Anda mempunyai akaun blogger?
Showing posts with label Lain-lain Tempat. Show all posts
Showing posts with label Lain-lain Tempat. Show all posts

Thursday, December 2, 2010

MENIMBA ILMU SAINS DI PLANETARIUM TERENGGANU

Selama saya berada di Kuala Terengganu sebelum ini tidak pula saya mengetahui rupanya di Kuala Terengganu terdapat sebuah pusat sains iaitu Planetarium. Saya menyedari kewujudan Planetarium ini semasa melawat ke Festival Songket, Batek dan Kraftangan 2010 di sini pada 28hb November yang lepas. Teringat kembali semasa saya berada di sekolah menengah atas, jika hendak melawat pusat sains seumpama ini kami perlu ke Planetarium di Kuala Lumpur. Dan untuk anak-anak saya kini tidak perlu lagi saya ke Kuala Lumpur kerana cukup memadai hanya melawat di Planetarium Kuala Terengganu sahaja.



bergambar di hadapan Planetarium Kuala Terengganu


Planetarium ini adalah terletak di bahagian belakang di dalam bangunan Pusat Dagangan Terengganu. Jika anda tidak biasa ke TTC, sila klik di sini untuk melihat kedudukannya.



Pameran yang ditonjolkan di sini banyak berkait rapat dengan teori sains yang bermula dari sejarah sains di zaman Islam dan akhir sekali pencapaian sains pada masa kini. Kanak-kanak dan pelajar serta ibu bapa sesuai melawat ke sini untuk mendalami pengertian sains dan sejarahnya. Jadi sebagai pengguna kita perlu menghargai kepada tokoh yang menemui dan yang telah menciptakan alatan atau yang menemui teori-teori sains yang tertentu sehingga kita selesa hidup seperti sekarang.


pameran penerangan tokoh-tokoh dalam pencsains


bergambar di penerangan tokoh dalam sains


anak penulis sedang meneroka tentang tokoh sains di zaman Kegemilangan Islam menggunakan komputer


permainan sains berkomputer, kanak-kanak paling gembira


bergambar di samping pameran tentang teori arus elektrik


simulasi bentuk atmosfera


simulasi sains tentang bumi dan angkasalepas



Selain daripada pameran, kanak-kanak turut boleh bergembira dengan bermain dengan permainan sains dan video sains beserta penerangan tentang teori sains berkomputer serta interaktif. Dan pengunjung turut boleh melihat video penggambaran angkawasan semasa berada di angkasalepas. Semoga dengan lawatan di tempat seumpama ini, meningkatkan pengetahuan sains diri kita anak-anak kita. Oleh itu, bersesuaian dengan matlamat kerajaan yang mengharapkan kita sebagai rakyat yang mencintai sains dan maju dalam bidang ini seperti negara-negara maju yang lain seperti negara JEPUN.



Share

Tuesday, August 31, 2010

MEMEGANG DAN BERGAMBAR BERSAMA GAJAH DI SANTUARI GAJAH SG KETIAR

Santuari Gajah Sungai Ketiar merupakan satu tarikan baru bagi kawasan Hulu Terengganu khususnya Daerah Kuala Berang. Lokasinya terletak di laluan Kuala Berang–Gua Musang dan terletak 56km daripada Jeti Pengkalan Gawi. Kami sekeluarga singgah di sini selepas singgah di Jeti Pengkalan Gawi semasa perjalanan balik ke kampung halaman di Gua Musang. Kebiasaannya kami hanya lalu sahaja di kawasan ini kerana disebabkan kekangan masa untuk mengejar masa balik ke kampung halaman.


papan tanda arah ke Santuari Gajah dari Jeti Gawi


penulis bergambar bersama anak-anak di papan tanda Santuari Gajah, Sg Ketiar


ramai pengunjung yang singgah ke sini untuk melihat dan bergambar bersama gajah di sini


Santuari yang dibuka kepada orang ramai mulai 30 Januari 2009 ini merupakan salah satu pelengkap kepada mereka yang melawat Tasik Kenyir selain daripada Santuari Kelah di Sungai Petang. Kawasan santuari ini ialah kira-kira 15,000 hektar yang bersempadan dengan Taman Negara dan Hutan Simpan Hulu Besut. Santuari Gajah Sungai Ketiar yang kini hanya mempunyai dua ekor gajah jinak, Suria dan Seri dan anak gajah yang kecil serta masih di dalam kandang. Suria merupakan gajah betina berusia 10 tahun yang diperolehi dari Kampung Pak Kanchil, Setiu, Terengganu.


inilah gajah-gajah yang ada di sini...tiga ekor kesemuanya..


suria bersama petugas


Inilah kali pertama singgah dan melihat gajah dengan lebih dekat serta dapat memegang gajah tersebut. Memang menakutkan walaupun gajah-gajah tersebut digari kakinya dengan rantai tetapi disebabkan ditemani oleh petugas di sini kami semua berani untuk memegang dan bergambar dengan gajah-gajah tersebut. Selain daripada melihat dan memegang gajah tersebut, pengunjung turut boleh menunggang gajah. Masa menunggang gajah adalah bermula jam 3.00 petang hingga 6.00 petang. Kami tidak dapat merasa untuk menunggang gajah kerana waktu kami sampai di sini masa baru menunjukkan jam 11.00 pagi. Mungkin pada masa lain jika diberi peluang, kami akan singgah dan cuba untuk menunggang pula gajah di Santuari Gajah Sg Ketiar ni.


pengunjung dapat melihat dengan jarak dekat, memegangnya malah boleh menunggang gajah di sini


Buat pengetahuan pengunjung blog ini, sebenarnya segala perbelanjaan untuk memelihara gajah-gajah ini sepenuhnya di tanggung oleh pihak kerajaan Negeri Terengganu melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN). Pada pendapat saya projek ini sebenarnya dapat memberi kesedaran kepada generasi muda supaya melindungi hidupan liar.


Share

Sunday, August 29, 2010

PANORAMA YANG MEMPERSONAKAN DI TASIK KENYIR

Kami sekeluarga singgah di Tasik Kenyir, Terengganu semasa perjalanan ke Gua Musang dua hari yang lepas . Tasik Kenyir terletak kira-kira 55 km dari Kuala Terengganu. Kami sekeluarga biasa melalui kawasan ini jika pulang ke kampung, tetapi inilah kali pertama kami singgah ke sini. Dari atas jalan raya keindahan tasiknya tidak dapat dipertikaikan kerana dengan warna airnya yang kebiru-biruan dan beberapa pulau yang turut kelihatan memberikan satu panorama yang amat mempersonakan kepada sesiapapun yang berada di sini. Saya tidak dapat membayangkan keseronokan yang kami akan alami jika dapat bercuti di sini. Mungkin suatu hari nanti saya akan cuba mencari ruang untuk bercuti di sini bersama keluarga.



papan tanda di Tasik Kenyir beserta senarai tempat yang menarik untuk dikunjungi dan tempat penginapan


bergambar beramai-ramai dengan ahli keluarga


Semasa kami berada di Jeti Pengkalan Gawi ini, ramai pengunjung yang sedang bersiap sedia untuk menaiki bot yang bertujuan untuk mengelilingi kawasan tasik atau untuk ke tempat penginapan. Pengunjung boleh membeli tiket untuk menaiki bot tersebut di kaunter yang telah disediakan di sini. Selain daripada itu,pejabat pusat penerangan pelancongan turut dibina untuk memudahkan para pengunjung mencari maklumat tempat-tempat yang menarik untuk dikunjungi di sini. Di Jeti Pengkalan Gawi ini turut menyediakan pelbagai kemudahan yang lain antaranya surau, kiosk, taman permainan, kedai-kedai makan dan lain-lain lagi.



Di Jeti Pengkalan Gawi serta kemudahan-kemudahan yang ada di situ


Sebenarnya Tasik Kenyir yang cantik ini adalah tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara yang merentasi 260,000 hektar. Tasik ini juga merupakan kawasan empangan batu-hidro-elektrik batu- batan terbesar di Malaysia. Apabila kawasan ini dibanjiri air, kebanyakan kawasan pergunungan berada di atas paras air, sekaligus membentuk 340 pulau buatan manusia.


mempersembahkan panorama yang memukau kepada sesiapa pun yang berada di kawasan ini


kelihatan pulau-pulau dan flora yang ada di sini


Kawasan hutan hujan yang meliputi tempat ini juga mempunyai pelbagai spesies flora dan fauna. Ini termasuk koleksi paku-pakis liar, bunga orkid eksotik, burung kenyalang, gajah dan harimau bintang. Ini adalah kawasan percutian popular bagi pengunjung yang ingin dikelilingi kawasan hutan yang indah. Ia juga menjadi tempat kegemaran pemancing kerana menempatkan pelbagai spesies ikan sungai seperti Baung, Toman, Kelisa, Lampan dan Kelah. Kawasan tasik ini juga popular untuk aktiviti kayak, naik bot, trek hutan, memandu kenderaan pacuan 4 roda dan bermain golf.


InsyaAllah jika diberi peluang pada masa akan datang, kami sekeluarga akan menginap di mana-mana tempat penginapan di sini untuk merasai sendiri keseronokan dan keindahan kawasan Tasik Kenyir ini.



Share
Related Posts with Thumbnails