Anda mempunyai akaun blogger?

Sunday, August 29, 2010

PANORAMA YANG MEMPERSONAKAN DI TASIK KENYIR

Kami sekeluarga singgah di Tasik Kenyir, Terengganu semasa perjalanan ke Gua Musang dua hari yang lepas . Tasik Kenyir terletak kira-kira 55 km dari Kuala Terengganu. Kami sekeluarga biasa melalui kawasan ini jika pulang ke kampung, tetapi inilah kali pertama kami singgah ke sini. Dari atas jalan raya keindahan tasiknya tidak dapat dipertikaikan kerana dengan warna airnya yang kebiru-biruan dan beberapa pulau yang turut kelihatan memberikan satu panorama yang amat mempersonakan kepada sesiapapun yang berada di sini. Saya tidak dapat membayangkan keseronokan yang kami akan alami jika dapat bercuti di sini. Mungkin suatu hari nanti saya akan cuba mencari ruang untuk bercuti di sini bersama keluarga.



papan tanda di Tasik Kenyir beserta senarai tempat yang menarik untuk dikunjungi dan tempat penginapan


bergambar beramai-ramai dengan ahli keluarga


Semasa kami berada di Jeti Pengkalan Gawi ini, ramai pengunjung yang sedang bersiap sedia untuk menaiki bot yang bertujuan untuk mengelilingi kawasan tasik atau untuk ke tempat penginapan. Pengunjung boleh membeli tiket untuk menaiki bot tersebut di kaunter yang telah disediakan di sini. Selain daripada itu,pejabat pusat penerangan pelancongan turut dibina untuk memudahkan para pengunjung mencari maklumat tempat-tempat yang menarik untuk dikunjungi di sini. Di Jeti Pengkalan Gawi ini turut menyediakan pelbagai kemudahan yang lain antaranya surau, kiosk, taman permainan, kedai-kedai makan dan lain-lain lagi.



Di Jeti Pengkalan Gawi serta kemudahan-kemudahan yang ada di situ


Sebenarnya Tasik Kenyir yang cantik ini adalah tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara yang merentasi 260,000 hektar. Tasik ini juga merupakan kawasan empangan batu-hidro-elektrik batu- batan terbesar di Malaysia. Apabila kawasan ini dibanjiri air, kebanyakan kawasan pergunungan berada di atas paras air, sekaligus membentuk 340 pulau buatan manusia.


mempersembahkan panorama yang memukau kepada sesiapa pun yang berada di kawasan ini


kelihatan pulau-pulau dan flora yang ada di sini


Kawasan hutan hujan yang meliputi tempat ini juga mempunyai pelbagai spesies flora dan fauna. Ini termasuk koleksi paku-pakis liar, bunga orkid eksotik, burung kenyalang, gajah dan harimau bintang. Ini adalah kawasan percutian popular bagi pengunjung yang ingin dikelilingi kawasan hutan yang indah. Ia juga menjadi tempat kegemaran pemancing kerana menempatkan pelbagai spesies ikan sungai seperti Baung, Toman, Kelisa, Lampan dan Kelah. Kawasan tasik ini juga popular untuk aktiviti kayak, naik bot, trek hutan, memandu kenderaan pacuan 4 roda dan bermain golf.


InsyaAllah jika diberi peluang pada masa akan datang, kami sekeluarga akan menginap di mana-mana tempat penginapan di sini untuk merasai sendiri keseronokan dan keindahan kawasan Tasik Kenyir ini.



0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails