Anda mempunyai akaun blogger?

Thursday, September 30, 2010

MENIKMATI KEHIJAUAN POHON BAKAU DI TAMAN REKREASI RHU MADU MERCHANG


Taman Rekreasi Rhu Madu Merchang terletak di dalam daerah Marang iaitu berada di laluan utama Kuala Terengganu – Kuantan dan berhadapan dengan Hutan Lipur Jambu Bongkok. Taman ini adalah kawasan yang dijadikan tempat persinggahan para pengunjung yang melalui kawasan ini. Di kawasan ini terdapat tempat duduk yang boleh kita beristirehat untuk melepaskan kepenatan sepanjang perjalanan di dalam kenderaan. Kami sekeluarga kebiasaannya akan singgah ke sini jika dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Terengganu atau dari Kuala Terengganu ke Kuantan. Taman ini sering menjadi tumpuan orang ramai kerana kawasannya adalah berada di tepi jalan utama.



Taman rekreasi ini terletak di tepi jalan utama Kuantan-Kuala Terengganu


kerusinya yang unik


Di mana sebelah taman ini, terdapat kawasan paya yang dipenuhi paya dan pokok-pokok renek yang lain. Sesiapa yang berada di sini pasti akan tenang dengan pemandangan pohon-pohon bakau dan pokok-pokok renek di sekitar kawasan ini.


kehijauan pokok-pokok di sini yang menenangkan sesiapapun yang berada di sini


Selain itu, kawasan ini turut dilengkapi dengan kemudahan seperti tandas, kedai makan, surau dan wakaf untuk berehat. Kebersihan di kawasan ini turut dijaga dengan baik oleh Majlis Daerah Marang. Pasti tidak rugi anda ke sini, malah berbaloi-baloi lagi...dan pasti tidak jemu untuk singgah ke sini lagi kerana sesungguhnya Terengganu di hatiku..



kawasannya yang bersih


Share

PENGALAMAN YANG SUKAR DILUPAKAN DI HUTAN LIPUR CEMERONG


Kemuncak lawatan kami ke tempat-tempat menarik di negeri Terengganu ialah ke Hutan Lipur Cemerong. Perjalanan kami pada hujung minggu yang lepas telah dirancang dengan sebaik-baiknya. Selepas singgah di Makam Sultan Yahya Siak, kami terus bergerak ke Hutan Lipur Cemerong. Hutan Lipur Cemerong ini berada di dalam hutan simpan kekal negeri Terengganu dan terletak di dalam kawasan Hulu Dungun, daerah Dungun. Diangggarkan jarak ke sini adalah 120 kilometer daripada bandar Dungun.


bergambar di papan tanda Hutan Lipur Cemerong


Daripada maklumat di dalam laman web Jabatan Perhutanan negeri Terengganu, Hutan Lipur Cemerong merupakan hutan kekal terbesar iaitu melebihi 300 ekar dan mempunyai air terjun yang tertinggi di Asia Tenggara iaitu air terjun Cemerong. Ketinggian air terjun ini dari kaki air terjun dianggarkan setinggi 250 meter. Di kaki air terjun ini terdapat kolam semulajadi yang boleh dijadikan tempat mandi kepada pengunjung yang ke sini.



gambar yang sempat diambil semasa ke sini


inilah kolam di kaki air terjun tersebut..untuk sampai ke sini, kami perlu mendaki dan turun bukit...tapi berbaloi-baloi...


bergambar kenangan di tepi air terjun....gambar gelap sedikit


Saya memang mendengar buah mulut beberapa orang teman yang mengatakan air terjun di Hutan Lipur Cemerong merupakan air terjun yang paling tinggi di Asia Tenggara dan tidak pula saya dapat bayangkan sejauh mana ketinggian sehinggalah saya sendiri mengalaminya di sana. Selepas melalui beberapa buah kampung iaitu sebelum sampai ke tempat ditujui, dengan mata kepala saya sendiri dapat melihat air terjun gah tinggi di atas bukit sana. Dalam hati tergambar bangga juga saya sebagai rakyat Malaysia kerana terdapat tempat yang indah dan yang menaikkan nama Malaysia di mata dunia.



air terjun yang boleh dilihat dari atas jalan raya....air terjun tertinggi di Asia Tenggara...


Sampai sahaja di sini, kami perlu mendaftarkan nama sebagai langkah keselamatan kami semua. Daripada pemerhatian di sekeliling hutan lipur ini, saya dapati pelbagai kemudahan telah dibangunkan oleh pihak kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan rekreasi ini. Di dalam kawasan ini terdapat kemudahan seperti kantin, surau, tandas dan tempat persalinan, bilik mesyuarat dan juga taman permainan untuk kanak-kanak. Selain daripada itu landskapnya turut cantik dan banyak wakaf-wakaf dibina untuk pengunjung berehat menghilangkan penat semasa mendaki bukit di sini ke tempat air terjun cemerong.


kemudahan yang terdapat di sini...siap ada bilik mesyuarat lagi..


tangki air yang sumbernya dari air bukit


bergambar di peta kawasan Hutan Lipur Cemerong..masing-masing membawa bekal air dan makanan...


Disebabkan semasa sampai di sini adalah waktu tengahari, jadi kami sekeluarga singgah untuk makan tengahari di wakaf yang disediakan oleh pihak pengurusan. Tertarik pula saya dengan binaan wakaf di sini yang bercirikan senibina tradisional dan setiap wakaf tersebut terdapat pili air yang sumbernya dari air bukit atau air terjun di sini.


Perkara yang menakjubkan saya semasa berada di sini ialah semasa sedang asyik mandi tiba-tiba sekumpulan anak-anak ikan datang ke arah kami dan mengigit kaki seumpama di pusat kecantikan spa ikan pula. Apabila kami cuba memberi beberapa keping roti, sekumpulan besar anak-anak ikan datang mengelilingi kami dengan banyak sekali. Itu adalah pengalaman yang pertama dan paling bermakna sekali kerana jika sebelum ini kami singgah mandi di mana-mana air terjun tidak pula banyak ikan yang jinak sebegini. Jika anda ingin alami sendiri, cubalah datang sendiri ke sini. Pasti berbaloi-baloi.......dan pasti tidak jemu untuk ke sini lagi kerana sesungguhnya Terengganu di hatiku..


sekeluarga asyik mandi...sejuknya dan jernihnya air di sini


video

video pendek semasa mandi di sini


kelihatan ikan yang jinak sedang makan roti


video
video pendek semasa sekumpulan ikan diberi roti


video
video pendek sekumpulan ikan keluar dari celah-celah batu


video
video pendek tentang ikan yang paling saya suka



Share

SINGGAH SEBENTAR DI MAKAM SULTAN YAHYA SIAK


Persinggahan kami yang seterusnya selepas dari Pusat Penerangan Penyu di Rantau Abang ialah di Makam Sultan Yahya Siak yang terletak di Kampung Che Lijah, Dungun. Kami selalu
melalui laluan makam ini jika pulang ke kampung dan setiap kali membaca papan tanda makam ini hati sering berkata apakah yang menarik tentang makam itu. Kiranya persinggahan kami kali ini di sini ialah untuk pertama kalinya. Hasilnya beberapa gambar di sekitar makam ini saya sempat rakamkan untuk perkongsian di dalam blog ini untuk pengunjung di luar sana.


binaan makam yang bercirikan senibina tradisional negeri Terengganu....banyak menggunakan seni ukiran kayu


papan tanda ke makam


tugu penerangan makam ini



Daripada tugu tanda ini menerangkan :


Beliau menaiki takhta Kerajaan Siak selepas kemangkatan ayahandanya Sultan Ismail pada tahun 1782. Semasa pemerintahan Sultan Yahya, telah berlaku perebutan kuasa di antara baginda dengan Raja Alam. Melalui muslihatnya, Raja Alam telah berjaya merampas takhta kerajaan Siak daripada Sultan Yahya. Sultan Yahya telah berundur ke Retih dan kemudian ke Tanjung Pati di Dungun, Terengganu. Baginda telah mangkat di Dungun dan dimakamkan di tanah perkuburan Islam Kampung Che Lijah di Dungun pada tahun 1784.



makam yang dijaga rapi oleh penduduk sekitar....


pandangan sebelah kiri..lihat ukiran kayu yang cantik dibahagian bumbung..


