Anda mempunyai akaun blogger?
Showing posts with label BESUT. Show all posts
Showing posts with label BESUT. Show all posts

Tuesday, November 23, 2010

BERHATI-HATI SEMASA MANDI MANDA DI AIR TERJUN SEMASA MUSIM TENGKUJUH

Saya terbaca satu artikel keluaran surat khabar Metro hari ini tentang kematian seorang pemuda yang sedang mandi di Hutan Lipur Lata Tembakah bersama 2 orang rakannya pada hari semalam. Arwah Ahmad bin Mustafa yang cuba membantu seorang rakannya yang tenggelam semasa mandi tambahan pula rakannya tidak pandai berenang tetapi selepas kawannya sempat diselamatkan, arwah pula yang tenggelam dan tidak timbul-timbul. Rakannya tidak dapat menyelamatkannya kerana air di situ sangat dalam dan sejuk.



keratan akhbar tentang kematian arwah Ahmad yang lemas di Hutan Lipur Tembakah



Takziah kepada keluarga mangsa atas pemergian anak yang tercinta. Sebenarnya pada musim tengkujuh ini sememangnya air di kawasan sebegini akan menjadi semakin dalam dan sejuk jadi sukar untuk kita menjangkakan apa yang berlaku. Seperti yang pernah saya pergi sebelum ini sememangnya air terjun di Hutan Lipur Tembakah sejuk, apatah lagi dengan keadaan musim tengkujuh sebegini. Jadi nasihat saya semoga pengunjung berhati-hati jika mandi di kawasan air terjun semasa musim tengkujuh seperti ini. Semoga tiada lagi malapetaka sebegini berlaku dan menjadi sempadan pada pengunjung yang berkunjung ke tempat sebegini dalam musim tengkujuh ini.


Kami sekeluarga ada juga niat untuk singgah lagi ke Hutan Lipur Lata Tembakah, tetapi kami simpan dahulu niat ini untuk ke tahun hadapan. Kami menunggu musim tengkujuh berlalu kerana semasa musim panas nanti pasti sesuai untuk mandi sepuas-puasnya dan sesuai untuk aktiviti barbeku.




Share

Thursday, September 23, 2010

PANORAMA YANG INDAH DI HUTAN LIPUR LATA TEMBAKAH

Hutan Lipur Lata Tembakah adalah sebuah tempat yang tidak asing lagi kepada penduduk tempatan di kawasan sekitar daerah Besut, malah seluruh negara amnya. Jarak dari bandar Jerteh ke sini adalah dianggarkan 25 - 30 kilometer manakala dari Kuala Terengganu dianggarkan 65 kilometer. Untuk ke sana pengunjung perlu melalui beberapa buah kampung jika dari arah bandar Jerteh.


papan tanda Hutan Lipur Lata Tembakah


Kami sekeluarga telah singgah ke sini semasa di dalam perjalanan pulang ke Kuantan selepas bercuti hari raya puasa baru-baru ini. Seawal pagi lagi kami telah sampai di sini tetapi rupanya sudah ramai pengunjung yang sampai sebelum kami. Rupanya di Hutan Lipur Lata Tembakah ini mempunyai air terjun yang bertingkat-tingkat iaitu sebanyak lima tingkat.



bergambar kenangan di tugu penerangan hutan lipur lata tembakah


sungainya yang mengalir jernih..menenangkan kepada sesiapa sahaja yang berada di sini


jenis tingkat air terjun dan masa yang diambil untuk ke sana


Untuk masuk ke kawasan air terjun ini, pengunjung perlu melalui jambatan gantung sepanjang 30 meter untuk menyeberangi sungai yang dinamakan Sungai Tenang. Di kawasan ini mempunyai banyak kemudahan yang telah disediakan antaranya surau, taman permainan, wakaf tempat rehat, tandas, bilik persalinan dan lain-lain lagi.


jambatan gantung menghubungkan antara dua daratan


konsep tempat duduk yang dibina sesuai dengan keadaan di sini...bentuk cendawan


banyak chalet yang dibina di sini


harga sewaan tapak perkhemahan dan chalet-chalet di sini


seronoknya jika dapat duduk di chalet ini...di tepi sungai..


Jika ke sini, pasti pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mandi di dalam air terjunnya yang sejuk dan nyaman. Tujuan sebenarnya kami ke sini hanya ingin mengambil gambar kenangan dan hanya sebagai bahan untuk dimuatkan ke dalam blog ini sahaja. Tetapi bila melihat keseronokan pengunjung lain yang mandi di sini, niat kami bertukar pula untuk turut mandi bersama-sama pengunjung yang sedang mandi. Kami hanya sempat mandi di air terjun yang pertama sahaja kerana kekangan masa untuk bergerak balik ke Kuantan. Mungkin pada masa akan datang kami akan singgah ke sini semula untuk lebih lama serta merasai sendiri mandi di kawasan air terjunnya yang bertingkat-tingkat tersebut.



cantik sungguh pemandangan di sini


sejuk dan jernih air di sini...grrr....sebab masih awal pagi lagi..



mandi di dalam air terjun tingkat yang kedua, ketiga, keempat dan kelima adalah impian saya pada masa akan datang...





video pendek pemandangan sungai yang jernih di Lata Tembakah

Share

Wednesday, September 15, 2010

BERENDAM AIR PANAS DI KOLAM LA AIR PANAS

Selepas mandi di Hutan Lipur Lata Tembakah baru-baru ini , kami terus bergerak ke Kolam Air Panas La yang dianggarkan hampir 28 kilometer dari Bandar Jerteh. Untuk ke sini kami melalui kampung La dan akhirnya perlu melalui kawasan kebun kelapa sawit di Felda Tenang. Pusat rekreasi ini sebenarnya sudah lama wujud dan dikunjungi oleh penduduk tempatan pada setiap hujung minggu dan cuti am untuk menikmati keindahan alam semulajadi. Pengunjung berpeluang melihat air hangat yang keluar menerusi lubang dari sebuah bukit dan terus mengalir ke dalam kolam yang disediakan.



peta di Kolam Air Panas La dan pokok kelapa sawit menunjukkan kawasan ini adalah berhampiran kawasan kebun kelapa sawit



rombongan kami bergerak ke kolam utama


sungai yang terdapat di bawah..manakala kolam air panas di atas


punca kolam air panas


Semasa kami singgah ke sini, ramai pengunjung yang sedang berendam di dalam kolam air panas dan juga air sungai yang terletak berhampiran dengan kolam air panas tersebut. Air hangat yang mengalir ini dikatakan mengandungi kimia "SULFUR" atau belerang dengan kehangatannya mencapai 49 darjah celsius. Ianya berkhasiat untuk mengubati penyakit kulit dan juga boleh dimandi. Tarikan utama adalah air hangat semulajadi yang menjadi kepercayaan masyarakat yang dapat menyembuhkan penyakit selain mendapatkan kesegaran tubuh badan.



ramai betul pengunjung datang..mungkin masih bercuti hari raya lagi seperti kami



Kolam Air Panas La ini menyediakan banyak kemudahan untuk orang ramai seperti wakaf untuk berehat, musalla, tandas awam, restoran dan lain-lain lagi. Semasa kami singgah di sini, terdapat pembangunan di sebelah tempat ini. Saya percaya daripada bentuk pembangunan yang sedang dilakukan tersebut adalah pembangunan chalet atau resort.



kolam air panas untuk lelaki...nampak menarik


musalla yang disediakan kepada pengunjung


Saya paling suka pada pengurusan di sini, di mana kolam-kolam di sini diasingkan kolam lelaki dan perempuan kecuali di kolam utama iaitu di kawasan punca air panas. Sememangnya ramai pengunjung sukakan kawasan seperti ini untuk tempat pelancongan selain dapat menjaga kesihatan badan. Manakala kanak-kanak pula lebih suka bermain di dalam sungai yang mengalir di bawah kolam air panas ini. Tambahan pula airnya yang tidak dalam sesuai sangat untuk anak-anak saya yang masih kecil. Sehinggakan mereka menangis kerana tidak puas bermain-main di dalam sungai tersebut kerana kami perlu bergerak untuk balik ke Kuantan pula selepas itu.


anak-anak saya yang paling suka mandi di sungai



Share

Tuesday, August 31, 2010

KEINDAHAN PANTAI AIR TAWAR, BESUT

Perjalanan kami sekeluarga dari negeri Kelantan ke Kuala Terengganu pada minggu lepas tidak disia-siakan begitu sahaja. Kami singgah di beberapa tempat yang menarik yang boleh dijadikan bahan untuk dimasukkan ke dalam blog ini. Antara kunjungan yang kami lakukan antaranya ialah ke Pantai Air Tawar. Pantai Air Tawar ini terletak di dalam daerah Besut dan terletak berhampiran dengan Bukit Keluang. Jika anda berada di pantai ini, anda akan dapat melihat secara sayup Bukit Keluang dari sini. Daripada pantai ini juga kelihatan Pulau Rhu Hentian yang pernah saya kunjungi beberapa tahun dahulu. Sesungguhnya pemandangan di sini mendamaikan kepada sesiapa sahaja yang berada di sini.


papan tanda ke Pantai Air Tawar


indahnya pemandangan pantai di sini, kelihatan Pulau Rhu Hentian dari sini


Pantai Air Tawar terkenal dengan keindahan pantainya dan tidak begitu asing lagi bagi penduduk setempat. Dengan kemudahan yang ada, ia kerap menjadi destinasi percutian keluarga selain menjadi tempat pilihan untuk menjalankan aktiviti kebudayaan dan sebagainya. Kemudahan astaka yang disediakan memudahkan pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan. Di sini terdapat kemudahan seperti hotel, chalet, pondok telefon, gerai-gerai makanan, taman permainan kanak-kanak dan lain-lain.



antara kemudahan yang ada di sini antaranya Taman Rekreasi, Taman Awam, Pentas Rebana, Kedai-kedai makan, chalet-chalet dan lain-lain lagi


Pada setiap tahun kawasan peranginan ini sentiasa diadakan Pesta Kebudayaan dan Kesenian bagi menyambut kedatangan para pelancong kesini. Selain daripada itu, antara aktiviti yang boleh anda lakukan di sini adalah seperti perkelahan, mandi-manda dan bersiar-siar di persisiran pantai. Kawasan peranginan ini sebenarnya sudah lama wujud dan sentiasa dikunjungi oleh penduduk tempatan pada setiap petang dan hujung minggu ataupun pada musim cuti.


keriangan kanak-kanak berlatarkan pemandangan pantai yang indah sekali


Share

Thursday, August 12, 2010

KEMERIAHAN MUSIM BUAH : BUAH DURIAN

Selamat menyambut bulan Ramadhan diucapkan kepada semua pengunjung yang sudi singgah ke blog ini.


Mungkin pengunjung dari luar akan mencari-cari apakah perkara yang menyeronokkan di negeri Terengganu selain daripada menjelajah ke tempat-tempat yang menarik. Jawapannya ialah menikmati buah-buahan semasa musim buah di sini. Sebenarnya musim buah akan berlaku di seluruh negara kita yang bertuah ini pada setiap tahun dan negeri Terengganu adalah tidak terkecuali.


Artikel kali ini saya ingin berkongsi perkara yang sama dengan artikel sebelum ini iaitu tentang musim buah di negeri Terengganu. Musim buah di negeri Terengganu adalah terlalu istimewa kerana mempunyai sejenis buah yang namanya di ambil sempena nama negeri Terengganu iaitu duku Terengganu. Buahnya berbeza dengan duku yang lain kerana manis.


buah durian.....


