Anda mempunyai akaun blogger?

Sunday, August 8, 2010

KEMERIAHAN MUSIM BUAH - DUKU TERENGGANU

Musim buah pada tahun ini amat meriah sekali kerana jika anda ke pasar@ pasaraya di seluruh negara pada waktu ini anda tidak akan terlepas melihat pelbagai buah-buahan dijual. Sudah menjadi kemestian di negara Malaysia dan negara jiran, pada bulan Jun hingga September adalah merupakan musim buah. Antara buah-buahan yang biasa “menjadi” pada musim ini ialah durian, duku, dokong, langsat, rambutan dan buah pulasan.



Artikel kali ini saya ingin menceritakan sejenis buah yang popular di Terengganu dan di belakangnya menggunakan perkataan Terengganu. Buah yang dimaksudkan ialah Duku Terengganu. Kebetulan pada minggu yang lepas, suami saya ke dusun abang ipar di Kg. Jabi, Jerteh yang mana berhampiran dengan Hutan Lipur Lata Belatan untuk mengambil buah-buahan di sana. Sebenarnya ada antara ahli keluarga kami mempunyai dusun di kawasan Jerteh yang lokasinya adalah sebelum Hutan Lipur Lata Belatan.
Jika anda perhatikan sebelum ke Hutan Lipur Lata Belatan, di kawasan-kawasan kampung di sini seperti Kampung Kuala Kubang (berhampiran Hutan Lipur Lata Belatan) terdapat banyak dusun milik penduduk kampung di sini. Setiap kali musim buah tiba, dusun-dusun penduduk di sini memang "menjadi" dengan pelbagai buah-buahan dan banyak sekali sehingga tidak habis dimakan.

rupa buah duku Terengganu di atas pokok....seperti buah langsat rupanya...


Daripada carian saya di laman web http://fazlisyam.com tentang buah ini, Duku Terengganu atau nama saintifiknya ialah Lansium domesticum Jack dan dipercayai berasal dari Semenanjung Malaysia Khususnya di negeri Terengganu. Ia tergolong di dalam famili Meliaceae seperti juga langsat, Duku Kelantan, Duku Johor dan dokong. Adalah dipercayai Duku Terengganu merupakan hasil kacukan semulajadi di antara duku dan langsat. Duku Terengganu lebih di kenali sebagai duku oleh penduduk tempatan dan buah ini digemari di seluruh negara kerana rasanya yang manis, mempunyai aroma yang unik dan tidak bergetah seperti buah langsat.


Antara gambar-gambar yang sempat diambil semasa aktiviti mengutip buah tersebut adalah seperti di bawah. Kebiasaannya pada musim begini terdapat juga homestay yang menawarkan aktiviti mengutip buah-buahan. Jika anda ingin lalui pengalaman sebegini, bolehlah anda menghubungi pihak homestay yang ada menawarkan perkhidmatan sebegini.


sedang mengutip buah yang telah masak..


buah yang sedang ranum masak dan sedia dikutip


antara imej pokok buah duku Terengganu...


Antara homestay yang anda boleh hubungi untuk sebarang pertanyaan di kawasan ini antaranya ialah Homestay Mastura Satay (019-9728906), Pelangi Homestay Jerteh (019-9314141 @ http://www.pelangihomestayjerteh.blogspot.com, ATZ Homestay Jerteh (019-3345156).


Share

Saturday, August 7, 2010

KESEJUKAN AIR DI HUTAN LIPUR / AIR TERJUN LATA BELATAN

Selepas kami sekeluarga menikmati sate di Kedai Sate Mastura, Kg Jabi pada 2 minggu yang lepas, kami terus bergerak ke Hutan Lipur Lata Belatan. Lokasi Hutan Lipur Lata Belatan ini ialah terletak 15 km daripada bandar Jerteh. Jika dari Kedai Sate Mastura dianggarkan hanya 4 km hingga 5km sahaja.


papan tanda Hutan Lipur Lata Belatan


Sebenarnya pada tahun 2002 saya pernah ke sini semasa membuat kerja amal di Kg Jabi semasa menuntut di salah sebuah institusi pendidikan di sini. Keadaan pada masa kini amat jauh berbeza pada masa itu, kerana daripada pemerhatian saya di sini telah banyak kemudahan telah dibina untuk keselesaan para pengunjung. Antaranya pihak Majlis Pembandaran Besut membina papan gelongsor dan memperbaiki tebing-tebing sungai yang curam supaya bertambah menarik untuk pengunjung ke sini. Selain daripada itu, bilangan tandas dan tempat persalinan pakaian turut bertambah dan amat bersih sekali.


kejernihan air di sini tidak dapat disangkal lagi..


Jika ada pengunjung ingin membuat majlis barbeku di kawasan ini, pihak MPB turut menyediakan tempat membakar. Selain daripada itu, terdapat juga surau dan dewan untuk kemudahan pengunjung untuk menjalankan aktiviti secara berkumpulan. Deretan kedai di sini turut dibina dengan pelbagai kemudahan tidak seperti dahulu hanya gerai-gerai sahaja yang ada.


Buat pengetahuan pembaca di luar, Hutan Lipur Lata Belatan ini turut mempunyai air terjun yang dipanggil air terjun Lata Belatan. Sama seperti keadaan Air Terjun Sekayu di Hutan Lipur Sekayu serta Jeram Tanduk, air di sini turut sejuk dan nyaman. Tempat sebegini amat sesuai untuk kanak-kanak mandi kerana air sungainya yang tidak dalam, jernih dan berpasir halus serta tidak merbahaya.


betapa jernih dan sejuknya air di sini


lihat begitu asyik kanak-kanak mandi di sini


vidoe kanak-kanak yang asyik mandi....


Selain daripada tarikan air terjunnya yang cantik dan keindahan hutan yang terdiri daripada pelbagai flora dan fauna, Gunung Tebu yang menjadi kegilaan kepada pendaki gunung yang sukakan aktiviti lasak. Gunung Tebu mempunyai ketinggian sehingga 7088 meter dan untuk ke puncak Gunung Tebu, pendaki perlu melalui beberapa halangan antaranya Sungai Cakah Dua dan Batu Mat Hassan seterusnya punca air terjun di ketinggian 4950 meter.


papan tanda arah untuk ke mendaki ke Gunung Tebu


Di sini turut disediakan tapak perkhemahan yang luas kepada mereka yang suka menikmati keindahan malam di dalam hutan dan melakukan aktiviti yang lasak seperti jungle tracking di Hutan Lipur Lata Belatan. Selain daripada itu, kepada pengunjung yang ingin bermalam di sini dengan keadaan yang selesa pihak pengurusan turut menyediakan chalet yang berpatutan harganya.


Rugi jika anda tidak cuba mandi di sini.....bak kata pepatah melayu....tak kenal maka tak cinta....sekali rasa nak lagi.....


Share

Friday, August 6, 2010

MENIKMATI KEENAKAN NASI KERABU DI KEDAI FAUZI NASI KERABU

Artikel kali ini saya ingin berkongsi tentang satu makanan yang paling saya gemari jika berkunjung ke Kuala Terengganu. Makanan yang saya maksudkan ialah nasi kerabu di Kedai Fauzi Nasi Kerabu. Kedai Fauzi Nasi Kerabu adalah berhampiran dengan Flat Sri Kolam. Jika anda berada di Kuala Terengganu dan ingin bersarapan pagi, jangan lupa singgah di kedai ini kerana selain daripada nasi kerabu, terdapat juga nasi minyak dan kuih muih.


pekerja yang sedang sibuk membakar ayam....


Kedai ini beroperasi bermula jam 7.30 pagi hingga pukul 11.00 pagi. Jika anda tidak pasti yang manakah kedainya, anda hanya perlu cari kedai yang mana pekerjanya sedang membakar ayam bakar atau daging bakar di hadapan kedai tersebut. Selain daripada itu, kedai ini memang ramai dan tidak putus-putus pelanggan keluar masuk dari kedai ini untuk menikmati keenakan nasi kerabunya.


Kedai nasi kerabu Fauzi berhampiran dengan Flat Sri Kolam


nasi kerabu Fauzi yang enak sekali...


Buat pengetahuan anda, nasi kerabu merupakan hidangan nasi yang asalnya bewarna kebiruan, dan biasanya dimakan dengan ikan goreng atau ayam goreng, keropok ikan , budu dan ulam-ulaman lain. Warna biru nasi terhasil daripada kelopak bunga telang yang digunakan dalam masakan. Kini kesukaran menyediakan pewarnanya, menyebabkan ia disediakan bersama nasi putih biasa atau warna nasi kerabu kuning yang dimasak dengan menggunakan kunyit. Nasi kerabu amat popular di negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu, dan sekarang ini ia boleh didapati di seluruh negara. Ia juga sering dimakan bersama solok lada.


Berbeza dengan nasi kerabu Fauzi kerana masih lagi mengekalkan nasi kerabunya yang berwarna biru bersama-sama ulam-ulaman, kelapa goreng, kuah lemak, budu dan ayam bakar atau daging bakar. Nasi Kerabu Fauzi memang sedap dan enak yang akan membuatkan pengunjung masih teringat-ingat akan keenakan dan pasti ingin kembali ke sini lagi. Keistimewaan nasi kerabu di sini kerana kelazatan ayam bakar dan daging bakarnya. Selain daripada itu juga,keistimewaan nasi kerabu di Kedai Fauzi Nasi Kerabu adalah kepekatan kuah lemaknya.


pekerja kedai ini sedang melayan pelangganya..


Jika ada kelapangan masa, pada hujung minggu saya akan ke Kuala Terengganu untuk cuti bersama-sama keluarga tersayang. Dan jika saya singgah ke sini, saya pasti akan bungkus nasi kerabu ayam bakarnya walaupun sudah bersarapan di sini. Bak kata pepatah melayu, tak kenal makan tak cinta dan sekali rasa nak lagi. Anda bila lagi mahu ke sini?..


Share

Wednesday, August 4, 2010

MENINJAU AKTIVITI MEMBUAT KEROPOK IKAN DI KUALA KEMAMAN

Keropok ikan adalah sejenis makanan ringan yang digemari oeh penduduk-penduduk dari pelbagai golongan di negara ini dan juga di negara jiran. Keropok adalah sejenis makanan ringan yang digemari ramai oleh penduduk Malaysia. Keropok lazimnya diproses daripada ikan, udang atau sotong yang diadun bersama tepung kanji dan/atau tepung sagu sebagai bahan utama, garam, gula dan MSG sebagai bahan perasa. Jenis-jenis ikan yang biasa digunakan untuk memproses keropok ialah ikan parang, tamban, selayang, kerisi, lolong bara, biji nangka, conor dan lain-lain.


Keropok yang bermutu boleh diperolehi bergantung kepada kesegaran ikan, jenis ikan yang digunakan, nisbah bahan utama serta proses penyediaan. Keropok yang bermutu juga dapat dinilai dari segi rasa, kerangupan serta kembang apabila ianya digoreng didalam minyak panas.



Jika anda ingin melihat bagaimana keropok ikan dihasilkan bolehlah singgah di Kedai Keropok Din Tanjung di Kuala Kemaman, Kemaman. Sebenarnya ramai pengusaha keropok ikan di sini, kebetulan semasa ziarah saya di Kuala Kemaman bulan lepas hati saya terpaut untuk singgah di Kedai Keropok Lekor Din Tanjung kerana nampak buatan keropoknya secara tradisional serta kecil-kecilan. Kedai ini adalah berdekatan dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kemaman, Kemaman.


kedai Keropok Lekor Din Tanjung..terletak di kawasan perkampungan nelayan di Kuala Kemaman


proses membuat keropok ikan masih lagi secara tradisional.....


keropok ikan yang pelbagai jenis potongan dan harga yang berpatutan..


Kedai ini membuat keropok ikan secara tradisional dan kandungan isi ikan pula adalah dari ikan-ikan tamban yang segar dan amat sedap sekali. Pengusaha keropok ini memulakan proses membuat keropok ikan pada awal pagi dan akan mengeringkannya di bawah sinar matahari selama beberapa hari sebelum dijual.


Sebenarnya aktiviti membuat keropok ikan adalah salah satu mata pencarian yang utama penduduk Kuala Kemaman selain daripada mencari ikan di laut.


Share

Monday, August 2, 2010

MAKAN SATE DI KEDAI SATE MASTURA, JABI

Kebiasaannya jika kami sekeluarga teringin makan sate, pasti kami akan ke Kedai Sate Mastura yang terletak di Kg Jabi, Jerteh. Sejak menikmati sate di kedai ini, tiada sate di tempat lain yang dapat menandingi keenakan sate di sini. Terdapat pelbagai jenis sate yang disediakan antaranya sate ayam, sate daging, hati dan tulang. Dan paling sedap jika dimakan di kedai dan masih lagi panas. Sebenarnya keenakan sate Jabi menjadi tumpuan penduduk dari negeri ini setiap kali mahu menikmati sajian tersebut.


Kedai Sate Mastura ini terletak kira-kira 80 kilometer dari bandar raya Kuala Terengganu, pengunjung hanya perlu mengambil masa selama satu jam untuk ke kawasan tersebut. Klik di sini untuk melihat lokasi tempat dan link ke google maps.



Kedai Sate Mastura....di sini juga ada disediakan homestay...


Mungkin sate di sini lain daripada lain kerana cara buatan kuah kacangnya yang berbeza daripada tempat lain. Selain daripada itu, kuah sate di kedai ini turut disediakan bersama-sama dengan cili kerana mungkin ada pelanggan yang sukakan kuah kacang yang pedas sedikit.


aktiviti memotong nasi impit, membakar sate dan mengisi kuah kacang..


proses membakar sate oleh pekerja kedai sate mastura...



sate daging yang masing panas..menyelerakan...

sate ayam....makan panas-panas sedap ni...


bersama dengan pengurus kedai sate jabi....Pn. Ramlah bt Dollah..


Daripada hasil wawancara bersama pengurus kedai sate mastura, dalam sehari hampir sebanyak 5,000 cucuk sate dijual dan sebanyak 45 kilogram nasi himpit ditanak . Seawal pukul 8 pagi, setelah bekalan ayam diperoleh, ia akan diproses sebelum diperap dengan rempah seketika dan kemudian mula dicucuk oleh beberapa orang pekerja. Rahsia keenakan sate mastura adalah dari resipi yang diperoleh oleh ibu mertua abangnya sejak zaman-berzaman kerana diproses secara tradisional.


sate sedap dimakan bersama nasi impit, hirisan timun dan bawang...



Menurutnya, setiap kali cuti sekolah atau cuti umum, gerainya akan dipenuhi pelanggan tidak kira penduduk tempatan mahupun dari luar. Tambahan pula, mereka tidak menerima sebarang tempahan ketika bulan puasa mahupun hari raya bagi meluangkan masa bersama keluarga dan beribadat.



Share

Sunday, August 1, 2010

MANDI DI LATA / AIR TERJUN BELUKAR BUKIT

Selepas ke Hutan Lipur Sekayu kami bergerak pula ke Air Terjun Belukar Bukit. Dari Hutan Lipur Sekayu hanya 6 km sahaja untuk ke sini. Kawasan perkelahan belukar bukit terletak 20km di selatan kuala berang.


Kawasan ini berbeza dengan keadaan di Hutan Lipur Sekayu, di mana jika di Hutan Lipur Sekayu sesak dengan ramai orang berbanding di sini tidak ramai kiranya privasi sedikit kerana semasa kami singgah di sini hanya terdapat tiga buah keluarga termasuk kami. Kiranya jika nak berkelah dengan tenang tanpa diganggu bolehlah memilih tempat ini.


untuk ke Lata Belukar Bukit, pengunjung perlu jalan terus


keindahan Lata/Air Terjun Belukar Bukit


Sebenarnya Lata belukar bukit adalah kawasan yang baru dimajukan dan popular di kalangan penduduk tempatan. Belukar bukit merupakan tempat perkelahan dan perkhemahan yang menarik. Alam semulajadi serta ketenangan dan kesejukan air menjadi tarikan utama ke kawasan ini.


suasana air terjun belukar


pengunjung sedang berendam dan makan di dalam air terjun belukar...


Kawasan ini kaya dengan flora dan fauna yang semulajadi dan kawasannya juga jauh dari bunyi bising. Pengunjung yang ke sini pasti akan merasa amat tenang dan damai. Tambahan pula bila berendam dengan airnya yang sejuk dan bersih.


pemandangan indah Air Terjun yang mendamaikan kepada sesiapa yang berkunjung ke sini


airnya yang sejuk.....mesti seronok mandi..... kena datang lagi ke sini...




Share

BERKELAH DI HUTAN LIPUR SEKAYU/AIR TERJUN SEKAYU

Pada hujung 2 minggu yang lepas, saya berkesempatan singgah ke Hutan Lipur Sekayu semasa perjalanan ke rumah kakak ipar di Kg.Jabi, Jerteh. Hutan Lipur Sekayu ini tersohor dengan airnya yang jernih dan sejuk.


Hutan Lipur Sekayu atau lebih dikenali juga dengan Air Terjun Sekayu terletak di dalam kawasan Hutan Simpanan Hulu Terengganu tambahan. Ianya berada di dalam daerah Hulu Terengganu, 16 kilometer dari Pekan Kuala Berang dan 56 kilometer dari bandar Kuala Terengganu. Hutan lipur tersebut mempunyai keluasan lebih kurang 405 hektar.

Jika anda ingin ke sini tanpa memandu sendiri, anda boleh menaiki bas dari Kuala Terengganu untuk ke Kuala Berang kemudian mengambil teksi untuk ke sini.




pintu gerbang masuk ke kawasan Hutan Lipur Sekayu

lokasi Hutan Lipur Sekayu (klik pada gambar untuk lebih jelas)


bergambar di depan Hutan Lipur Sekayu


Daripada pemerhatian saya semasa singgah di sini, kawasan tempat kereta di sini penuh dengan kereta dan beberapa buah bas persiaran. Ramai pengunjung yang datang ke sini kebiasaannya datang untuk berkelah atau mandi-manda di dalam air terjun sekayu. Airnya yang sejuk dan pemandangannya yang mendamaikan kepada sesiapa yang berkunjung ke sini.



rombongan penulis bergerak untuk masuk ke kawasan air terjun


Hutan Lipur Sekayu sememangnya terkenal dengan buminya yang kaya dengan pelbagai keunikan khazanah semulajadi. Hutan Lipur ini dihiasi indah dengan aliran sungai berair terjun yang dingin dan jernih pastinya menggamit suasana damai, nyaman lagi menyegarkan. Hutan semulajadinya yang berbukit dilitupi barisan hujan tropika yang menghijau, kaya dengan pelbagai spesies pokok termasuklah yang mempunyai khasiat perubatan yang tinggi juga terdapat di sini. Anda juga boleh mengenali pokok-pokok yang bernilai komersial dengan mudah kerana ia ditanda dengan nama serta keterangan ringkas.



ada juga taman orkid dalam Hutan Lipur Sekayu


taman herba ubatan pun ada...


Di sini juga terdapat banyak infrastruktur dan kemudahan-kemudahan rekreasi yang telah disediakan seperti tempat penginapan, taman permainan kanak-kanak, pondok rehat, tempat berkhemah, jalan dalam hutan (jungle tracking) dan lain-lain lagi. Selain daripada itu, kemudahan dewan turut disediakan kepada pengunjung untuk membuat aktiviti di dalam dewan contohnya sambutan hari keluarga atau lain-lain aktiviti.



gerai yang menjual pelbagai barang turut disediakan untuk pengunjung


Bagi yang cintakan keriangan, di sinilah tempatnya, boleh berkelah dan bergembira sambil mandi manda serta adakan sebarang aktiviti mengisi masa ceria anda di sini. Hutan lipur ini sememangnya sesuai untuk kita beristirehat, tidak kira sama ada bersama keluarga ataupun sahabat handai kerana ia bukan sahaja indah malah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas demi keselesaan kita.


tempat duduk turut disediakan..

dewan terbuka turut dibina di dalam Hutan Lipur Sekayu ni...

chalet yang boleh disewa kepada pengunjung yang ingin bermalam di sini

Keunikan hutan lipur ini ialah terdapat sebuah air terjun 3 peringkat yang cantik dan mempersonakan yang ianya merupakan daya tarikan utama kepada pengunjung ke sini tidak kira pengunjung dari dalam dan luar negeri. Air sungainya yang jernih dan sejuk membuatkan sesiapa sahaja melupakan segala masalah apabila mereka datang berkunjung ke sini.



ramai pengunjung yang sedang mandi


air terjun sekayu


Hayati dan terokai Hutan Lipur Sekayu...keunikan, keindahan dan keseronokan yang anda cari pastinya di sini.



Untuk keterangan lanjut dan pertanyaan, sila hubungi :


Pejabat Hutan Lipur Sekayu, 21700 Kuala Berang, Daerah Terengganu Barat,

Tel : 09-6252510


Pejabat Hutan Daerah Terengganu Barat, 21700 Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Tel : 09-6811259


Wisma Perhutanan Negeri Terengganu

Tingkat 8, Wisma Negeri, 20200 Kuala Terengganu, Malaysia. Tel : 609-6274123



Share
Related Posts with Thumbnails