Semasa saya meninjau di kawasan makam ini, terdapat juga kubur-kubur yang lain di sekitar makam ini. Kawasan ini dijaga rapi dan bersih sekali oleh pihak yang berwajib. Makam ini adalah salah satu tanda tentang sejarah negara kita pada masa dahulu kala. Oleh itu, sebagai generasi pada masa kini, kita seharusnya mengambil ikhtibar atas apa yang berlaku sebelum ini dan menyayangi tanah air kita ini. Bak kata pepatah melayu... “Tanpa Sejarah Siapalah Kita”....dan pasti berbaloi-baloi bila kita berada di negeri Terengganu kerana sesungguhnya Terengganu di hatiku...



Share

Wednesday, September 29, 2010

MELAWAT KE PAMERAN PENYU DI PUSAT PENERANGAN PENYU


Kesempatan berada selama dua hari di Rantau Abang digunakan sepenuhnya oleh kami untuk melawat ke Pusat Penerangan Penyu iaitu pada hari terakhir kami berada di situ. Pusat ini terletak hanya dilaluan jalan utama Kuantan – Kuala Terengganu dan daripada chalet yang kami menginap hanya 200 meter sahaja jaraknya.


Tujuan pusat ini dibina adalah untuk memberikan pengetahuan kepada pengunjung mengenai penyu dan kenapa kita perlu pulihara penyu daripada pupus. Selain itu tempat ini turut memberi perlindungan, memulihara dan menguruskan penyu di sekitar kawasan ini dan khususnya negeri Terengganu.



bergambar sebelum masuk ke bilik pameran di pusat penerangan penyu


landskap yang cantik


melihat penyu tengah bertelur...


Selain daripada mempamerkan maklumat tentang jenis penyu dan bentuk telur setiap jenis penyu tersebut, cara penetasan telur penyu turut ditunjukkan dengan gambaran grafik yang menarik sekali. Di sini juga, pengunjung boleh melihat pameran bagaimana penyu boleh mengalami kepupusan yang teruk akibat aktiviti manusia pada masa kini.


telur penyu pelbagai saiz mengikut jenis penyu


melihat cara-cara telur penyu menetas


Pusat ini juga mengumpul telur penyu yang telah dijumpai oleh penduduk sekitar denagn secara membeli telur tersebut secara pajakan. Telur tersebut akan dieram untuk tujuan penetasan telur penyu sebagai pemuliharaan. Sebenarnya publisiti pemuliharaan penyu ini telah dilancarkan dan dilaksanakan sejak tahun 2008 lagi.


telur yang baru dikutip....hampir 100 biji sekotak polesterin


Di sebelah luar kawasan pusat penerangan penyu turut dibina kawasan pengeraman telur penyu dan kolam tempat anak-anak penyu dilepaskan selepas menetas sebelum mereka dilepaskan ke laut.


Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang penyu, silalah datang ke sini pasti berbaloi-baloi dan tidak jemu...sesungguhnya anda akan berkata Terengganu di hatiku..



kawasan berpasir yang dibina untuk proses penetasan telur penyu..


dapat pegang anak penyu kali ke dua...berbaloi-baloi singgah di sini...


Share

MANDI MANDA DI TEPI PANTAI RANTAU ABANG

Semasa menginap di salah sebuah chalet di Rantau Abang baru-baru ini, kami sekeluarga sempat mandi di pantai di sini. Ini adalah kali pertama kali kami singgah di pantainya walaupun berulang alik melalui jalan raya dari Kuala Terengganu – Kuantan. Sebelum ini kami hanya melihat pantai ini dari atas jalan raya sahaja, tetapi kali ini dapat merasai keindahan pantainya dan dapat pula mandi manda di sini dengan sepuas-puasnya.


pantainya yang bersih dan landai...


Sebenarnya saya akui, dalam banyak-banyak pantai yang saya singgah dan mandi, pantai Rantau Abang berbeza dari pantai yang lain. Bukan saya ingin mempromosi berlebih-lebihan, tetapi saya akui sendiri kerana pasir di pantai ini lain daripada lain. Pasirnya yang bersih, berwarna keemas-emasan dan kesat berbanding dengan pasir di pantai yang lain. Malah bentuk geografi di sini adalah berbentuk landai yang menyebabkan penyu mudah naik untuk bertelur. Dan ini menyebabkan kami berani untuk membenarkan anak-anak mandi di sini kerana pantainya yang landai dan selamat.


video

video semasa bersiar-siar di Pantai Rantau Abang


keindahan pantai ini menyebabkan ramai pengunjung suka ke sini


chalet yang menghadap ke pantai Rantau Abang


aktiviti pada waktu petang di tepi pantai Rantau Abang


Sampai sahaja di tempat penginapan, anak-anak saya meminta untuk memakai baju mandi dan membawa mereka mandi di pantai. Selepas menikmati minum petang di atas wakaf yang disediakan oleh pihak chalet kami terus ke pantai untuk mandi dan sebelum itu kami sempat melihat tempat penetasan dan penjagaan telur penyu yang berhampiran. Semasa kami menginap di sini terdapat beberapa program untuk pelajar sekolah menengah dari beberapa sekolah di sekitar negeri Terengganu.


sedang asyik mandi..


video

video pendek semasa berada di tepi pantai Rantau Abang


Saya sempat merakamkan keindahan pantai di sini memandangkan bilik yang kami sewa betul-betul menghadap ke pantai. Sesungguhnya situasi ini mengimbau balik kenangan semasa saya melakukan aktiviti perkhemahan di tepi pantai sebelum ini di Pantai Kuala Dendong dan di Pulau Rhu Hentian. Rugi jika anda tidak singgah untuk menginap di pantai Rantau Abang kerana selain dapat menikmati keindahan pantainya yang bersih, anda juga dapat melihat penyu di pusat penetasan telur yang diusahakan pihak chalet dan boleh juga mencari maklumat tentang penyu di Pusat Penerangan Penyu. Jadi sesuailah dengan tema blog saya ini, berbaloi-baloi jika datang ke negeri Terengganu kita.....dan pasti anda akan berkata Terengganu di hatiku....


pemandangan dari bilik yang kami sewa di chalet ini, kelihatan pelajar sekolah sedang bermain bola sepak pantai di waktu petang


pemandangan yang indah di tepi pantai Rantau Abang...


pemandangan indah semasa matahari baru naik


Share

Tuesday, September 28, 2010

PENGALAMAN YANG AMAT BERHARGA DI RANTAU ABANG

Pada hujung minggu yang lepas, saya berpeluang bercuti ke Rantau Abang bersama-sama dengan ahli keluarga dan tinggal selama 2 hari 1 malam di chalet De’Teratai Beach Resort. Jarak Rantau Abang adalah sebanyak 65 kilometer dari Kuala Terengganu dan berada di laluan utama Kuantan-Kuala Terengganu. Selama berada di sana, kami dapat menikmati keindahan pantai Rantau Abang sepuas-puasnya.


D'Teratai Beach Resort


menikmati minum petang sambil menikmati keindahan pantai


Selain daripada itu kami juga turut berpeluang melawat ke pusat penetasan penyu milik resort tersebut. Kami melawat kawasan ini bermula dari tempat penetasan telur penyu di dalam pasir iaitu di tepi pantai Rantau Abang di kawasan milik resort dan seterusnya ke tempat penjagaan penyu tersebut. Di pusat penetasan penyu di sini turut memelihara beberapa ekor penyu dewasa.


tempat penetasan dan penjagaan penyu yang ada di resort ini


seronok betul dapat pegang anak penyu yang baru menetas


banyak sungguh anak-anak penyu...comel sangat dan geramnya...


penyu dewasa dalam penjagaan rapi di pusat penjagaan penyu di sini


video

video pendek semasa melihat penyu di tempat pemeliharaan penyu


Sebenarnya kehadiran kami pada minggu lepas adalah terlewat sedikit kerana seekor penyu telah singgah ke pantai di sini untuk bertelur pada dua minggu yang lepas. Buat masa ini, amat jarang sekali penyu singgah bertelur kemungkinan telah hampir mengalami kepupusan. Memang bersesuaian pihak kerajaan negeri membina pusat penerangan penyu di Rantau Abang dan mengetatkan larangan mengutip telur penyu oleh orang awam.


penyu yang baru singgah bertelur dua minggu yang lepas



Pantai di sini adalah berbeza dengan di pantai-pantai yang lain kerana berbentuk landai dan selamat untuk kanak-kanak mandi. Dan oleh sebab keadaan bentuk muka bumi di sini menyebabkan penyu suka singgah ke sini kerana pantainya landai dan mudah mereka merangkak naik ke tepi pantai. Saya sempat merakamkan pemandangan indah pada waktu hampir senja dan semasa matahari sedang naik. Pengalaman kali ini amat indah dan amat berharga sekali serta berbaloi-baloi kepada kami sekeluarga. Jika anda menikmati pengalaman seperti kami di sini pasti anda akan berkata Terengganu di hatiku. Mungkin pada masa akan datang kami cuba datang ke sini lagi pada masa yang sesuai iaitu semasa penyu singgah ke sini untuk bertelur. InsyaALLAH.....


pemandangan pantai di sini semasa matahari sedang naik


penulis bersama anak-anak di pantai Rantau Abang...pemandangan yang indah di awal pagi


saya amat sukakan pemandangan ini, ada sampan nelayan di lautan tu



Share

Monday, September 27, 2010

SINGGAH DI LAGENDA BATU PENYU DI BUKIT CHE HAWA, RANTAU ABANG

Semasa lawatan kami ke Rantau Abang hujung minggu yang lepas, kami sempat singgah ke Lagenda Batu Penyu yang terletak di Bukit Che Hawa. Di atas bukit ini terdapat sebuah batu besar yang menyerupai bentuk penyu yang panjangnya kira-kira 3.5 meter. Untuk sampai ke kawasan ini daripada jalan utama (jika dari Kuantan) dan sebelum sampai ke Pusat Penerangan Penyu, anda akan berjumpa dengan papan tanda arah ke bukit ini. Laluan masuk adalah di sebelah kiri dan perlu melalui kawasan kampung. Jarak untuk ke bukit ini dianggarkan adalah 2.5 kilometer dari jalan utama .



batu besar yang berbentuk penyu di atas bukit ini


inilah batu yang berbentuk penyu yang panjangnya dianggarkan 3.5 meter


papan tanda ke Lagenda Batu Penyu..sebelum stesen minyak Petronas



Sebenarnya kami hampir tidak menjumpai kawasan ini kerana selepas melalui jalan utama tersebut tiada papan tanda arah yang lain, dek kerana takut sesat kami bertanya dengan orang kampung petunjuk arah ke sini. Untuk ke sini anda tidak perlu risau kerana jalan rayanya adalah berturap sepenuhnya, malah tempat wujudnya batu besar berbentuk penyu dibina wakaf berbumbung. Dari atas puncak bukit ini kelihatan lautan biru sekitar pantai Rantau Abang dan berbaloi-baloi sekali kepada pencinta alam yang indah dan semulajadi seperti saya.



kelihatan lautan biru dari atas puncak Bukit Che Hawa ini


wakaf berbumbung yang dibina di atas bukit ini untuk melindungi batu penyu tersebut



Daripada carian saya di dalam sebuah laman web tentang lagenda batu besar yang berbentuk penyu ini, pendaratan penyu selama ini kononnya dikaitkan dengan kewujudan batu besar itu. Walaupun ada yang menganggapnya sebagai tidak masuk akal, cakap-cakap mengenai hubungan batu penyu itu dengan kehadiran penyu tidak pernah dinafikan oleh golongan tua di kampung berkenaan.


rombongan penulis semasa melawat ke sini


Berdasarkan artikel di dalam laman web tersebut juga, orang-orang tua yang tinggal di sini mengatakan seekor penyu gergasi datang dari laut dan naik ke atas bukit tersebut dan akhirnya bertukar menjadi batu. Ada juga orang-orang tua berkenaan berkata, selama ini penyu datang bertelur di Rantau Abang kerana ada 'ibu penyu' di atas bukit itu. Sebelum ini batu tersebut berbentuk seakan-akan seekor penyu, namun lama-kelamaan ia mula hilang bentuk ekoran batunya mulai pecah dan diambil orang.
Sebenarnya ada dua buah batu penyu di Rantau Abang. Satu lagi tertanam di dalam sungai di laluan masuk ke Bukit Che Hawa tetapi ramai yang tidak menyedarinya.



batu yang berbentuk penyu dari hadapan


Sehingga kini tidak ada siapa tahu bila dan siapa yang menemui batu sepanjang kira-kira 3.5 meter tersebut.
Lagenda Batu Penyu di Bukit Che Hawa ini adalah salah satu tanda kepada generasi pada masa kini yang pantai di sekitar Rantau Abang adalah kawasan pantai yang penyu suka singgah untuk bertelur. Sebenarnya pada masa kini bilangan penyu singgah untuk bertelur di sini semakin berkurang dan amat jauh berbeza dengan sebelum ini.

Share
Related Posts with Thumbnails