Wednesday, September 8, 2010

MASJID KRISTAL IKON TAMAN TAMADUN ISLAM

Kami sekeluarga menziarahi masjid kristal selepas melawat Taman Monumen di Taman Tamadun Islam pada bulan lepas. Cerita tentang ziarah di masjid itu terpaksa dilewatkan kerana kekurangan gambar dan gambar yang diambil semasa lawatan tersebut kurang memuaskan kerana beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. Selepas gambar tersebut diedit, saya rasa kali ini sesuai untuk dimasukkan ceritanya di dalam blog pada hari ini.


Masjid Kristal sebuah masjid yang menarik dan bercirikan teknologi moden

panorama di waktu pagi di Masjid Kristal (matahari sedang naik)


kanak-kanak bergambar di Masjid Kristal (kurang jelas)


Masjid Kristal merupakan sebuah masjid yang terletak dalam kawasan pelancongan Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, Terengganu. Masjid Kristal ini juga dianggap ikon kepada Taman Tamadun Islam. Masjid ini dibina daripada kaca dan keluli, masjid pintar pertama di Malaysia dan mempunyai keluasan 2,146 meter persegi. Masjid ini boleh memuatkan 700 jemaah pada satu-satu masa dan dilengkapi dengan prasarana teknologi maklumat dan liputan WiFi yang membolehkan pengunjung menggunakan kemudahan akses internet bagi membaca al-Quran elektronik.


gambar gelap yang telah diedit


Masjid Kristal ini lebih cantik dan menarik di waktu malam kerana warna lampunya pada kubah masjid akan berubah dalam beberapa saat dan berselang seli. Disebabkan masalah cuaca, keadaan gelap dan peralatan yang kurang canggih gambar yang diambil terlalu gelap dan tidak nampak kecantikan di depan mata. Jika anda ingin merasai sendiri kecantikan masjid ini pada waktu malam, di sini turut disediakan rumah tetamu. Rumah tetamu ini dibina berdekatan dengan Masjid Kristal dan bersebelahan dengan laut serta yang menawarkan sewa/harga yang berpatutan. Selain daripada dapat menikmati keindahan malam di sini, kita turut boleh beramal ibadah di dalam masjid ini dengan lebih tenang.



panorama indah dengan cahaya lampu pada kubahnya akan berubah-rubah warnanya pada waktu malam (kurang jelas)


rumah tetamu yang berhampiran dengan Masjid Kristal


Buat pengetahuan pengunjung blog, Masjid Kristal ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama-sama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah telah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Kristal di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu pada 8 Februari 2008.



No comments:

Post a Comment