Anda mempunyai akaun blogger?
Showing posts with label KUALA TERENGGANU. Show all posts
Showing posts with label KUALA TERENGGANU. Show all posts

Tuesday, April 26, 2011

HARI TERAKHIR DI KUALA TERENGGANU SEBELUM KE TAWAU, SABAH

Pada hari Ahad (24hb April 2011) baru-baru ini merupakan hari terakhir kami sekeluarga berada di Kuala Terengganu sebelum akan berangkat ke Tawau, Sabah. Kami sekeluarga akan berpindah ke negeri di bawah bayu pada awal bulan Jun ini. Saya akan berpindah ke sana kerana mengikut suami yang akan bertugas di Tawau, Sabah bermula bulan Mei ini.


Kami bergerak ke Kuala Terengganu dari Kuantan pada hari Sabtu dan menginap di Hotel Ming Star selama 3 hari dan 2 malam yang berdekatan dengan kedai-kedai makan yang mana yang menjual kegemaran saya seperti nasi kerabu Fauzi dan kuih muih di sekitar kawasan berhampiran hotel ini. Walaupun pada pandangan orang luar hotel ini seperti hotel budget tetapi perkhidmatannya setaraf dengan hotel-hotel sekitar yang lain dan yang gah seperti perkhidmatan biliknya, restorannya, fasilitinya seperti wifi dan lain-lain lagi malah ada fasiliti yang lebih baik lagi.



Tujuan kami ke sini adalah untuk menghadiri jemputan makan tengah hari di Permai Hotel sempena perpisahan suami yang dianjurkan oleh pengurusan tempat dia bekerja. Makanan yang disediakan oleh pihak hotel masih sedap dan menyelerakan serta menarik seperti 3 tahun lepas semasa saya berkursus di sini selama seminggu. Tetapi semasa itu Permai hotel masih dikenal dengan Permai Inn dan bangunannya yang lama, kini bangunannya semakin bertambah dan perkhidmatannya pun turut semakin bertambah.


suami sedang berucap di atas pentas di Permai Hotel sebelum makan tengah hari


Selama 2 hari berada di Kuala Terengganu, kami tidak lupa untuk singgah ke tempat yang menarik antaranya ke Pasar Payang, Pantai Batu Burok, Pasaraya Mydin dan yang terakhir ke Pasaraya Desa Murni untuk membeli belah sebelum berangkat ke negeri di bawah bayu nanti. InsyaAllah.....

Antara gambar yang sempat di ambil semasa berada di Kuala Terengganu pada hujung minggu yang lepas.


tidak jemu untuk singgah bersantai di Pantai Batu Burok


pemandangan pantai diceriakan lagi dengan pelbagai corak dan warna layang-layang yang dijual di sini


kanak-kanak yang sedang leka menonton tv


anak-anak yang girang

Barang-barang dari Pasar Payang, inilah barang-barang yang sempat di beli selain dari oleh-oleh dodol daun palas



antara makanan yang saya gemari semasa berada di Kuala Terengganu sebelum ini dan kini selain nasi kerabu Fauzi....nasi ayam hainan dan char kuer teow special



Mungkin jika ada rezeki pada masa akan datang kami kembali semula ke negeri Bandaraya Pesisir Air ini. Kenangan selama menjelajah negeri ini adalah paling manis dan terindah kerana pelbagai perkara yang kami sekeluarga dapat. Bersesuaian dengan tema blog ini Berbaloi di Terengganu kita kerana walaupun berulang kali ke sini kami masih tidak jemu untuk ke pergi tempat yang sama. Sesungguhnya Terengganu di hatiku..............



Share

Wednesday, January 5, 2011

MENIKMATI KEINDAHAN MALAM DI PULAU WARISAN

Setelah lama tidak memasukkan cerita tentang negeri Terengganu ke dalam blog ini kerana kesibukan pembukaan sesi persekolahan yang baru dan artikel kali ini saya ingin bercerita tentang keindahan malam di Pulau Warisan yang terletak di belakang Kampung Cina. Sebenarnya lawatan ke Pulau Warisan ini telah diadakan semasa cuti sekolah sebelum ini lagi tetapi dibiarkan untuk mencari bahan bergambar pada siang harinya tetapi tidak kesampaian akibat kekangan masa. Mungkin pada masa akan datang, saya akan berkongsi pula cerita tentang Pulau Warisan ini semasa waktu siang.



Kami sempat singgah sebentar di sini semasa baru sahaja tiba di Kuala Terengganu pada waktu malamnya untuk menemani suami yang bekerja di sini pada keesokan harinya. Sebenarnya sebelum ini sudah beberapa kali juga kami singgah di sini iaitu semasa Pulau Warisan ini dalam pembinaan. Pulau Warisan ini adalah terletak di belakang kampung yang bersejarah di Kuala Terengganu iaitu Kampung Cina dan merupakan salah satu lokasi pelancongan dan bukti yang negeri Terengganu adalah bandar raya pesisir air.



Laluan di Sungai Terengganu yang berukir..nampak cantik sangat


pintu gerbang masuk ke Pulau Warisan dari Kampung Cina


sinaran lampu yang menarik


Sebenarnya Pulau Warisan ini tampak cantik pada siang hari dengan seni binaan yang unik malah pada waktu malamnya jua. Semasa pertama kali singgah di sini dari jauh lagi kelihatan sinaran cahaya dari sini terutama semasa melalui jambatan dari belakang Kampung Cina ke Pulau Warisan ini. Sinaran cahaya lampu di pintu gerbang semasa melalui jambatan ini akan berubah secara berselang seli. Pulau Warisan ini luas dan lokasinya amat bersesuaian untuk diadakan karnival, majlis-majlis dan juga sebagai tempat pameran.

keindahan malam di bandar raya Kuala Terengganu yang berlatarkan Kampung Cina



lampu di pintu gerbang ini akan berubah warna secara berselang seli


Daripada sumber bacaan saya di dalam laman web http://daruliman.wordpress.com mengatakan kerajaan negeri mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM60 juta untuk membangunkan pulau berkenaan termasuk mengubah wajah daratan sekali gus menjadi destinasi pelancongan baru di Terengganu. Perbelanjaan itu juga untuk pembiayaan bagi menambah serta mendalamkan Sungai Kuala Terengganu yang berlatarbelakangkan Kampung Cina
.


Selain daripada itu juga, kerjaan negeri turut sedang berusaha untuk membangunkan Pulau Warisan ini termasuk perkhidmatan bot atau river cruise yang lengkap dengan restoran terapung di atasnya. Pastinya pada masa akan datang tempat ini menjadi bualan kepada para pelancong dalam dan juga luar negara dengan prasarana yang sedang dibangunkan ini.


ramai pengunjung sedang menikmati keindahan malam di sini


Share

Monday, December 27, 2010

PENGALAMAN INDAH SEMASA MENGINAP DI RIYAZ HERITAGE

Kami sekeluarga berpeluang menginap di Riyaz Heritage Resort & Spa pada minggu lepas dengan perasaan yang gembira sekali terutama tiga anak terunaku. Sebenarnya pengalaman bermalam di hotel sekitar Kuala Terengganu sudah biasa dinikmati setelah suami bekerja di negeri ini apabila suami perlu ke sini atas tuntutan kerja luar. Bayangkan sejak awal tahun 2006 setelah suami dipindahkan dari tempat kerja di Sandakan, Sabah ke Kemaman dan akhirnya di Kuala Terengganu sendiri, kami sudah biasa berulang alik dari rumah di Kuantan ke Kuala Terengganu.


inilah bilik yang kami menginap 1401

papan tanda arah ke tempat-tempat di kawasan hotel ini


Antara hotel yang biasa kami menginap ialah di Permai Inn Hotel, Terengganu Equesterian Resort (TER), Awana Kijal Golf, Beach & Spa dan lain-lain lagi tetapi inilah pertama kalinya kami menginap di hotel yang bertaraf lima bintang dan terdapat perkhidmatan yang lain daripada hotel yang pernah kami menginap. Perkhidmatan yang kami maksudkan ialah, kereta golf milik hotel yang akan membawa kami serta barang-barang ke bilik yang kami akan menginap. Jadi, kami tidak perlu berjalan kaki dari tempat letak kereta ke bilik yang direkabentuk ala tradisional melayu lama ini.


kereta golf yang disediakan untuk penginap hotel untuk ke bilik dan sebaliknya ke lobby hotel


Sekiranya pengunjung yang sukakan kehidupan yang lebih privasi bolehlah ke sini kerana setiap bilik yang diduduki adalah berjauhan antara satu sama lain. Pemandangan hadapan di bilik-bilik adalah amat mengujakan kerana kelihatan kawasan bukit-bukau dan kampung serta kelihatan sebuah bengkel membuat bot atau kapal besar. Suasana dalam bilik di sini sememangnya luas dan menenangkan, alatan bilik tidur dan bilik mandi yang mewah dan terdapat juga makanan ringan yang boleh dibeli di dalam bilik anda sendiri jika anda lupa untuk membawa makanan ringan bersama-sama.


Cafe di hotel pula mempunyai pemandangan yang indah yang berada di pinggir sungai Terengganu dan dapat pula melihat kapal-kapal keluar dan masuk ke muara sungai ini. Makanan yang disediakan di cafe hotel ini turut menyelerakan dan yang paling tidak akan anda lupakan ialah nasi lemak dan nasi dagangnya yang sememangnya menyelerakan.


kanak-kanak yang paling suka jika tidur di hotel

antara kemudahan di dalam bilik yang kami menginap


menikmati keindahan alam di serambi bilik yang kami duduki

pemandangan indah di cafe hotel


Anak-anak yang paling suka kerana aktiviti mandi di kolam di mana-mana hotel yang kami menginap. Selain daripada itu, pihak hotel turut menyediakan aktiviti yang mungkin boleh mengisi masa lapang keluarga dengan tayangan filem-filem yang bersesuaian. Pada malam kami menginap tersebut, tayangan filem "Avatar" telah diadakan. Walaupun tidak berpeluang menginap semasa pertandingan Monsoon Cup baru-baru ini sememangnya meriah juga dengan aktiviti seumpama ini.


inilah aktiviti anak-anak jika ke mana-mana hotel yang menyediakan kolam


Sesungguhnya berbaloi jika menginap di sini walaupun hanya semalaman sahaja kerana Riyaz Heritage Marina & Spa ini diantara hotel bertaraf lima bintang yang mengekalkan budaya melayu dengan rekabentuk biliknya dan menu makanannya seperti nasi lemak dan nasi dagang. Kiranya bersesuaianlah hotel ini dijadikan sebagai tempat pertandingan Monsoon Cup kerana dapat memperkenalkan budaya negara kita di mata dunia.


tiga teruna sedang menuju ke tempat pertandingan Monsoon Cup

Nasi Dagang antara makanan tradisi negeri Terengganu yang disediakan di dalam menu pagi di hotel ini


Share

Thursday, December 16, 2010

AKAN BERMALAM DI RIYAZ HOTEL

Pada 23hb Disember ini kami sekeluarga akan menginap di Riyaz Hotel iaitu hadiah sempena mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu. Hotel ini terletak di Pulau Duyong, Kuala Terengganu dan jika anda tidak pasti di mana letaknya hotel ini sila klik di sini untuk ke google maps. Jenis bilik yang kami terima untuk hadiah tersebut ialah jenis Serambi Deluxe yang sememangnya tampak bergaya dan mewah kerana hotel ini bertaraf lima bintang.


Saya telah mengintai-intai suasana sekeliling dan juga antara perkhidmatan di Riyaz Hotel daripada laman web hotel tersebut iaitu di
http://www.ri-yazheritage.com/ . Bayangkan hotel yang kami akan duduki bernilai RM1000.00 untuk 2 hari dan satu malam tetapi harga promosi sempena musim cuti sekolah hanya rm288.00 sahaja.


pemandangan hotel waktu petang...


panorama di kolam, cantik di waktu senja


jenis bilik yang saya akan duduki nanti - serambi deluxe


tempat makan, nampak mewah



Gambar di di atas adalah antara gambar-gambar yang saya salin daripada laman web tersebut. Mungkin selepas tarikh 23hb Disember 2010 gambar yang dimuatkan di dalam blog ini nanti adalah gambar yang saya ambil sendiri. Tidak sabar pula untuk ke sana sebab anak-anak saya suka jika bercuti dan bermalam di hotel lebih-lebih lagi jika hotel tersebut ada kolam untuk mereka mandi.


Antara aktiviti yang boleh dilakukan semasa berada di sini :






Share

Thursday, December 9, 2010

PELBAGAI JENIS KUIH DAN MAKANAN PAGI DI KEDAI KUIH CHE' TAR

Terdapat sebuah kedai kuih yang menjual pelbagai kuih dan makanan pagi yang terdapat di kawasan bandar Kuala Terengganu yang saya suka singgah jika berada di sini. Kedai ini terletak berhampiran dengan Kedai Nasi Kerabu Fauzi yang pernah saya ceritakan di sini sebelum ini. Kedai ini berada di sebelah kedai percetakan banner dan berhampiran dengan lampu isyarat yang dinamakan Kedai Kuih Che' Tar yang beralamat 1020 A, Jalan Sultan Ismail, 20000 Kuala Terengganu serta nombor telefon kedai ini ialah 09-6240507. Kedai ini adalah berada di kawasan Kampung Kolam, Kuala Terengganu. Kedai ini turut menerima tempahan jika ada sesiapa yang ingin membuat tempahan pelbagai majlis.


banner yang diletakkan di dalam kedai ini


Jika anda ke kedai ini, anda pasti keliru untuk membeli kuih yang mana satu kerana semuanya nampak sedap sahaja. Selain daripada menjual kuih, di sini turut menjual pelbagai makanan pagi antaranya nasi lemak, nasi impit bersama sate, nasi dagang dan lain-lain lagi yang telah siap dibungkus.
Kebiasaannya jika saya ke sini, saya suka membeli bubur nasi untuk anak-anak, roti dan juga kuih muih antaranya temosa, karipap, kuih sekaya dan kuih lapis. Selain daripada itu, terdapat juga kuih tradisional antaranya hasidoh, jala emas, lompat tikam dan lain-lain lagi.



pelbagai kuih yang dijual di sini..nampak menyelerakan...


antara kuih yang saya akan saya beli untuk ahli keluarga


bubur nasi dan pelbagai kuih


roti dan juga pelbagai kek

nampak menarik jala emas dan kuih sekaya (saya tidak pasti apakah nama kuih ini)


selain kuih, pelbagai makanan pagi turut dijual di sini



Harga kuih di Kedai Kuih Che' Tar ini adalah berpatutan malah jauh lebih murah berbanding harga kuih yang dijual di tempat saya tinggal. Bayangkan buat masa sekarang dengan kenaikan harga barang, kedai ini masih menjual 4 biji kuih hanya RM1, berbanding di tempat lain hanya 3 biji untuk Rm1. Kebiasaannya saya akan membeli pelbagai jenis kuih untuk dimakan pada waktu pagi dan juga waktu petang kerana kuihnya tahan hingga ke petang hari.


Share

Wednesday, December 8, 2010

KEJOHANAN PIALA MONSOON 2010 TINGKAT IMEJ TERENGGANU



Penulis tidak dapat menghadirkan diri ke pertandingan kapal layar Monsoon Cup 2010 yang diadakan di Pulau Duyong, Terengganu yang telah berakhir 3 hari yang lepas kerana terpaksa mengikut suami bekerja selama seminggu di Pulau Pinang yang tanpa dirancang. Walaupun penulis sudah merancang untuk ke program ini sebelum ini, tetapi apakan daya manusia hanya merancang dan Allah yang menentukannya. Meskipun begitu, penulis cuba berusaha untuk memaparkan keputusan program yang berprestij dunia tersebut walaupun semua telah berakhir sejak 3 hari yang lepas.



keputusan pertandingan kapal layar Monsoon Cup 2010


juara piala Monsoon Cup 2010, Ben Anisle dari England - sumber www.monsooncup.com.my


Ben Anisle bersama ahli kumpulannya - sumber www.monsooncup.com.my


aksi Ben Ainslie vs Torvar Mirsky semasa pertandingan akhir - sumber www.monsooncup.com.my


Juara Monsoon Cup 2010 Terengganu-Malaysia yang telah berakhir itu telah dimenangi oleh Ben Ainslie dari England. Manakala tempat kedua ialah Torvar Mirsky dari Australia dan tempat ketiga ialah Jesper Radich dari Dernmark. Acara ini diadakan setiap tahun yang disertai pelayar-pelayar di seluruh dunia sekaligus mempromosikan Terengganu sebagai tuan rumah Kejohanan Monsun Cup yang telah berlangsung setiap tahun sejak 2005.


Penulis terbaca satu artikel tentang Kejohanan Piala Monsoon Cup 2010 yang telah meningkatkan imej Terengganu di mata dunia. Walaupun pada tahun 2012 adalah tamatnya kontrak negeri ini sebagai penganjur kejohanan ini, tetapi dari kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kerajaan komited untuk memastikan Piala Monsun terus diadakan di Terengganu. Selain daripada itu, menguatkan lagi komitmen terhadap Piala Monson apabila Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said juga berjanji kerajaan negeri akan membantu menaikkan hadiah tunai keseluruhan yang kini RM1 juta.



Kejohanan seumpama ini sebenarnya dapat memberi kesan positif terutama dari segi aspek pelancongan dan juga kegiatan perekonomian negeri ini. Semasa kejohanan ini berlangsung, pelbagai program lain yang turut didakan seperti pertandingan memancing dan juga Karnival Monsoon Cup untuk para pengunjung serta menawarkan hadiah yang lumayan.


Sultan Mizan Zainal Abidin merasmikan pertandingan Monsoon Cup


artikel dari keratan akhbar Berita Harian (8 Disember 2010)


Semoga pada tahun hadapan, saya dapat meluangkan masa berada di dalam program seumpama ini. Sesungguhnya program seumpama seperti ini menaikkan nama Terengganu di mata dunia selain daripada dapat mempromosikan keunikan dan keindahan negeri ini kepada dunia luar. Oleh itu, pendapatan negeri dalam bidang pelancongan dan ekonomi turut akan bertambah jika kehadiran pengunjung dari luar dan dalam negara ramai berkunjung ke sini.





Share

Thursday, December 2, 2010

MENIMBA ILMU SAINS DI PLANETARIUM TERENGGANU

Selama saya berada di Kuala Terengganu sebelum ini tidak pula saya mengetahui rupanya di Kuala Terengganu terdapat sebuah pusat sains iaitu Planetarium. Saya menyedari kewujudan Planetarium ini semasa melawat ke Festival Songket, Batek dan Kraftangan 2010 di sini pada 28hb November yang lepas. Teringat kembali semasa saya berada di sekolah menengah atas, jika hendak melawat pusat sains seumpama ini kami perlu ke Planetarium di Kuala Lumpur. Dan untuk anak-anak saya kini tidak perlu lagi saya ke Kuala Lumpur kerana cukup memadai hanya melawat di Planetarium Kuala Terengganu sahaja.



bergambar di hadapan Planetarium Kuala Terengganu


Planetarium ini adalah terletak di bahagian belakang di dalam bangunan Pusat Dagangan Terengganu. Jika anda tidak biasa ke TTC, sila klik di sini untuk melihat kedudukannya.



Pameran yang ditonjolkan di sini banyak berkait rapat dengan teori sains yang bermula dari sejarah sains di zaman Islam dan akhir sekali pencapaian sains pada masa kini. Kanak-kanak dan pelajar serta ibu bapa sesuai melawat ke sini untuk mendalami pengertian sains dan sejarahnya. Jadi sebagai pengguna kita perlu menghargai kepada tokoh yang menemui dan yang telah menciptakan alatan atau yang menemui teori-teori sains yang tertentu sehingga kita selesa hidup seperti sekarang.


pameran penerangan tokoh-tokoh dalam pencsains


bergambar di penerangan tokoh dalam sains


anak penulis sedang meneroka tentang tokoh sains di zaman Kegemilangan Islam menggunakan komputer


permainan sains berkomputer, kanak-kanak paling gembira


bergambar di samping pameran tentang teori arus elektrik


simulasi bentuk atmosfera


simulasi sains tentang bumi dan angkasalepas



Selain daripada pameran, kanak-kanak turut boleh bergembira dengan bermain dengan permainan sains dan video sains beserta penerangan tentang teori sains berkomputer serta interaktif. Dan pengunjung turut boleh melihat video penggambaran angkawasan semasa berada di angkasalepas. Semoga dengan lawatan di tempat seumpama ini, meningkatkan pengetahuan sains diri kita anak-anak kita. Oleh itu, bersesuaian dengan matlamat kerajaan yang mengharapkan kita sebagai rakyat yang mencintai sains dan maju dalam bidang ini seperti negara-negara maju yang lain seperti negara JEPUN.



Share
Related Posts with Thumbnails