Semasa kami singgah pada pertama kalinya beberapa bulan yang lepas, masih belum ada perkhidmatan seperti surau dan tandas tetapi kali ini semuanya telah disediakan untuk kemudahan pengunjung yang singgah ke sini. Mungkin pada masa akan datang, perkhidmatan akan bertambah seiring dengan pertambahan pengunjungnya. Dan mungkin juga pihak kerajaan akan mengenakan bayaran kepada pengunjung ke sini untuk menambahbaik kemudahan sedia ada.
Masa untuk melawat adalah bermula jam 11.00 pagi sehingga jam 5.00 petang. Kebetulan pula semasa kami singgah adalah masa pelawat boleh menunggang gajah iaitu bermula pukul 4.00 petang sehingga 5.00 petang, jadi saat inilah saya ambil peluang untuk menunggang gajah yang memang sukar dapat peluang sebegini dengan percuma pula tu. Kebiasaannya saya hanya melihat orang lain yang menunggang gajah di dalam televisyen tetapi pada hari semalam, saya yang alami sendiri. Walaupun ada perasaan takut tetapi dek ingin juga merasa naik gajah saya kuatkan juga semangat.
Untuk memudahkan pengunjung untuk menunggang gajah, pihak berwajib telah membina satu wakaf yang bertangga untuk memudahkan pengunjung naik ke atas badan gajah. Gajah yang saya tunggangi ini bersama-sama dengan pengasuhnya adalah dinamakan Suria. Di pusat pemuliharan gajah ini terdapat 3 ekor gajah, iaitu Suria, Seri dan Kak long yang mana semuanya jinak-jinak belaka dan dibiarkan bebas bersama-sama pengunjung yang berkunjung di sini.
Aktiviti sebegini menjadikan satu memori yang indah untuk anak-anak kecil yang kebiasaannya mereka hanya melihat gajah hanya di dalam buku dan juga televisyen sahaja. Jika ada rezeki pada masa akan datang, kami akan singgah lagi untuk menunggang gajah lagi di sini. Walaupun jauh untuk ke sini, tetapi sebenarnya berbaloi kerana dapat menikmati satu pengalaman yang baru yang sukar diperolehi pada masa kini.
*pengalaman pertama di Santuari Gajah Sg Ketiar
Share