Anda mempunyai akaun blogger?

Sunday, August 1, 2010

BERKELAH DI HUTAN LIPUR SEKAYU/AIR TERJUN SEKAYU

Pada hujung 2 minggu yang lepas, saya berkesempatan singgah ke Hutan Lipur Sekayu semasa perjalanan ke rumah kakak ipar di Kg.Jabi, Jerteh. Hutan Lipur Sekayu ini tersohor dengan airnya yang jernih dan sejuk.


Hutan Lipur Sekayu atau lebih dikenali juga dengan Air Terjun Sekayu terletak di dalam kawasan Hutan Simpanan Hulu Terengganu tambahan. Ianya berada di dalam daerah Hulu Terengganu, 16 kilometer dari Pekan Kuala Berang dan 56 kilometer dari bandar Kuala Terengganu. Hutan lipur tersebut mempunyai keluasan lebih kurang 405 hektar.

Jika anda ingin ke sini tanpa memandu sendiri, anda boleh menaiki bas dari Kuala Terengganu untuk ke Kuala Berang kemudian mengambil teksi untuk ke sini.




pintu gerbang masuk ke kawasan Hutan Lipur Sekayu

lokasi Hutan Lipur Sekayu (klik pada gambar untuk lebih jelas)


bergambar di depan Hutan Lipur Sekayu


Daripada pemerhatian saya semasa singgah di sini, kawasan tempat kereta di sini penuh dengan kereta dan beberapa buah bas persiaran. Ramai pengunjung yang datang ke sini kebiasaannya datang untuk berkelah atau mandi-manda di dalam air terjun sekayu. Airnya yang sejuk dan pemandangannya yang mendamaikan kepada sesiapa yang berkunjung ke sini.



rombongan penulis bergerak untuk masuk ke kawasan air terjun


Hutan Lipur Sekayu sememangnya terkenal dengan buminya yang kaya dengan pelbagai keunikan khazanah semulajadi. Hutan Lipur ini dihiasi indah dengan aliran sungai berair terjun yang dingin dan jernih pastinya menggamit suasana damai, nyaman lagi menyegarkan. Hutan semulajadinya yang berbukit dilitupi barisan hujan tropika yang menghijau, kaya dengan pelbagai spesies pokok termasuklah yang mempunyai khasiat perubatan yang tinggi juga terdapat di sini. Anda juga boleh mengenali pokok-pokok yang bernilai komersial dengan mudah kerana ia ditanda dengan nama serta keterangan ringkas.



ada juga taman orkid dalam Hutan Lipur Sekayu


taman herba ubatan pun ada...


Di sini juga terdapat banyak infrastruktur dan kemudahan-kemudahan rekreasi yang telah disediakan seperti tempat penginapan, taman permainan kanak-kanak, pondok rehat, tempat berkhemah, jalan dalam hutan (jungle tracking) dan lain-lain lagi. Selain daripada itu, kemudahan dewan turut disediakan kepada pengunjung untuk membuat aktiviti di dalam dewan contohnya sambutan hari keluarga atau lain-lain aktiviti.



gerai yang menjual pelbagai barang turut disediakan untuk pengunjung


Bagi yang cintakan keriangan, di sinilah tempatnya, boleh berkelah dan bergembira sambil mandi manda serta adakan sebarang aktiviti mengisi masa ceria anda di sini. Hutan lipur ini sememangnya sesuai untuk kita beristirehat, tidak kira sama ada bersama keluarga ataupun sahabat handai kerana ia bukan sahaja indah malah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas demi keselesaan kita.


tempat duduk turut disediakan..

dewan terbuka turut dibina di dalam Hutan Lipur Sekayu ni...

chalet yang boleh disewa kepada pengunjung yang ingin bermalam di sini

Keunikan hutan lipur ini ialah terdapat sebuah air terjun 3 peringkat yang cantik dan mempersonakan yang ianya merupakan daya tarikan utama kepada pengunjung ke sini tidak kira pengunjung dari dalam dan luar negeri. Air sungainya yang jernih dan sejuk membuatkan sesiapa sahaja melupakan segala masalah apabila mereka datang berkunjung ke sini.



ramai pengunjung yang sedang mandi


air terjun sekayu


Hayati dan terokai Hutan Lipur Sekayu...keunikan, keindahan dan keseronokan yang anda cari pastinya di sini.



Untuk keterangan lanjut dan pertanyaan, sila hubungi :


Pejabat Hutan Lipur Sekayu, 21700 Kuala Berang, Daerah Terengganu Barat,

Tel : 09-6252510


Pejabat Hutan Daerah Terengganu Barat, 21700 Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Tel : 09-6811259


Wisma Perhutanan Negeri Terengganu

Tingkat 8, Wisma Negeri, 20200 Kuala Terengganu, Malaysia. Tel : 609-6274123



0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails