Anda mempunyai akaun blogger?
Showing posts with label Tempat Menarik. Show all posts
Showing posts with label Tempat Menarik. Show all posts

Monday, March 26, 2012

5 PENERBANGAN SEMINGGU BERJAYA AIR DI PULAU REDANG



Berjaya Air Sdn. Bhd. menyambung semula perkhidmatan udara ke Pulau Redang dengan lima penerbangan seminggu menerusi Lapangan Terbang Subang di Selangor serta Lapangan Terbang Selatar dan Changi di Singapura.






Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Dato’ Mohd. Said berkata, syarikat berkenaan telah menyatakan komitmen untuk meneruskan penerbangan ke pulau peranginan itu setelah hampir empat bulan dihentikan ekoran musim tenkujuh.

Menurutnya, kunjungan pelancong domestik dan antarabangsa ke Pulau Redang melalui perkhidmatan udara begitu mendapat sambutan khususnya dari Singapura yang mengatasi jumlah penerbangan ke Pulau Langkawi, Pangkor dan Tioman.





“Kerajaan negeri sentiasa perhebatkan promosi pulau-pulau peranginan di Terengganu. Hasil yang dapat kita lihat, penerbangan ke Pulau Redang paling kerap, berbanding pulau-pulau lain seperti Langkawi, Pangkor dan Tioman yang menerima tiga atau empat penerbangan seminggu.


“Daripada jumlah 3.16 juta pelancong yang direkodkan melawat Terengganu tahun lalu, seramai 188,000 orang telah mengunjungi Pulau Redang bagi tempoh Mac hingga Oktober,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan penerbangan pertama Berjaya Air dari Singapura ke Pulau Redang di Lapangan Terbang Pulau Redang (LTPR), semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, YB. Khazan Che Mat dan Pengarah Eksekutif Berjaya Hotels & Resorts, Tengku Sri Bendahara Raja, Tengku Mustafa Kamel ibni Sultan Mahmud.


Penerbangan pesawat ATR72-500 dari Lapangan Terbang Changi, Singapura membawa 38 penumpang dan disambut Dato’ Abdul Rahin, Khazan dan Pengurus Malaysia Airport Berhad (MAB), Dr. Ahmad Ramli Mahmood.

Tambah Dato’ Abdul Rahin, penerbangan terus Berjaya Air dari Subang bermula pada tahun 2004, dari Selatar setahun selepas itu dan bermula 2010 dari Changi yang membawa pesawat 72 tempat duduk , khusus untuk landasan pendek di LTPR iaitu 1,100 meter panjang dan 30 meter lebar.

“Lapangan terbang yang dikendalikan MAB itu telah dinaik taraf dengan pembinaan terminal dan landasan baru serta memperkemaskan perkhidmatan Jabatan Kastam. Hasil pembaharuan itu juga, kadar purata penginapan resort-resort di Pulau Redang pada tahun lalu sebanyak 40 peratus.

“Selain perkhidmatan penerbangan, Berjaya Air bekerja rapat dengan hotel dan pusat peranginan bagi menawarkan pakej-pakej percutian menarik sekali gus membantu perkembangan hotel dan resort yang terdapat pulau ini,” katanya.

Pada majlis itu juga, Kalender Aktiviti Pelancongan Terengganu tahun 2012 turut diperkenalkan kepada para pelancong yang disempurnakan Tengku Sri Bendahara Raja dan ia sebagai persiapan sambutan Tahun Melawat Terengganu 2013.

**petikan dari TEGANUKITA

Share

Wednesday, January 5, 2011

MENIKMATI KEINDAHAN MALAM DI PULAU WARISAN

Setelah lama tidak memasukkan cerita tentang negeri Terengganu ke dalam blog ini kerana kesibukan pembukaan sesi persekolahan yang baru dan artikel kali ini saya ingin bercerita tentang keindahan malam di Pulau Warisan yang terletak di belakang Kampung Cina. Sebenarnya lawatan ke Pulau Warisan ini telah diadakan semasa cuti sekolah sebelum ini lagi tetapi dibiarkan untuk mencari bahan bergambar pada siang harinya tetapi tidak kesampaian akibat kekangan masa. Mungkin pada masa akan datang, saya akan berkongsi pula cerita tentang Pulau Warisan ini semasa waktu siang.



Kami sempat singgah sebentar di sini semasa baru sahaja tiba di Kuala Terengganu pada waktu malamnya untuk menemani suami yang bekerja di sini pada keesokan harinya. Sebenarnya sebelum ini sudah beberapa kali juga kami singgah di sini iaitu semasa Pulau Warisan ini dalam pembinaan. Pulau Warisan ini adalah terletak di belakang kampung yang bersejarah di Kuala Terengganu iaitu Kampung Cina dan merupakan salah satu lokasi pelancongan dan bukti yang negeri Terengganu adalah bandar raya pesisir air.



Laluan di Sungai Terengganu yang berukir..nampak cantik sangat


pintu gerbang masuk ke Pulau Warisan dari Kampung Cina


sinaran lampu yang menarik


Sebenarnya Pulau Warisan ini tampak cantik pada siang hari dengan seni binaan yang unik malah pada waktu malamnya jua. Semasa pertama kali singgah di sini dari jauh lagi kelihatan sinaran cahaya dari sini terutama semasa melalui jambatan dari belakang Kampung Cina ke Pulau Warisan ini. Sinaran cahaya lampu di pintu gerbang semasa melalui jambatan ini akan berubah secara berselang seli. Pulau Warisan ini luas dan lokasinya amat bersesuaian untuk diadakan karnival, majlis-majlis dan juga sebagai tempat pameran.

keindahan malam di bandar raya Kuala Terengganu yang berlatarkan Kampung Cina



lampu di pintu gerbang ini akan berubah warna secara berselang seli


Daripada sumber bacaan saya di dalam laman web http://daruliman.wordpress.com mengatakan kerajaan negeri mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM60 juta untuk membangunkan pulau berkenaan termasuk mengubah wajah daratan sekali gus menjadi destinasi pelancongan baru di Terengganu. Perbelanjaan itu juga untuk pembiayaan bagi menambah serta mendalamkan Sungai Kuala Terengganu yang berlatarbelakangkan Kampung Cina
.


Selain daripada itu juga, kerjaan negeri turut sedang berusaha untuk membangunkan Pulau Warisan ini termasuk perkhidmatan bot atau river cruise yang lengkap dengan restoran terapung di atasnya. Pastinya pada masa akan datang tempat ini menjadi bualan kepada para pelancong dalam dan juga luar negara dengan prasarana yang sedang dibangunkan ini.


ramai pengunjung sedang menikmati keindahan malam di sini


Share

Sunday, December 19, 2010

10,000 SERBU GIANT BANDAR BARU KIJAL

Saya terbaca satu artikel keluaran Harian Metro pada hari Sabtu (18 Disember 2010) yang telah mengeluarkan satu artikel tentang Giant Bandar Baru Kijal yang baru dibuka pada dua hari yang lepas telah diserbu oleh penduduk sekitar seramai 10,000 orang. Penduduk sekitar dalam daerah dan juga termasuk dari Dungun dan Hulu Terengganu menyerbu pasar raya berkenaan sempena pembukaan promosinya.


Giant Superstore Kijal


keratan artikel Berita Harian Metro, klik di sini untuk ke Harian Metro online


Gedung membeli belah itu yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mendapat sambutan luar dugaan apabila berjaya mencatat hasil jualan melebihi setengah juta ringgit semalam. Selain daripada lokasinya yang strategik dan konsep harga rendah dan penawaran pelbagai pilihan barangan menjadi faktor kepada sambutan yang menggalakkan itu. Sila tekan di sini untuk melihat lokasi Giant Bandar Baru Kijal.




semasa perasmian - sumber dari TEGANUKITA


Pasar raya Giant itu merupakan cawangan ketiga di negeri ini setakat ini selepas kewujudan Giant di Padang Hiliran, Kuala Terengganu dan pasar raya TMC di Mesra Mall dekat sini. Pengarah Bahagian Makanan, GCH Retail (M) Sdn Bhd iaitu Ian Cruddas berkata selain memberi nilai hebat kepada pelanggan kami, syarikat ini juga komited untuk memajukan kehidupan rakyat Malaysia dengan khidmat komuniti di sekitar kawasan operasi mereka. Selain daripada itu juga, Cruddas juga berkata Giant sentiasa bersedia memasarkan barangan keluaran pengusaha industri kecil dan sederhana tempatan yang berupaya mengeluarkan produk berkualiti.


Pembangunan di tanah kawasan ini ialah seluas kira-kira 160 hektar yang membabitkan kos keseluruhan kira-kira RM100 juta, turut menarik perhatian sebuah gedung tekstil terkenal untuk membuka cawangannya di lokasi ini.



Dengan pembukaan pasaraya sebegini dan gedung tekstil yang tidak lama akan dibuka di sini nanti akan membangunkan ekonomi daerah Kemaman dan umumnya untuk negeri Terengganu. Sesungguhnya berbaloi jika ke Terengganu kerana selain daripada tempat-tempatnya yang menarik, dapat pula membeli belah dengan harga yang murah dan tidak perlu ke tempat yang jauh-jauh. Pastinya anda akan berkata "Terengganu di hatiku".


Share

Monday, December 13, 2010

TASIK KENYIR TARIK PEMANCING LUAR

Saya terbaca satu artikel keluaran Harian Metro tentang penyampaian hadiah pemenang di dalam Pertandingan Memancing Piala Kenyir 2010 yang diadakan di Primula Hotel semalam. Penganjuran program seumpama ini membuktikan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara dikenali kaki pancing yang menjadikannya sebagai antara destinasi memancing baru di peringkat antarabangsa.





keratan akhbar dari Harian Metro


Bayangkan lebih 80 peserta terdiri daripada 60 peserta dari China dan 20 peserta tempatan bukan sahaja gembira dengan hasil tangkapan lumayan, malah memuji prasarana disediakan penganjur termasuk rumah bot yang selesa dan dilengkapi tangki tangkungan buangan baru.



Memetik dari kata-kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongam Kebudayaan , Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berdasarkan maklum balas positif peserta, kerajaan negeri akan mengadakan pertandingan berkenaan dengan skala yang lebih besar pada Ogos tahun depan. Memetik kata beliau lagi, "Kita berharap dengan adanya pertandingan sebegini, ia bukan sahaja memperkenalkan Tasik Kenyir di mata dunia, malah akan dapat menjana ekonomi negara".



Daripada bacaan saya juga, pertandingan berkonsepkan tangkap dan lepas yang berlangsung selam tiga hari itu juga bertujuan mempertingkatkan hubungan dua hala anatra China dan Malaysia khususnya Terengganu dalam memperkenalkan pelaburan dan menarik pelancong ke negeri ini. Selain daripada itu, kejayaan penganjuran dan sambutan menggalakkan pertandingan seperti itu juga menunjukkan Tasik Kenyir selamat dan bebas dari bakteria e-coli.



Share

Sunday, November 21, 2010

YESS !! AKHIRNYA DAPAT JUGA MENUNGGANG GAJAH

Kami sekeluarga sempat singgah di Santuari Gajah Sg Ketiar semalam semasa perjalanan balik ke Kuala Terengganu. Santuari Gajah Sg Ketiar ini adalah terletak 56km dari Jeti Pengkalan Gawi dan 11km dari sempadan negeri Kelantan-Terengganu jika anda datang dari arah Kelantan melalui jalan Felda Sg Aring - Tasik Kenyir. Sepanjang perjalanan untuk ke Kuala Terengganu, kami dipersembahkan dengan keindahan panorama Tasik Kenyir yang kebiru-biruan. Ramai juga pengunjung yang singgah di sini untuk melihat sendiri gajah-gajah yang jinak ini dan bergambar dengan gajah-gajah di sini secara dekat.


gajah dengan belalainya...dan Kak long asyik mengekor di sebelah Suria je


Semasa kami singgah pada pertama kalinya beberapa bulan yang lepas, masih belum ada perkhidmatan seperti surau dan tandas tetapi kali ini semuanya telah disediakan untuk kemudahan pengunjung yang singgah ke sini. Mungkin pada masa akan datang, perkhidmatan akan bertambah seiring dengan pertambahan pengunjungnya. Dan mungkin juga pihak kerajaan akan mengenakan bayaran kepada pengunjung ke sini untuk menambahbaik kemudahan sedia ada.



ramai juga pengunjung yang datang hari ini...mungkin sudah menjelang cuti sekolah..


surau dan tandas yang disediakan untuk pengunjung..


Masa untuk melawat adalah bermula jam 11.00 pagi sehingga jam 5.00 petang. Kebetulan pula semasa kami singgah adalah masa pelawat boleh menunggang gajah iaitu bermula pukul 4.00 petang sehingga 5.00 petang, jadi saat inilah saya ambil peluang untuk menunggang gajah yang memang sukar dapat peluang sebegini dengan percuma pula tu. Kebiasaannya saya hanya melihat orang lain yang menunggang gajah di dalam televisyen tetapi pada hari semalam, saya yang alami sendiri. Walaupun ada perasaan takut tetapi dek ingin juga merasa naik gajah saya kuatkan juga semangat.


suria (gajah besar) dan kak long (anak gajah)

bergambar bersama Seri


penulis sedang menunggang gajah dengan anak



menunggang gajah di sekitar kawasan ini


Untuk memudahkan pengunjung untuk menunggang gajah, pihak berwajib telah membina satu wakaf yang bertangga untuk memudahkan pengunjung naik ke atas badan gajah. Gajah yang saya tunggangi ini bersama-sama dengan pengasuhnya adalah dinamakan Suria. Di pusat pemuliharan gajah ini terdapat 3 ekor gajah, iaitu Suria, Seri dan Kak long yang mana semuanya jinak-jinak belaka dan dibiarkan bebas bersama-sama pengunjung yang berkunjung di sini.


wakaf yang disediakan untuk pengunjung naik gajah ini


penulis bersedia untuk turun dari gajah


Aktiviti sebegini menjadikan satu memori yang indah untuk anak-anak kecil yang kebiasaannya mereka hanya melihat gajah hanya di dalam buku dan juga televisyen sahaja. Jika ada rezeki pada masa akan datang, kami akan singgah lagi untuk menunggang gajah lagi di sini. Walaupun jauh untuk ke sini, tetapi sebenarnya berbaloi kerana dapat menikmati satu pengalaman yang baru yang sukar diperolehi pada masa kini.


*pengalaman pertama di Santuari Gajah Sg Ketiar

Share

Saturday, November 20, 2010

KEMBALI KE KUALA TERENGGANU SELEPAS BERCUTI RAYA IDUL ADHA

Pada petang ini kami sekeluarga akan bertolak ke Kuala Terengganu yang akan melalui jalan Felda Sg. Aring -Tasik Kenyir. Tak sabar pula nak melihat keindahan sekitar Tasik Kenyir dan singgah di Santuari Gajah Sg Ketiar nanti. Rindu pula pada 3 ekor gajah yang pernah kami pegang dan bergambar bersama-sama beberapa bulan yang lepas semasa singgah di sini. Saya tidak dapat bayangkan pada tahun 2012 yang kawasan sekitar Tasik Kenyir yang biasa kami lalui ini akan menjadi kawasan bebas cukai. InsyAllah jika ada rezeki dapatlah merasa dan tidak sabar pula saya untuk merasai keadaan itu nanti.


Apabila melalui Jambatan Sultan Mahmud , Kuala Terengganu pula adalah perkara yang paling disukai oleh anak-anak saya kerana mereka dapat melihat muara sungai dan bangunan-bangunan di sekitar Kuala Terengganu dari atas jambatan ini. Saya sempat mengambil video kemeriahan anak-anak di dalam kereta semasa perjalananan kami ke Kuala Terengganu semasa melalui jambatan Sultan Mahmud tersebut beberapa bulan yang lepas.




inilah 3 ekor gajah yang ditempatkan di Santuari Gajah Sg Ketiar semasa singgah ke sini beberapa bulan yang lepas


keindahan sekitar Tasik Kenyir yang saya sempat rakamkan semasa berada di atas jalan raya beberapa bulan yang lepas




video keriangan kanak-kanak di dalam kereta semasa berada di atas Jambatan Sultan Mahmud


Kami akan berada di Kuala Terengganu selama 3-4 hari sebelum balik ke Kuantan semula kerana encik suami ada urusan kerja di Kuala Lumpur pula nanti. Dan kami akan kembali semula di Kuala Terenggau pada 28hb November pula untuk mengikuti Program Monsoon Cup di Pulau Duyong yang akan diadakan pada 30hb November hingga 5hb Disember 2010. Tidak sabar pula saya untuk melihat kemeriahan program yang bertaraf antarabangsa tersebut.



Share

Monday, November 8, 2010

KARNIVAL MONSOON SEMPENA PERTANDINGAN MONSOON CUP 2010


JIka anda berada di sekitar bandar Kuala Terengganu pasti akan terlihat banner Karnival Monsoon sempena pertandingan Monsoon Cup 2010 ini. Saya sempat mengambil gambar banner tersebut yang diletakkan berhampiran lampu isyarat sekitar bandar Kuala Terengganu semasa cuti umum sempena perayaan Deepavaali baru-baru ini. Karnival Monsoon ini akan diadakan bermula 30hb November sehingga 5hb Disember 2010 di Ri-Yaz Heritage Marina & SPa, Pulau Duyong. Kepada pembaca yang tidak pasti di manakah lokasi Ri-Yaz Heritage Marina & Spa,Pulau Duyong ini terletak bolehlah klik di sini untuk ke google maps.



banner yang diletakkan berhampiran lampu isyarat di sekitar bandar Kuala Terengganu.

Daripada maklumat pada banner tersebut, terdapat pelbagai aktiviti yang menarik menanti kita semua. Antara aktiviti tersebut ialah Konsert, Sukan Rakyat, Aktiviti bersama artis, Permainan tradisional, Zon peminat monsoon, PenampilanUpin & Ipin, Pertandingan memancing dan Pertandingan mewarna bagi kanak-kanak. Karnival ini tidak mengenakan bayaran kepada pengunjung dan semua boleh mengikuti aktiviti yang akan diadakan nanti.



Kebetulan program ini akan berlaku semasa musim cuti sekolah, jadi dapatlah kami sekeluarga meluangkan masa menyaksikan pertandingan kapal layar di Monsoon Cup yang bertaraf antarabangsa ini. Malah sebahagian besar aktiviti yang diadakan semasa Karnival Monsoon ini bersesuaian dengan kanak-kanak, pasti anak-anak saya tidak rasa bosan semasa berada di sini nanti. Saya telah melihat jadual penuh Monsoon Cup 2010 yang boleh didapati dalam laman web Monsoon Cup iaitu http://www.monsooncup.com.my/



Oleh itu, kami sekeluarga akan cuba untuk menempah bilik di Ri-Yaz Heritage Marina & Spa semasa program ini berlangsung dengan menggunakan pakej hadiah pertandingan blog pelancongan Terengganu 2010 yang diterima penulis baru-baru ini. Selain daripada itu, hadiah ini merupakan hadiah ulang tahun perkahwinan kami yang ke - 8 pada 1hb Disember 2010.


Jadi selain daripada menyaksikan program ini, dapatlah kami menyambut hari ulang tahun perkahwinan kami di Kuala Terengganu nanti. Sebenarnya amat berbaloi usaha saya selama ini kerana selain daripada menerima hadiah yang ditawarkan, saya juga dapat penginapan percuma sempena hari ulangtahun perkahwinan kami. Sesungguhnya sepanjang tahun 2010 ini adalah perkara yang amat bermakna kepada kami sekeluarga.


Semoga kami berjaya untuk mendapatkan bilik semasa program ini berlangsung kerana semestinya ramai pengunjung samaada dari dalam dan luar negara akan berkampung di sini untuk mengikuti pertandingan atau menyaksikan pertandingan kapal layar yang berprestij tersebut.




Share

Sunday, November 7, 2010

LAYANAN KEDAI KEROPOK LEKOR BTB BAGAI TUNGGU GILIRAN KAUNTER BANK



Jika sebelum ini saya pernah memasukkan cerita tentang kesedapan keropok lekor bukit tok beng, dan kali ini sekali lagi saya akan bercerita tentang perkara yang sama. Pada hari semalam (hari Sabtu) semasa berada di Kuala Terengganu saya sempat singgah ke Kedai keropok lekor Bukit Tok Beng untuk membeli keropok lekor untuk dibawa balik ke Kuantan. Kedai ini terletak di Kampung Bukit Tok Beng yang merupakan laluan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Jika anda yang tidak biasa dengan tempat ini, sila klik untuk ke google maps.


papan tanda kedai keropok btb


masa operasi kedai keropok ini serta senarai nama beserta nombor telefon untuk tempahan.


Kebiasaannya suami saya yang akan membeli keropok di sini jika dia pulang ke Kuantan, tetapi kali ini giliran saya sendiri untuk membeli kerana kebetulan kami sekeluarga berada di sini. Pada mulanya saya amat gembira kerana di kaunter tempat membeli keropok lengang dan hanya ada beberapa pelanggan sahaja yang sedang membeli. Dengan segera saya meminta keropok lekor rebus sebanyak RM30.00 stok untuk seminggu di rumah, dengan segera gadis yang bertugas menegur supaya saya untuk mengambil nombor. Patutlah semasa saya masuk ke kedai ini ramai pengunjung yang sedang duduk dan hanya beberapa orang sahaja yang sedang berdiri kerana giliran nombornya. Tetapi di bahagian keropok lekor yang siap digoreng dan dimakan terus tidak perlu untuk beratur panjang pula.


nombor giliran saya, terpaksa menunggu kira-kira 27 orang lagi sebelum saya


semua menunggu giliran dengan duduk sahaja, tak payah nak beratur macam dulu-dulu


Tanpa berfikir panjang saya segera menekan nombor di sudut yang disediakan seperti di bank. Dalam hati saya berkata, “semakin maju kedai ini dan ramai pelanggan yang datang membeli keropok di sini dan terpaksa menggunakan sistem giliran bernombor ala-ala bank pula”. Mungkin sistem giliran bernombor ini baru dilaksanakan dalam beberapa bulan ini, kerana sebelum ini tidaklah seperti ini tetapi terpaksalah kita beratur panjang berjam-jam pula. Walaupun menunggu lama tetapi berbaloi kerana keropoknya memang sedap dan tidak jemu di makan berulang kali. Daripada perbualan saya dengan pekerja di kedai ini, sumber ikan untuk membuat keropok lekor di sini adalah daripada ikan yang segar semuanya. Tidak dinafikan keropoknya memang sedap dan jika anda ke sini pasti akan kembali lagi ke sini pada masa akan datang.


tempat merebus keropok lekor, besar dan banyak betul periuknya dan hanya menggunakan kayu api (ala tradisional juga ni)


inilah rupa keropok btb..sedap...makan masa panas-panas sedap lagi


Share

Saturday, November 6, 2010

AKTIVITI SEKITAR DI TIEP SEMPENA SULTAN'S CUP TERENGGANU ENDURANCE CHALLENGE

Perjalanan kami dari Kg. Jabi, Jerteh untuk ke Kuala Terengganu hari ini tidak disiakan begitu sahaja kerana kami singgah sebentar di Terengganu International Endurance Park (TIEP) untuk meninjau pertandingan Sultan’s Cup Terengganu Endurance Challenge. Sebenarnya daripada papan informasi yang diletakkan di sekitar kawasan TIEP ini rupanya banyak aktiviti yang diadakan selain daripada Panggung Terbuka yang telah saya masukkan ke dalam blog sebelum ini.


sempat bergambar di pintu gerbang TIEP sebelum masuk



papan informasi yang diletakkan di sekitar TIEP


Antara aktiviti yang diadakan sepanjang 5hb November dan 6hb November 2010 ialah Persembahan artis dan Panggung Terbuka pada waktu malam, demo masakan dan kraftangan Terengganu, Permainan Terengganu, Tunggangan Kereta Kuda, Gerai Jualan Produk Unik Terengganu dan lain-lain lagi pada siang harinya. Ramai pengunjung tidak melepaskan peluang melihat kuda yang masuk pertandingan kuda lasak dengan lebih dekat dan bergambar di samping kuda tersebut. Selain daripada itu, pengunjung berpeluang naik kuda dengan dikawal oleh penjaga kuda tersebut.


antara aktiviti yang sempat dirakamkan di sekitar TIEP


pentas di mana Persembahan artis dan Panggung Terbuka diadakan


penulis sempat bergambar dengan kuda yang menyertai pertandingan Sultan's Cup Terengganu Endurance Challenge



Pada pendapat saya, pertandingan Sultan’s Cup Terengganu Endurance Challenge seumpama ini dapat memperkenalkan negeri Terengganu kepada dunia luar. Selain daripada itu, aktiviti sampingan yang diadakan sepanjang pertandingan ini merupakan aktiviti yang sihat kerana dapat memperkenalkan pengunjung yang hadir ke sini dengan pertandingan kuda lasak selain dapat menjana pendapatan kepada penduduk berhampiran dengan pembukaan gerai-gerai makanan dan pameran.


Disebabkan saya singgah sebentar sahaja, kami sekeluarga tidak sempat untuk melihat semua acara yang berlaku pada hari ini. Sebelum beredar saya sempat mengambil beberapa gambar yang diambil dengan kamera baru yang dihadiahkan semasa memenangi pertandingan blog ini.


Share

Thursday, September 30, 2010

MENIKMATI KEHIJAUAN POHON BAKAU DI TAMAN REKREASI RHU MADU MERCHANG


Taman Rekreasi Rhu Madu Merchang terletak di dalam daerah Marang iaitu berada di laluan utama Kuala Terengganu – Kuantan dan berhadapan dengan Hutan Lipur Jambu Bongkok. Taman ini adalah kawasan yang dijadikan tempat persinggahan para pengunjung yang melalui kawasan ini. Di kawasan ini terdapat tempat duduk yang boleh kita beristirehat untuk melepaskan kepenatan sepanjang perjalanan di dalam kenderaan. Kami sekeluarga kebiasaannya akan singgah ke sini jika dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Terengganu atau dari Kuala Terengganu ke Kuantan. Taman ini sering menjadi tumpuan orang ramai kerana kawasannya adalah berada di tepi jalan utama.



Taman rekreasi ini terletak di tepi jalan utama Kuantan-Kuala Terengganu


kerusinya yang unik


Di mana sebelah taman ini, terdapat kawasan paya yang dipenuhi paya dan pokok-pokok renek yang lain. Sesiapa yang berada di sini pasti akan tenang dengan pemandangan pohon-pohon bakau dan pokok-pokok renek di sekitar kawasan ini.


kehijauan pokok-pokok di sini yang menenangkan sesiapapun yang berada di sini


Selain itu, kawasan ini turut dilengkapi dengan kemudahan seperti tandas, kedai makan, surau dan wakaf untuk berehat. Kebersihan di kawasan ini turut dijaga dengan baik oleh Majlis Daerah Marang. Pasti tidak rugi anda ke sini, malah berbaloi-baloi lagi...dan pasti tidak jemu untuk singgah ke sini lagi kerana sesungguhnya Terengganu di hatiku..



kawasannya yang bersih


Share

PENGALAMAN YANG SUKAR DILUPAKAN DI HUTAN LIPUR CEMERONG


Kemuncak lawatan kami ke tempat-tempat menarik di negeri Terengganu ialah ke Hutan Lipur Cemerong. Perjalanan kami pada hujung minggu yang lepas telah dirancang dengan sebaik-baiknya. Selepas singgah di Makam Sultan Yahya Siak, kami terus bergerak ke Hutan Lipur Cemerong. Hutan Lipur Cemerong ini berada di dalam hutan simpan kekal negeri Terengganu dan terletak di dalam kawasan Hulu Dungun, daerah Dungun. Diangggarkan jarak ke sini adalah 120 kilometer daripada bandar Dungun.


bergambar di papan tanda Hutan Lipur Cemerong


Daripada maklumat di dalam laman web Jabatan Perhutanan negeri Terengganu, Hutan Lipur Cemerong merupakan hutan kekal terbesar iaitu melebihi 300 ekar dan mempunyai air terjun yang tertinggi di Asia Tenggara iaitu air terjun Cemerong. Ketinggian air terjun ini dari kaki air terjun dianggarkan setinggi 250 meter. Di kaki air terjun ini terdapat kolam semulajadi yang boleh dijadikan tempat mandi kepada pengunjung yang ke sini.



gambar yang sempat diambil semasa ke sini


inilah kolam di kaki air terjun tersebut..untuk sampai ke sini, kami perlu mendaki dan turun bukit...tapi berbaloi-baloi...


bergambar kenangan di tepi air terjun....gambar gelap sedikit


Saya memang mendengar buah mulut beberapa orang teman yang mengatakan air terjun di Hutan Lipur Cemerong merupakan air terjun yang paling tinggi di Asia Tenggara dan tidak pula saya dapat bayangkan sejauh mana ketinggian sehinggalah saya sendiri mengalaminya di sana. Selepas melalui beberapa buah kampung iaitu sebelum sampai ke tempat ditujui, dengan mata kepala saya sendiri dapat melihat air terjun gah tinggi di atas bukit sana. Dalam hati tergambar bangga juga saya sebagai rakyat Malaysia kerana terdapat tempat yang indah dan yang menaikkan nama Malaysia di mata dunia.



air terjun yang boleh dilihat dari atas jalan raya....air terjun tertinggi di Asia Tenggara...


Sampai sahaja di sini, kami perlu mendaftarkan nama sebagai langkah keselamatan kami semua. Daripada pemerhatian di sekeliling hutan lipur ini, saya dapati pelbagai kemudahan telah dibangunkan oleh pihak kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan rekreasi ini. Di dalam kawasan ini terdapat kemudahan seperti kantin, surau, tandas dan tempat persalinan, bilik mesyuarat dan juga taman permainan untuk kanak-kanak. Selain daripada itu landskapnya turut cantik dan banyak wakaf-wakaf dibina untuk pengunjung berehat menghilangkan penat semasa mendaki bukit di sini ke tempat air terjun cemerong.


kemudahan yang terdapat di sini...siap ada bilik mesyuarat lagi..


tangki air yang sumbernya dari air bukit


bergambar di peta kawasan Hutan Lipur Cemerong..masing-masing membawa bekal air dan makanan...


Disebabkan semasa sampai di sini adalah waktu tengahari, jadi kami sekeluarga singgah untuk makan tengahari di wakaf yang disediakan oleh pihak pengurusan. Tertarik pula saya dengan binaan wakaf di sini yang bercirikan senibina tradisional dan setiap wakaf tersebut terdapat pili air yang sumbernya dari air bukit atau air terjun di sini.


Perkara yang menakjubkan saya semasa berada di sini ialah semasa sedang asyik mandi tiba-tiba sekumpulan anak-anak ikan datang ke arah kami dan mengigit kaki seumpama di pusat kecantikan spa ikan pula. Apabila kami cuba memberi beberapa keping roti, sekumpulan besar anak-anak ikan datang mengelilingi kami dengan banyak sekali. Itu adalah pengalaman yang pertama dan paling bermakna sekali kerana jika sebelum ini kami singgah mandi di mana-mana air terjun tidak pula banyak ikan yang jinak sebegini. Jika anda ingin alami sendiri, cubalah datang sendiri ke sini. Pasti berbaloi-baloi.......dan pasti tidak jemu untuk ke sini lagi kerana sesungguhnya Terengganu di hatiku..


sekeluarga asyik mandi...sejuknya dan jernihnya air di sini


video pendek semasa mandi di sini


kelihatan ikan yang jinak sedang makan roti



video pendek semasa sekumpulan ikan diberi roti



video pendek sekumpulan ikan keluar dari celah-celah batu



video pendek tentang ikan yang paling saya suka



Share
Related Posts with Thumbnails