Semasa melalui pekan Kuala Berang untuk pulang ke kampung semasa cuti hari raya baru-baru ini, kami sempat singgah di Memorial Batu Bersurat yang jaraknya hanya 2 kilometer daripada jalan utama. Tujuan memorial ini dibina di pekan ini kerana untuk memperingati penemuan Batu Bersurat oleh orang-orang kampung pada tahun 1887. Selain itu, kerajaan negeri turut mewujudkan Memorial Batu Bersurat di sini sebagai tempat kajian dan kunjungan penduduk di negeri ini khasnya dan pelancongan amnya.
tulisan penerangan pada Batu Bersurat
Tulisan bertarikh 702 Hijrah dalam bahasa Melayu dengan tulisan jawi itu menjelaskan Islam sebagai agama rasmi dan hukum-hukum Islam mengenai perbuatan maksiat dan kenyataan palsu serta dengan hukum mengikut taraf seseorang. Pada masa ini Batu Bersurat tersebut dipamerkan di muzium negeri untuk membolehkan generasi hari ini melihat dengan lebih dekat mengenai sejarah batu tersebut.
pandangan Memorial Batu Bersurat secara dekat
Memorial Batu Bersurat
Daripada bacaan pada penerangan di tugu yang dibina di luar bangunan Memorial Batu Bersurat oleh kerajaan negeri menerangkan :
“Memorial ini didirikan berhampiran dengan tapak asal penemuan Batu Bersurat Terengganu. Pembinaannya adalah bertujuan memperingati penemuan Batu Bersurat oleh orang-orang kampung pada tahun 1887. Ada juga yang mengatakan bahawa Batu Bersurat ditemui oleh seorang pedagang Arab bernama Said Husin bin Ghulam Al-Bokhari yang datang dari Riau, Indonesia pada tahun 1902.
Batu Bersurat ketika ditemui, dikatakan telah dijadikan sebagai tempat pengalas kaki untuk naik ke surau. Tulisan yang terpahat di batu tersebut merupakan pengisytiharan undang-undang Islam, yang ditujukan kepada pemerintah dan rakyat negeri Terengganu pada kurun keempat belas Masihi. Dengan penemuan Batu Bersurat ini, jelas membuktikan bahawa agama Islam telah berkembang di negeri Terengganu dan telah menjadi agama rasmi negeri inipada tarikh tersebut.
Walaupun tulisan batu bersurat bertarikh 1303 Masihi, ada kemungkinan bahawa agama Islam telah disebarkan di negeri ini lebih awal iaitu satu abad sebelumnya. Tulisan yang terpahat pada batu bersurat ini dipercayai yang tertua pernah ditemui di Negara ini, bahasanya merupakan percampuran di antara bahasa Melayu Lama, Sanskrit dan bahasa Arab. Memorial ini direka bentuk segi empat sama berukuran 11400 cm x 11400 cm dan bertingkat tiga belas.
Ia telah dibina paa bulan Oktober 1989 dan siap pada tahun 1990 di atas lot tanah seluar 6.12 ekar. Memorial ini telah dirasmikan oleh Y.A.B Dato’ Seri Amar Diraja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu pada 13hb April 1992.”
memorial batu bersurat
No comments:
Post a Comment