Anda mempunyai akaun blogger?

Tuesday, September 7, 2010

BERGAMBAR DI MASJID TERAPUNG YANG TERULUNG DI MALAYSIA

Semasa perjalanan ke majlis berbuka puasa anjuran sebuah badan kerajaan di salah sebuah kelab golf di Kuala Ibai, kami mengambil peluang untuk bergambar di Masjid Tengku Tengah Zaharah berhampiran dengan Taman Rekreasi Kuala Ibai. Kawasan masjid ini cantik dan strategik sekali kerana berada di tepi jalan utama di negeri ini. Tambahan pula, jalan ini menjadi laluan utama Kuala Terengganu ke Kuantan.


pintu gerbang ke Masjid Tengku Tengah Zaharah


Daripada bacaan saya di dalam wikipedia Bahasa Melayu, Masjid Tengku Tengah Zaharah atau Masjid Terapung telah dinamakan sempena nama bonda Al-Marhum Sultan Terengganu Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah iaitu Tuanku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja. Lokasi masjid ini terletak 4 km dari pusat bandar Kuala Terengganu. Sebenarnya masjid ini mempunyai keindahan dan keunikan tersendiri berbanding dengan masjid lain yang telah dibina. Masjid ini dibina di atas air di muara Sungai Ibai yang sekaligus menjadikan masjid terapung yang terulung di Malaysia.



kelihatan bayang masjid ini di dalam muara sungai ini menandakan air di sini jernih ( tambah cantik bila pohon kelapa termasuk di dalam gambar ini)


antara gambar yang cantik hasil "air tangan" penulis tanpa diedit menggunakan hanya kamera LUMIX yang dibeli pada tahun 2004 (hampir menjadi kamera antik)


antara gambar yang penulis anggap tercantik dan tidak perlu diedit


Masjid yang mula dibina pada September 1991 dan siap pertengahan Januari 1994 bernilai RM6.997 juta yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya direkabentuk oleh Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, dari Seni Bahri dengan menampilkan ciri-ciri tamadun Islam dan gabungan senibina tempatan.


Keluasan masjid ini ialah berjumlah 1,372 meter persegi dan menaranya setinggi 30 meter, sebuah kubah besar dan lima wakaf serta di kelilingi air sedalam 1.5 meter ini mampu menampung jemaah sehingga 1,000 orang yang menempatkan dewan solat lelaki di bahagian bawah manakala wanita di bahagian atas.


Masjid yang telah dirasmikan oleh Al-Marhum Sultan Mahmud ini menyediakan kemudahan lain seperti bilik diraja, perpustakaan kecil, bilik dan pejabat imam, stor, tempat wuduk dan kawasan letak kereta yang boleh menampung lebih 400 kenderaan.


Dengan gabungan hiasan taman, warna langit yang membiru, kilauan cahaya matahari dari permukaan air yang mengelilingi masjid itu serta tiupan angin dari Laut China Selatan, pastinya ia menjadi masjid yang paling nyaman dan mendamaikan memberi erti betapa keagungan syiar Islam terangkum dalam suatu bentuk tamadun yang terus berkembang.


model cilikku ceria bergambar di Masjid Tengku Tengah Zaharah

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails