Anda mempunyai akaun blogger?

Tuesday, August 31, 2010

KEINDAHAN PANTAI AIR TAWAR, BESUT

Perjalanan kami sekeluarga dari negeri Kelantan ke Kuala Terengganu pada minggu lepas tidak disia-siakan begitu sahaja. Kami singgah di beberapa tempat yang menarik yang boleh dijadikan bahan untuk dimasukkan ke dalam blog ini. Antara kunjungan yang kami lakukan antaranya ialah ke Pantai Air Tawar. Pantai Air Tawar ini terletak di dalam daerah Besut dan terletak berhampiran dengan Bukit Keluang. Jika anda berada di pantai ini, anda akan dapat melihat secara sayup Bukit Keluang dari sini. Daripada pantai ini juga kelihatan Pulau Rhu Hentian yang pernah saya kunjungi beberapa tahun dahulu. Sesungguhnya pemandangan di sini mendamaikan kepada sesiapa sahaja yang berada di sini.


papan tanda ke Pantai Air Tawar


indahnya pemandangan pantai di sini, kelihatan Pulau Rhu Hentian dari sini


Pantai Air Tawar terkenal dengan keindahan pantainya dan tidak begitu asing lagi bagi penduduk setempat. Dengan kemudahan yang ada, ia kerap menjadi destinasi percutian keluarga selain menjadi tempat pilihan untuk menjalankan aktiviti kebudayaan dan sebagainya. Kemudahan astaka yang disediakan memudahkan pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan. Di sini terdapat kemudahan seperti hotel, chalet, pondok telefon, gerai-gerai makanan, taman permainan kanak-kanak dan lain-lain.



antara kemudahan yang ada di sini antaranya Taman Rekreasi, Taman Awam, Pentas Rebana, Kedai-kedai makan, chalet-chalet dan lain-lain lagi


Pada setiap tahun kawasan peranginan ini sentiasa diadakan Pesta Kebudayaan dan Kesenian bagi menyambut kedatangan para pelancong kesini. Selain daripada itu, antara aktiviti yang boleh anda lakukan di sini adalah seperti perkelahan, mandi-manda dan bersiar-siar di persisiran pantai. Kawasan peranginan ini sebenarnya sudah lama wujud dan sentiasa dikunjungi oleh penduduk tempatan pada setiap petang dan hujung minggu ataupun pada musim cuti.


keriangan kanak-kanak berlatarkan pemandangan pantai yang indah sekali


Share

MEMEGANG DAN BERGAMBAR BERSAMA GAJAH DI SANTUARI GAJAH SG KETIAR

Santuari Gajah Sungai Ketiar merupakan satu tarikan baru bagi kawasan Hulu Terengganu khususnya Daerah Kuala Berang. Lokasinya terletak di laluan Kuala Berang–Gua Musang dan terletak 56km daripada Jeti Pengkalan Gawi. Kami sekeluarga singgah di sini selepas singgah di Jeti Pengkalan Gawi semasa perjalanan balik ke kampung halaman di Gua Musang. Kebiasaannya kami hanya lalu sahaja di kawasan ini kerana disebabkan kekangan masa untuk mengejar masa balik ke kampung halaman.


papan tanda arah ke Santuari Gajah dari Jeti Gawi


penulis bergambar bersama anak-anak di papan tanda Santuari Gajah, Sg Ketiar


ramai pengunjung yang singgah ke sini untuk melihat dan bergambar bersama gajah di sini


Santuari yang dibuka kepada orang ramai mulai 30 Januari 2009 ini merupakan salah satu pelengkap kepada mereka yang melawat Tasik Kenyir selain daripada Santuari Kelah di Sungai Petang. Kawasan santuari ini ialah kira-kira 15,000 hektar yang bersempadan dengan Taman Negara dan Hutan Simpan Hulu Besut. Santuari Gajah Sungai Ketiar yang kini hanya mempunyai dua ekor gajah jinak, Suria dan Seri dan anak gajah yang kecil serta masih di dalam kandang. Suria merupakan gajah betina berusia 10 tahun yang diperolehi dari Kampung Pak Kanchil, Setiu, Terengganu.


inilah gajah-gajah yang ada di sini...tiga ekor kesemuanya..


suria bersama petugas


Inilah kali pertama singgah dan melihat gajah dengan lebih dekat serta dapat memegang gajah tersebut. Memang menakutkan walaupun gajah-gajah tersebut digari kakinya dengan rantai tetapi disebabkan ditemani oleh petugas di sini kami semua berani untuk memegang dan bergambar dengan gajah-gajah tersebut. Selain daripada melihat dan memegang gajah tersebut, pengunjung turut boleh menunggang gajah. Masa menunggang gajah adalah bermula jam 3.00 petang hingga 6.00 petang. Kami tidak dapat merasa untuk menunggang gajah kerana waktu kami sampai di sini masa baru menunjukkan jam 11.00 pagi. Mungkin pada masa lain jika diberi peluang, kami akan singgah dan cuba untuk menunggang pula gajah di Santuari Gajah Sg Ketiar ni.


pengunjung dapat melihat dengan jarak dekat, memegangnya malah boleh menunggang gajah di sini


Buat pengetahuan pengunjung blog ini, sebenarnya segala perbelanjaan untuk memelihara gajah-gajah ini sepenuhnya di tanggung oleh pihak kerajaan Negeri Terengganu melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN). Pada pendapat saya projek ini sebenarnya dapat memberi kesedaran kepada generasi muda supaya melindungi hidupan liar.


Share

Monday, August 30, 2010

TARIKAN KEINDAHAN DI PANTAI PANDAK,CENDERING

Kami sekeluarga singgah sebentar di Pantai Pandak, Cendering semasa perjalanan balik ke Kuantan. Sebenarnya ini adalah kali pertama kami singgah ke sini walaupun biasa melihat papan tanda Pantai Pandak dari jalan utama Kuala Terengganu ke Kuantan.


papan tanda ke Pantai Pandak dari jalan utama Kuala Terengganu ke Kuantan


Sampai sahaja di pantai ini, hati saya amat girang sekali apabila melihat keindahan pantainya yang berbentuk berbentuk U yang sangat unik seperti berada di kawasan pantai di luar negara. Apa lagi sampai sahaja ke sini, saya memanggil tiga orang model cilik untuk cepat-cepat bergambar kerana semasa kami singgah, matahari baru sahaja naik. Pemandangan yang dikira cantik bagi saya walaupun tidak mengambil kursus fotografi secara khusus.


kanak-kanak sedang bermain-main di tepi pantai


tiga batang pokok kelapa yang menambahkan keindahan pantai ini


beberapa pengunjung yang sedang mandi-manda


Semasa kami singgah ke sini, beberapa orang pengunjung sedang mandi dan ada juga yang sedang mencari sesuatu di dalam laut. Mungkin masa ini musim mencari kepah atau ketam.


Daripada carian di dalam google, Pantai Pandak di Chendering dekat sini memang digemari pengunjung kerana persekitaran pantainya yang cantik. Selain berbentuk lagun, pesisir pantai yang dipenuhi pasir bersih dan putih itu dilihat amat sesuai bagi pengunjung untuk mandi-manda.


Namun di sebalik keindahan itu, Pantai Pandak juga ada siri hitamnya kerana banyak merekodkan kejadian lemas sejak beberapa tahun lalu.Disebabkan banyak kes mati lemas yang berlaku, ada sesetengah penduduk setempat mendakwa kawasan itu ‘berpuaka’ dan sentiasa menagih ‘korban’ manusia setiap tahun.


Mungkin pantai ini terlalu cantik tetapi tidak sesuai untuk mandi manda kerana faktor geografinya dan ianya hanya sesuai untuk kita menikmati keindahan pantainya disamping berkelah bersama keluarga tersayang atau sahabat handai.


Share

Sunday, August 29, 2010

MENIKMATI PEMANDANGAN YANG INDAH DI WATERFRONT BALIK BUKIT

Kali ini saya ingin berkongsi dengan pengunjung blog tentang pemandangan cantik di Waterfront Balik Bukit, Kuala Terengganu. Kebiasaannya pengunjung suka datang ke sini untuk menikmati makanan di gerai makanan yang terletak berhampiran dengan tepi muara sungai Terengganu serta menikmati sinaran cahaya lampu di sekitar kawasan ini. Sebenarnya tempat ini akan lebih hidup atau perkataan lain ialah meriah pada waktu malamnya berbanding dengan waktu siang.


Kami sekeluarga sempat singgah ke sini semasa perjalanan balik ke Kuantan pada cuti hujung minggu bulan yang lepas. Kami sekeluarga sudah biasa berulang alik dari Kuantan ke Kuala Terengganu kerana suami bekerja di sana dan tiap-tiap minggu akan pulang ke rumah di Kuantan untuk bercuti. Dan ini menjadikan kami mempunyai banyak masa untuk melawat ke semua tempat yang belum pernah kami singgah.


Semasa kami singgah pada awal pagi di Waterfront Balik Bukit ini, tidak banyak aktiviti yang dapat dilihat. Dari sini, saya dapat melihat jambatan Sultan Mahmud dan juga masjid kristal yang terletak di Pulau Wan Man. Malah lebih indah jika berada di sini pada waktu malam dengan menikmati sinaran cahaya lampu dari kedua-dua tempat tersebut.


kelihatan jambatan Sultan Mahmud dan Masjid Kristal


kelihatan kapal-kapal sedang berlabuh...masih awal pagi...


wakaf yang dibina untuk pengunjung berehat sambil menikmati keindahan di sini


pemandangan yang indah...kelihatan jambatan Sultan Mahmud dari sini



Kawasan ini juga berdekatan dengan Hotel Felda Residence yang baru dibina dan turut mempunyai pelbagai kemudahan. Kemudahan yang terdapat di sini antaranya taman permainan kanak-kanak, tandas , wakaf untuk beristirehat dan tempat makan. Selain daripada itu, landskap di sini turut dibina dengan cantik sekali serta kawasannya luas sekali. Maka kawasan ini amat bersesuaian untuk membuat pelbagai aktiviti kepada pengunjung bersama keluarga masing-masing di samping menjamu selera di gerai-gerai yang dibuka di sini.


kanak-kanak sedang bermain di taman permainan berlatarkan pemandangan indah dari sini


kelihatan Hotel Felda Residence dari sini


amat bertuah pengunjung yang menginap di Hotel Felda Residence dapat menikmati pemandangan di muara Sungai Terengganu



Share

PANORAMA YANG MEMPERSONAKAN DI TASIK KENYIR

Kami sekeluarga singgah di Tasik Kenyir, Terengganu semasa perjalanan ke Gua Musang dua hari yang lepas . Tasik Kenyir terletak kira-kira 55 km dari Kuala Terengganu. Kami sekeluarga biasa melalui kawasan ini jika pulang ke kampung, tetapi inilah kali pertama kami singgah ke sini. Dari atas jalan raya keindahan tasiknya tidak dapat dipertikaikan kerana dengan warna airnya yang kebiru-biruan dan beberapa pulau yang turut kelihatan memberikan satu panorama yang amat mempersonakan kepada sesiapapun yang berada di sini. Saya tidak dapat membayangkan keseronokan yang kami akan alami jika dapat bercuti di sini. Mungkin suatu hari nanti saya akan cuba mencari ruang untuk bercuti di sini bersama keluarga.



papan tanda di Tasik Kenyir beserta senarai tempat yang menarik untuk dikunjungi dan tempat penginapan


bergambar beramai-ramai dengan ahli keluarga


Semasa kami berada di Jeti Pengkalan Gawi ini, ramai pengunjung yang sedang bersiap sedia untuk menaiki bot yang bertujuan untuk mengelilingi kawasan tasik atau untuk ke tempat penginapan. Pengunjung boleh membeli tiket untuk menaiki bot tersebut di kaunter yang telah disediakan di sini. Selain daripada itu,pejabat pusat penerangan pelancongan turut dibina untuk memudahkan para pengunjung mencari maklumat tempat-tempat yang menarik untuk dikunjungi di sini. Di Jeti Pengkalan Gawi ini turut menyediakan pelbagai kemudahan yang lain antaranya surau, kiosk, taman permainan, kedai-kedai makan dan lain-lain lagi.



