Kami sekeluarga telah singgah di sini pada minggu yang lepas selepas membeli belah di Pasar Payang. Untuk sampai ke puncak bukit ini, saya dan anak-anak terpaksa naik tangga yang tingginya hampir 200 meter. Sebenarnya kerajaan negeri telah membina tangga bergerak dari Bazar Warisan, tetapi disebabkan semasa kami membuat lawatan ke sini kawasan tanah di bahagian tangga tersebut mendap dan masih dalam pengubahsuaian. Mungkin pada masa akan datang tangga bergerak tersebut berfungsi kembali seperti sediakala.
Dari atas Bukit Puteri ini, anda akan dapat melihat kesibukan kota Kuala Terengganu dan kapal-kapal yang berlabuh pesisiran lautnya. Pemandangannya yang mengasyikkan dengan angin yang sepoi-sepoi bahasa dari arah laut dan sesuai untuk kita beristirehat di atas kerusi-kerusi yang telah disediakan. Bukit Puteri ini telah dibangunkan dan dicantikkan lagi oleh pihak kerajaan dengan pembinaan kerusi-kerusi dan wakaf untuk berehat.
Bukit Puteri ini pernah dijadikan tempat pusat mengawal keselamatan dan keamanan negeri ini kerana terdapat beberapa meriam, tempat penyimpanan peluru dan juga ubat bedil. Selain daripada itu, di atas bukit ini juga terdapat rumah api yang digunakan oleh pelayar-pelayar kapal sebagai isyarat yang mereka menghampiri daratan negeri ini. Ini menunjukkan pada zaman dahulu yang kawasan ini adalah merupakan tempat persinggahan kapal-kapal dan juga merupakan negeri yang menjalankan perdagangan yang maju dengan negara luar. Ini dapat dibuktikan dengan kewujudan Kampung Cina “Chinatown” dipinggir laut negeri Terengganu ini.
membuktikan meriam di sini masih kuat dan kukuh
gambar penulis yang diambil oleh petugas di Bukit Puteri
Daripada carian di dalam laman web Arkib Negara Malaysia, Bukit Puteri turut kepada kisah Tuan Puteri yang pernah menjadi pemilik bukit ini. Satu lagi kesan sejarah yang masih terdapat di atas Bukit Puteri hingga sekarang ialah sebuah Genta Besar (Loceng besar). Genta ini sentiasa ada di atas Bukit Puteri sejak daripada zaman Raja-raja dahulu lagi. Sekiranya rosak genta itu diganti dengan yang lain pula. Genta yang ada sekarang ini diperbuat pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III iaitu kira-kira dalam tahun 1908. Tujuan pembinaan genta ini adalah untuk memasyhurkan sesuatu ancaman yang melanda negeri seperti orang mengamuk dan kebakaran. Genta itu juga digunakan sebagai isyarat seperti musuh melanggar negeri dan sultan berangkat ke masjid untuk mengerjakan solat.
No comments:
Post a Comment