Sebelum ini saya pernah bercerita tentang aktiviti mengutip buah di dusun di Kg Jabi, Jerteh. Disebabkan terlalu banyak sehinggakan buah-buahan tersebut dan hampir busuk.Buah durian yang diambil daripada dusun tersebut saya cuba hasilkan pelbagai masakan selain daripada tempoyak. Kali ini saya ingin berkongsi tentang masakan daripada buah durian. Selain daripada dimakan, buah durian turut boleh dibuat pelbagai jenis masakan yang menyelerakan dan amat sesuai dijadikan sebagai pencuci mulut. Malah ianya amat sesuai sekali untuk dijadikan menu untuk berbuka di bulan Ramadhan ini.


Masakan yang biasa saya sediakan daripada isi buah durian ialah jemput durian, bubur kacang durian dan bubur pulut durian. Selain daripada itu masakan yang boleh disediakan daripada isi buah durian ialah awajik durian, lempuk durian dan masakan berasaskan lauk-pauk seperti ikan patin masak tempoyak. Mungkin ada antara pengunjung yang pening untuk memikirkan resepi untuk berbuka puasa pada hari ini. Semoga dengan perkongsian saya kali ini dapat memberi idea. Selamat mencuba.


bubur kacang dan pulut durian


jemput durian...


awajik durian


patin masak tempoyak


cara-cara lempuk durian diproses dan cara pembungkusannya supaya tahan lama...


Share

Sunday, August 8, 2010

KEMERIAHAN MUSIM BUAH - DUKU TERENGGANU

Musim buah pada tahun ini amat meriah sekali kerana jika anda ke pasar@ pasaraya di seluruh negara pada waktu ini anda tidak akan terlepas melihat pelbagai buah-buahan dijual. Sudah menjadi kemestian di negara Malaysia dan negara jiran, pada bulan Jun hingga September adalah merupakan musim buah. Antara buah-buahan yang biasa “menjadi” pada musim ini ialah durian, duku, dokong, langsat, rambutan dan buah pulasan.



Artikel kali ini saya ingin menceritakan sejenis buah yang popular di Terengganu dan di belakangnya menggunakan perkataan Terengganu. Buah yang dimaksudkan ialah Duku Terengganu. Kebetulan pada minggu yang lepas, suami saya ke dusun abang ipar di Kg. Jabi, Jerteh yang mana berhampiran dengan Hutan Lipur Lata Belatan untuk mengambil buah-buahan di sana. Sebenarnya ada antara ahli keluarga kami mempunyai dusun di kawasan Jerteh yang lokasinya adalah sebelum Hutan Lipur Lata Belatan.
Jika anda perhatikan sebelum ke Hutan Lipur Lata Belatan, di kawasan-kawasan kampung di sini seperti Kampung Kuala Kubang (berhampiran Hutan Lipur Lata Belatan) terdapat banyak dusun milik penduduk kampung di sini. Setiap kali musim buah tiba, dusun-dusun penduduk di sini memang "menjadi" dengan pelbagai buah-buahan dan banyak sekali sehingga tidak habis dimakan.

rupa buah duku Terengganu di atas pokok....seperti buah langsat rupanya...


Daripada carian saya di laman web http://fazlisyam.com tentang buah ini, Duku Terengganu atau nama saintifiknya ialah Lansium domesticum Jack dan dipercayai berasal dari Semenanjung Malaysia Khususnya di negeri Terengganu. Ia tergolong di dalam famili Meliaceae seperti juga langsat, Duku Kelantan, Duku Johor dan dokong. Adalah dipercayai Duku Terengganu merupakan hasil kacukan semulajadi di antara duku dan langsat. Duku Terengganu lebih di kenali sebagai duku oleh penduduk tempatan dan buah ini digemari di seluruh negara kerana rasanya yang manis, mempunyai aroma yang unik dan tidak bergetah seperti buah langsat.


Antara gambar-gambar yang sempat diambil semasa aktiviti mengutip buah tersebut adalah seperti di bawah. Kebiasaannya pada musim begini terdapat juga homestay yang menawarkan aktiviti mengutip buah-buahan. Jika anda ingin lalui pengalaman sebegini, bolehlah anda menghubungi pihak homestay yang ada menawarkan perkhidmatan sebegini.


sedang mengutip buah yang telah masak..


buah yang sedang ranum masak dan sedia dikutip


antara imej pokok buah duku Terengganu...


Antara homestay yang anda boleh hubungi untuk sebarang pertanyaan di kawasan ini antaranya ialah Homestay Mastura Satay (019-9728906), Pelangi Homestay Jerteh (019-9314141 @ http://www.pelangihomestayjerteh.blogspot.com, ATZ Homestay Jerteh (019-3345156).


Share

Saturday, August 7, 2010

KESEJUKAN AIR DI HUTAN LIPUR / AIR TERJUN LATA BELATAN

Selepas kami sekeluarga menikmati sate di Kedai Sate Mastura, Kg Jabi pada 2 minggu yang lepas, kami terus bergerak ke Hutan Lipur Lata Belatan. Lokasi Hutan Lipur Lata Belatan ini ialah terletak 15 km daripada bandar Jerteh. Jika dari Kedai Sate Mastura dianggarkan hanya 4 km hingga 5km sahaja.


papan tanda Hutan Lipur Lata Belatan


Sebenarnya pada tahun 2002 saya pernah ke sini semasa membuat kerja amal di Kg Jabi semasa menuntut di salah sebuah institusi pendidikan di sini. Keadaan pada masa kini amat jauh berbeza pada masa itu, kerana daripada pemerhatian saya di sini telah banyak kemudahan telah dibina untuk keselesaan para pengunjung. Antaranya pihak Majlis Pembandaran Besut membina papan gelongsor dan memperbaiki tebing-tebing sungai yang curam supaya bertambah menarik untuk pengunjung ke sini. Selain daripada itu, bilangan tandas dan tempat persalinan pakaian turut bertambah dan amat bersih sekali.


kejernihan air di sini tidak dapat disangkal lagi..


Jika ada pengunjung ingin membuat majlis barbeku di kawasan ini, pihak MPB turut menyediakan tempat membakar. Selain daripada itu, terdapat juga surau dan dewan untuk kemudahan pengunjung untuk menjalankan aktiviti secara berkumpulan. Deretan kedai di sini turut dibina dengan pelbagai kemudahan tidak seperti dahulu hanya gerai-gerai sahaja yang ada.


Buat pengetahuan pembaca di luar, Hutan Lipur Lata Belatan ini turut mempunyai air terjun yang dipanggil air terjun Lata Belatan. Sama seperti keadaan Air Terjun Sekayu di Hutan Lipur Sekayu serta Jeram Tanduk, air di sini turut sejuk dan nyaman. Tempat sebegini amat sesuai untuk kanak-kanak mandi kerana air sungainya yang tidak dalam, jernih dan berpasir halus serta tidak merbahaya.


betapa jernih dan sejuknya air di sini


lihat begitu asyik kanak-kanak mandi di sini


vidoe kanak-kanak yang asyik mandi....


Selain daripada tarikan air terjunnya yang cantik dan keindahan hutan yang terdiri daripada pelbagai flora dan fauna, Gunung Tebu yang menjadi kegilaan kepada pendaki gunung yang sukakan aktiviti lasak. Gunung Tebu mempunyai ketinggian sehingga 7088 meter dan untuk ke puncak Gunung Tebu, pendaki perlu melalui beberapa halangan antaranya Sungai Cakah Dua dan Batu Mat Hassan seterusnya punca air terjun di ketinggian 4950 meter.


papan tanda arah untuk ke mendaki ke Gunung Tebu


Di sini turut disediakan tapak perkhemahan yang luas kepada mereka yang suka menikmati keindahan malam di dalam hutan dan melakukan aktiviti yang lasak seperti jungle tracking di Hutan Lipur Lata Belatan. Selain daripada itu, kepada pengunjung yang ingin bermalam di sini dengan keadaan yang selesa pihak pengurusan turut menyediakan chalet yang berpatutan harganya.


Rugi jika anda tidak cuba mandi di sini.....bak kata pepatah melayu....tak kenal maka tak cinta....sekali rasa nak lagi.....


Share

Monday, August 2, 2010

MAKAN SATE DI KEDAI SATE MASTURA, JABI

Kebiasaannya jika kami sekeluarga teringin makan sate, pasti kami akan ke Kedai Sate Mastura yang terletak di Kg Jabi, Jerteh. Sejak menikmati sate di kedai ini, tiada sate di tempat lain yang dapat menandingi keenakan sate di sini. Terdapat pelbagai jenis sate yang disediakan antaranya sate ayam, sate daging, hati dan tulang. Dan paling sedap jika dimakan di kedai dan masih lagi panas. Sebenarnya keenakan sate Jabi menjadi tumpuan penduduk dari negeri ini setiap kali mahu menikmati sajian tersebut.


Kedai Sate Mastura ini terletak kira-kira 80 kilometer dari bandar raya Kuala Terengganu, pengunjung hanya perlu mengambil masa selama satu jam untuk ke kawasan tersebut. Klik di sini untuk melihat lokasi tempat dan link ke google maps.



Kedai Sate Mastura....di sini juga ada disediakan homestay...


Mungkin sate di sini lain daripada lain kerana cara buatan kuah kacangnya yang berbeza daripada tempat lain. Selain daripada itu, kuah sate di kedai ini turut disediakan bersama-sama dengan cili kerana mungkin ada pelanggan yang sukakan kuah kacang yang pedas sedikit.


aktiviti memotong nasi impit, membakar sate dan mengisi kuah kacang..


proses membakar sate oleh pekerja kedai sate mastura...



sate daging yang masing panas..menyelerakan...

sate ayam....makan panas-panas sedap ni...


bersama dengan pengurus kedai sate jabi....Pn. Ramlah bt Dollah..


Daripada hasil wawancara bersama pengurus kedai sate mastura, dalam sehari hampir sebanyak 5,000 cucuk sate dijual dan sebanyak 45 kilogram nasi himpit ditanak . Seawal pukul 8 pagi, setelah bekalan ayam diperoleh, ia akan diproses sebelum diperap dengan rempah seketika dan kemudian mula dicucuk oleh beberapa orang pekerja. Rahsia keenakan sate mastura adalah dari resipi yang diperoleh oleh ibu mertua abangnya sejak zaman-berzaman kerana diproses secara tradisional.


sate sedap dimakan bersama nasi impit, hirisan timun dan bawang...



Menurutnya, setiap kali cuti sekolah atau cuti umum, gerainya akan dipenuhi pelanggan tidak kira penduduk tempatan mahupun dari luar. Tambahan pula, mereka tidak menerima sebarang tempahan ketika bulan puasa mahupun hari raya bagi meluangkan masa bersama keluarga dan beribadat.



Share

Saturday, July 10, 2010

KEASLIAN KEINDAHAN KUALA DENDONG, TEMBILA, BESUT


Artikel kali ini saya ingin berkongsi tentang sebuah pantai yang menarik di kawasan Besut iaitu Pantai Kuala Dendong.
Saya pernah ke sini semasa ditugaskan untuk menjadi urusetia untuk program KeKas. Dari Kampung Raja, Besut dianggarkan n mengambil masa lebih kurang 20 hingga 30 minit untuk ke Kuala Dendong.



lihat pemandangan di belakang saya....cantik bukan?..pengunjung di belakang tu hanya ahli KeKAS sahaja....


bersama rakan yang bersama-sama ditugaskan sebagai urusetia KeKAS


Tempat ini memang sesuai untuk aktiviti perkhemahan, berkelah dan juga untuk aktiviti lasak kerana tempatnya amat bersih dan lapang serta berada jauh dari kawasan kampung. Selain daripada itu juga, terdapat bukit-bukit yang memang menarik untuk dilawati. Tempat ini sememangnya bersesuaian untuk aktiviti perkhemahan yang memerlukan aktiviti yang mencabar seperti jungle tracking dan treasure hunt.


bukitnya berlekuk-lekuk dan boleh dipanjat..


betapa bersihnya pantai di sini..


Share
Related Posts with Thumbnails