Di Jeti Pengkalan Gawi serta kemudahan-kemudahan yang ada di situ


Sebenarnya Tasik Kenyir yang cantik ini adalah tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara yang merentasi 260,000 hektar. Tasik ini juga merupakan kawasan empangan batu-hidro-elektrik batu- batan terbesar di Malaysia. Apabila kawasan ini dibanjiri air, kebanyakan kawasan pergunungan berada di atas paras air, sekaligus membentuk 340 pulau buatan manusia.


mempersembahkan panorama yang memukau kepada sesiapa pun yang berada di kawasan ini


kelihatan pulau-pulau dan flora yang ada di sini


Kawasan hutan hujan yang meliputi tempat ini juga mempunyai pelbagai spesies flora dan fauna. Ini termasuk koleksi paku-pakis liar, bunga orkid eksotik, burung kenyalang, gajah dan harimau bintang. Ini adalah kawasan percutian popular bagi pengunjung yang ingin dikelilingi kawasan hutan yang indah. Ia juga menjadi tempat kegemaran pemancing kerana menempatkan pelbagai spesies ikan sungai seperti Baung, Toman, Kelisa, Lampan dan Kelah. Kawasan tasik ini juga popular untuk aktiviti kayak, naik bot, trek hutan, memandu kenderaan pacuan 4 roda dan bermain golf.


InsyaAllah jika diberi peluang pada masa akan datang, kami sekeluarga akan menginap di mana-mana tempat penginapan di sini untuk merasai sendiri keseronokan dan keindahan kawasan Tasik Kenyir ini.



Share

Saturday, August 28, 2010

KEINDAHAN PULAU TENGGOL UMPAMA SYURGA KEPADA PENGGEMAR MENYELAM

Perkongsian maklumat pada hari ini ialah tentang sebuah pulau yang terkenal di Terengganu iaitu Pulau Tenggol. Pulau Tenggol adalah terletak hanya 45 minit dari Kuala Dungun di selatan Terengganu. Pulaunya yang hanya sebluar 2 – 3 km sahaja lebarnya, tetapi ianya adalah sebuah pulau yang cantik dan indah bagi penggemar penyelam. Sebahagian dari pulau ini dipenuhi dengan curam dan tebing berbatu. Lokasinya di perairan Laut China Selatan dan terdedah kepada tiupan Angin Monsun Timur Laut yang kencang pada bulan Oktober - Januari setiap tahun.


pemandangan Pulau Tenggol dari laut


peta di kawasan pulau tenggol


Pulau ini dipenuhi tebing batu yg curam dan hutan yang tebal. Bentuk muka bumi yang berbatu ini mengunjur dari pendalaman pulau terus hingga ke laut membentuk pinggir tebing yg curam di bawah laut spt dinding kanvas bg hidupan laut yg tidak jemu di kunjungi penyelam scuba. Sebelum diisytihar taman marin (Terengganu Marine Park), Pulau Tenggol adalah kawasan perburuan kesayangan bagi para nelayan terutama untuk snappers dan groupers.


pemandangan Pulau Tenggol dari udara


Pada bulan April, air jernih dan jarak penglihatan sehingga 30kaki. Ikan yu, paus lebih banyak terdapat pada bulan Ogos, Sept dan Okt. Musim monsun timur laut bermula Okt hingga Mac. Seminggu sebelum dan selepas musim monsun adalah masa paling yg baik untuk melawat kerana air lebih tenang manakala kawasan pendalamannya berhutan dan muka buminya berbatu. Satu-satunya kawasan tanah pamah ialah Teluk Ayer Tawar. Pulau Tenggol, adalah sebahagian dari gugusan pulau Tenggol yang juga terdiri daripada Pulau Nyireh (Nyireh Island), Tokong Timur, Tokong Talang, Tokong Burung dan Tokong Kemudi.


Dari kejauhan pulau ini menyerupai orang sedang bertenggek (duduk), sehingga berdiri nama 'Tenggol'. 'Tenggak' dalam Bahasa Malaysia bermaksud 'untuk bertenggek (duduk)', tetapi diucapkan sebagai 'tenggol' dalam dialek tempatan Terengganu. Nelayan tempatan singgah di Pulau Tenggol untuk berlindung dari badai ombak yang mungkin tiba-tiba melanda semasa mereka berada di tengah lautan di kawasan sini.



batu yang curam yang terdapat di sini


Di kawasan Pulau Tenggol ini mempunyai terumbu karang yang cantik-cantik kerana Jabatan Laut Terengganu melakukan pemuliharaan terumbu karang di sini dan akhirnya mewujudkan terumbu karang yang luar biasa cantiknya serta sangat ideal untuk scuba diving, snorkeling, berenang dan berkano. Kawasan di sini merupakan kawasan perlindungan laut dan menjadikan ianya adalah sebuah pulau yang indah secara semulajadi dengan pelbagai hidupan laut yang cantik dan berwarna warni di dalam lautnya. Selain daripada itu, kepada penyelam yang berminat untuk melihat secara dekat kapal-kapal yang pernah karam berada di sekeliling pulau ini. Terengganu memiliki terumbu karang tercantik di Malaysia dan rugi jika kita tidak menghargainya.


Pasti tiada ucapan yang boleh diungkapkan jika saya berada di sini. Pengalaman berada di Pulau Rhu Hentian yang indah dan semulajadi sebelum ini pasti menggamit saya untuk ke sini pada masa akan datang.



untuk keterangan yang lebih lanjut sila ke laman web ini... http://www.pulautenggol.com/main.htm


Listen

Read phonetically

Share

Friday, August 27, 2010

PERKONGSIAN MAKLUMAT TENTANG PULAU LANG TENGAH

Artikel kali ini saya ingin berkongsi maklumat dengan pengujung tentang Pulau Lang Tengah. Saya mencari maklumat-maklumat di dalam blog http://www.malaysiavacationguide.com sebagai sebuah maklumat yang boleh kutip untuk perkongsian. Mungkin jika ada rezeki bolehlah saya ke sini bersama-sama keluarga pada masa akan datang.


Pulau Lang Tengah adalah salah satu pulau di bawah Taman Laut Redang di Pantai Timur Semenanjung Malaysia - Terengganu. Ini adalah sebuah pulau kecil dan kecil terletak di antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Walaupun pulau inidibayangi oleh dua pulau yang terkenal, pulau ini menjadi satu ciptaan alam semulajadi yang indah.



peta Pulau Lang Tengah


papan tanda yang akan kita temui jika sampai di pulau ini


Untuk ke pulau ini, pengunjung boleh menaiki bot laut di Jeti Merang, yang kira-kira 24 km dari pulau itu. Perkhidmatan bot ini kebiasaanya disediakan oleh resort yang dibina di pulau tersebut. Perjalanan memakan waktu sekitar 30 hingga 40 minit dan amat mengasyikkan dengan pukulan gelombang lautan. Pengunjung yang mungkin mengalami mabuk laut disaran mengambil beberapa pil sebelum naik untuk mengelakkan muntah di tengah laut.



keindahan alam di sini tidak dapat dipertikaikan


Pulau indah ini adalah salah satu pulau di bawah projekTaman Laut Redang yang paling baik dilestarikan ekosistem lautnya. Hal ini dikelilingi oleh terumbu karang yang terpelihara dan juga merupakan syurga bagi spesies langka ikan. Terdapat lebih daripada 100 jenis karang dan ikan yang hidup di daerah ini. Bahkan kemungkinan penyu hijau dan penyu sisik langka boleh didapati di tempat-tempat pengunjung sedang menyelam.


terumbu karang dan makhluk yang terdapat di dalam air


Selain daripada scuba diving, kita juga boleh memilih untuk pergi untuk aktiviti snorkeling mudah sebagai air tenang Laut China Selatan telah membuat Pulau Lang Tengah tempat yang bagus untuk snorkeling.Air jernih memberikan visibilitas yang sempurna di mana kita boleh melihat setiap makhluk di bawah air laut ini. Berenang dengan pelbagai ikan secara bersama-sama pasti mencipta satu pengalaman yang tak dilupakan.


Share

Thursday, August 26, 2010

MELAWAT MONUMEN MASJID DI TAMAN MONUMEN - TAMAN TAMADUN ISLAM

Lawatan kami sekeluarga ke Taman Monumen di Taman Tamadun Islam pada bulan lepas amat bermakna sekali. Hasil daripada lawatan ke sini, kami dapat mengenali sebanyak 21 buah monumen Islam yang hebat dengan mengimbas kembali zaman kebangkitan Islam sebagai sebuah agama yang global lagi sofistikated.


Terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, taman seluas 23 hektar ini adalah sebahagian daripada projek untuk membangunkan Kuala Terengganu sebagai bandar tebingan sungai. Taman Tamadun Islam adalah taman tema pertama yang mengiktiraf senibina Islam.


pintu gerbang untuk ke Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man


papan tanda ke Taman Tamadun Islan dan pintu masuk ke Taman Monumen


Setelah membuat pembayaran di kaunter iaitu RM10 (bayaran masuk untuk warganegara Malaysia manakala RM25 untuk bukan warganegara), kami menerima passport Taman Tamadun Islam dan baucer makanan yang boleh ditebus di cafenya. Di dalam passport tersebut memaparkan kesemua 21 buah monumen yang boleh kita lawati. Selain daripada itu, tujuan passport ini ialah untuk kemudahan-kemudahan percuma yang akan diberikan apabila kita datang untuk kali ke 2 dan ke 3 pada masa akan datang. Antara kemudahan tersebut ialah pengunjung berkenaan akan dapat menaiki keretapi atau basikal secara percuma dan lain-lain lagi.


passport Taman Tamadun Islam....


Selain daripada memaparkan monumen Islam yang hebat ini, taman monumen ini turut menyediakan tayangan video yang memaparkan sejarah pembinaan monumen-monumen yang berkenaan serta kepentingannya di beberapa monumen pilihan. Bilik tayangan video tersebut amat selesa sekali kerana biliknya dipasang penghawa dingin. Kami juga sempat melihat di bilik pameran barangan atau artifak bagi setiap monumen pilihan yang telah disediakan. Jika anda melawat ke setiap monumen di sini, di sampingnya terdapat penerangan serba sedikit tentang pelan dan struktur binaan masjid-masjid tersebut.


antara monumen-monumen yang dibina di sini


Apabila anda perhatikan daripada penerangan untuk setiap monumen-monumen yang dibina, masjid adalah sebuah tempat yang amat suci bagi setiap umat Islam kerana banyak aktiviti ilmiah yang dapat dilakukan selain daripada untuk beribadah kepada ALLAH S.W.T ianya turut dijadikan tempat untuk menuntut agama, menyebarkan ilmu agama, sekolah perubatan, hospital, kedai, penjara dan tempat penyimpanan senjata contohnya di Masjid Sulaiman, Turkey. Selain daripada itu, daripada penerangan di setiap monumen-monumen di sini membuktikan kecanggihan teknologi umat islam pada zaman dahulu.




kanak-kanak sedang cuba untuk masuk ke monumen..tetapi berkunci pula...


unik dan menarik binaan masjid ini


landskap yang cantik dan menarik di reka untuk setiap monumen


video

video pendek semasa menaiki keretapi di tepi laut di Taman Monumen (Pulau Wan Man)


video
video pendek pemandangan beberapa monumen di sini semasa menaiki perkhidmatan keretapi

Di dalam Taman Monumen ini juga turut menyediakan pelbagai kemudahan antaranya tandas, surau, cafe, penyewaan basikal dan keretapi, kiosk (cenderamata dan makanan ringan), taman permainan untuk kanak-kanak dan lain-lain lagi.


antara kemudahan yang di sediakan di sini


selepas penat berjalan-jalan, singgah di cafe untuk menghilangkan dahaga dan lapar anak-anak, banyak juga pilihan makanan di sini serta perkhidmatannya yang bagus

Pada pendapat saya, lawatan anda ke Taman Monumen ini tidaklah sia-sia kerana banyak ilmu pengetahuan yang kami perolehi dan amat berguna sekali serta taman ini membuktikan kecanggihan umat Islam pada masa dahulu dalam bidang senibina.


untuk keterangan lebih lanjut sila layari laman web http://www.tti.com.my


Share

Sunday, August 22, 2010

KEINDAHAN LAUTAN BIRU DI PANTAI RHU SEPULUH

Setiap kali kami sekeluarga melalui jalan pantai di sini, hati saya tertawan apabila berada di sini tatkala mata dijamu dengan keindahan lautan biru Pantai Rhu Sepuluh. Pantai Rhu Sepuluh adalah terletak di daerah Setiu dan ianya amat popular kerana berdekatan di jalan utama dari Terengganu ke negeri Kelantan dan dari Kelantan ke Terengganu. Pantai Rhu Sepuluh hanya 400 meter daripada Kampung Penarik dan berdekatan dengan Kem Seri Bari.


papan tanda ke Pantai Rhu Sepuluh

Pantai ini amat popular dengan sotong dan ikan goreng celup tepung yang segar kerana berdekatan dengan kawasan nelayan menaikkan ikan. Malah di tepi pantai ini terdapat deretan gerai yang menjual ikan-ikan yang baru sahaja sampai dari laut. Mungkin artikel akan datang saya akan cuba berkongsi dengan pengunjung blog tentang kedai yang menjual ikan dan sotong goreng celup tepung yang popular di kawasan ini.



Di sebabkan pantai ini berada di tepi laluan jalan utama dari Terengganu dan Kelantan, banyak kemudahan yang disediakan oleh pihak Majlis Daerah Setiu. Antara kemudahan tersebut ialah pembinaan taman permainan untuk kanak-kanak, tandas-tandas awam, masjid dan homestay turut dibina kepada pengunjung yang berminat untuk bermalam di sini.


antara kemudahan yang disediakan di kawasan pantai ini



anak-anak saya gemar bermain di sini

Sepanjang perjalanan melalui kawasan pantai ini memang amat menarik sekali dan tenang kerana anda dapat melihat laut biru yang terbentang luas dan dipagari pula dengan pohon-pohon kelapa serta pokok ru yang melambai-lambai ditiup angin. Jika kami sekeluarga balik ke negeri Kelantan, pasti pantai ini menjadi lokasi wajib untuk singgah.


Anak-anak saya amat gembira berada di sini kerana boleh berlari-larian di pantainya yang luas dan nyaman serta bermain-main di tempat permainan. Tambahan pula, pihak Majlis Daerah Setiu banyak menyediakan wakaf kepada pengunjung untuk berehat-rehat ataupun untuk menikmati makanan.


pemandangan pantai yang mendamaikan...



Share

Saturday, August 21, 2010

PENGALAMAN MENAIKI BAS CAS LIGAS - BAS BANDAR

Pengalaman kami sekeluarga menaiki bas cas ligas untuk bergerak dari Taman Tamadun Islam ke Muzium Negeri Terengganu pada bulan lepas amat menarik sekali. Kebiasaannya kami hanya melihat bas ini menyusuri jalan raya di dalam bandar Kuala Terengganu dan tidak pernah cuba untuk naik. Kebetulan pula Muzium Negeri Terengganu berada dalam laluan perkhidmatannya, kami mengambil peluang sebagai pengalaman kali pertama menaikinya untuk ke Muzium Negeri Terengganu dari Taman Tamadun Islam . Semasa kami sekeluarga menaiki bas ini, ramai penumpangnya ialah pelancong daripada luar negara yang bertujuan untuk ke bandar selepas melawat Taman Tamadun Islam.


pandangan hadapan bas cas ligas...rekabentuk bas yang menarik dan unik


laluan bas (klik pada gambar untuk lebih besar dan jelas)


Tambang bas cas ligas ini berbeza dengan perkhidmatan bas-bas yang lain kerana bayaran hanya RM1.00 untuk sehala walau ke mana-mana destinasi. Bas ini unik kerana rekabentuk luaran dan dalaman adalah mengekalkan warisan dan ciri-ciri budaya masyarakat Timur. Bas ini amat selesa sekali kerana dilengkapi dengan penghawa dingin serta selamat kepada penumpang kerana dilengkapi dengan cctv. Pada pendapat saya, dengan adanya sistem pengangkutan seperti ini, ini membuktikan negeri Terengganu adalah sebuah negeri yang penuh dengan ciri-ciri budaya masyarakat Timur dan mempunyai tempat-tempat yang menarik untuk dilawati. Seterusnya ianya akan menjadi tarikan kepada pengunjung samaada di dalam negara mahupun di luar negara.


rekabentuk dalaman yang unik serta amat selesa sekali


video

video pendek pemandangan di luar bas semasa menaiki bas cas ligas dari Taman Tamadun Islam ke Muzium Negeri Terengganu

Daripada maklumat laman web bas cas ligas, projek ini dinamakan sistem pengangkutan bas awam terengganu yang menyediakan bas sebagai mod pengangkutan awam. Ia merupakan sistem pengangkutan yang bersepadu, selamat, dipercayai dan efisien kepada rakyat terengganu. Sistem pengangkutan bas awam ini diterajui oleh caS ligaS Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat anak yang diperbadankan sepenuhnya oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).


Laluan operasi bas cas ligas ini adalah seperti yang berikut :

· i) Laluan Chendering

· ii) Laluan Taman Tamadun Islam

· iii) Laluan Batu Enam/Gong Badak


Untuk penerangan lanjut sila ke laman web caS ligaS sdn bhd http://www.casligas.com.my/v1/index.php


untuk melihat jadual perjalanan Cas Ligas sila klik di sini http://berbaloiditerengganukita.blogspot.com/2010/10/jadual-bas-cas-ligas.html


Share
Related Posts with Thumbnails