Sebenarnya kami hampir tidak menjumpai kawasan ini kerana selepas melalui jalan utama tersebut tiada papan tanda arah yang lain, dek kerana takut sesat kami bertanya dengan orang kampung petunjuk arah ke sini. Untuk ke sini anda tidak perlu risau kerana jalan rayanya adalah berturap sepenuhnya, malah tempat wujudnya batu besar berbentuk penyu dibina wakaf berbumbung. Dari atas puncak bukit ini kelihatan lautan biru sekitar pantai Rantau Abang dan berbaloi-baloi sekali kepada pencinta alam yang indah dan semulajadi seperti saya.
Daripada carian saya di dalam sebuah laman web tentang lagenda batu besar yang berbentuk penyu ini, pendaratan penyu selama ini kononnya dikaitkan dengan kewujudan batu besar itu. Walaupun ada yang menganggapnya sebagai tidak masuk akal, cakap-cakap mengenai hubungan batu penyu itu dengan kehadiran penyu tidak pernah dinafikan oleh golongan tua di kampung berkenaan.
Berdasarkan artikel di dalam laman web tersebut juga, orang-orang tua yang tinggal di sini mengatakan seekor penyu gergasi datang dari laut dan naik ke atas bukit tersebut dan akhirnya bertukar menjadi batu. Ada juga orang-orang tua berkenaan berkata, selama ini penyu datang bertelur di Rantau Abang kerana ada 'ibu penyu' di atas bukit itu. Sebelum ini batu tersebut berbentuk seakan-akan seekor penyu, namun lama-kelamaan ia mula hilang bentuk ekoran batunya mulai pecah dan diambil orang. Sebenarnya ada dua buah batu penyu di Rantau Abang. Satu lagi tertanam di dalam sungai di laluan masuk ke Bukit Che Hawa tetapi ramai yang tidak menyedarinya.
Sehingga kini tidak ada siapa tahu bila dan siapa yang menemui batu sepanjang kira-kira 3.5 meter tersebut. Lagenda Batu Penyu di Bukit Che Hawa ini adalah salah satu tanda kepada generasi pada masa kini yang pantai di sekitar Rantau Abang adalah kawasan pantai yang penyu suka singgah untuk bertelur. Sebenarnya pada masa kini bilangan penyu singgah untuk bertelur di sini semakin berkurang dan amat jauh berbeza dengan sebelum ini.
1 comments:
Terbaik info! Sedih sbb tempat bersejarah x dipelihara.
Post a Comment