari 10 tempat atau 10 bahan seminggu. Selain itu, ada juga tempat menarik yang saya sempat singgah semasa laluan untuk balik ke kampung halaman di negeri Kelantan. Saya amat beruntung kerana suami dan anak-anak memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang pertandingan ini berlangsung kerana kami sekeluarga sukakan aktiviti sebegini, manakala rakan-rakan sekerja pula turut menyokong serta mengkritik jika terdapat kesalahan dalam setiap artikel yang saya paparkan.



Memang saya akui, kebanyakan tempat yang kami singgah semasa mencari bahan-bahan untuk di masukkan ke dalam blog ini mempunyai keistimewaannya tersendiri. Ada juga tempat yang amat menakjubkan seperti di air terjunnya terutamanya yang paling tidak dapat dilupakan di Air Terjun Cemerong yang pasti akan saya jejaki lagi selepas ini. Begitu juga dengan pantai-pantai di negeri Terengganu yang bersesuaian untuk dijadikan tempat beriadah seperti di Pantai Batu Burok. Selain daripada itu makanan popular di negeri Terengganu seperti satar, otak-otak, ikan celup tepung, keropok lekor dan lain-lain lagi turut menjadi satu tarikan untuk pengunjung ke sini.



Walaupun banyak masa yang diluangkan untuk menyiapkan blog ini tetapi bagi saya ianya amat berbaloi-baloi kerana dapat merasai sendiri tempat alam semulajadi di negeri ini seperti di pantai-pantainya, air terjunnya dan makanannya yang enak-enak belaka. Dan walaupun banyak masa dan wang ringgit dicurahkan tetapi ianya amat berbaloi-baloi kerana negeri Terengganu di hatiku. Dan akhir sekali, sebenarnya kemenangan blog ini adalah untuk semua kerana bukan hanya untuk diri saya seorang tetapi kepada mempromosikan pelancongan negeri Terengganu.


Saya meminta maaf jika kemenangan blog ini menyebabkan pelbagai spekulasi yang kurang enak dilemparkan kepada pihak yang berkenaan. Mungkin kerana rezeki menyebelahi saya pada kali ini, dan mungkin rezeki anda pada masa akan datang lebih hebat daripada ini. Percayalah setiap manusia adalah hebat dan telah ditentukan rezeki masing-masing. Akhir kata marilah kita bersama-sama cuba untuk mempromosikan negeri Terengganu sesungguhnya berbaloi-baloi di Terengganu Kita.



Share
Related Posts with Thumbnails