Anda mempunyai akaun blogger?

Friday, August 20, 2010

MELAWAT KE MUZIUM NEGERI TERENGGANU

Artikel kali ini saya ingin berkongsi tentang lawatan kami sekeluarga ke Muzium Negeri Terengganu pada penghujung bulan Julai yang lepas. Sebenarnya sudah lama kami ke sana tetapi masa tidak mengizinkan untuk berkongsi cerita tersebut kepada pengunjung blog kerana kekangan masa di Bulan Ramadhan ini. Muzium ini terletak di Kampung Bukit Losong dan berdekatan dengan Taman Tamadun Islam.

uniknya rekabentuk Muzium Negeri Terengganu



lokasi Muzium Negeri Terengganu



bergambar di papan tanda Kompleks Muzium Negeri Terengganu


Daripada carian di dalam laman web Muzium Negeri Terengganu, muzium ini telah ditubuhkan pada tahun 1976 di bawah Enakmen Bil. 9 Tahun 1976 dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 28 Disember 1976, berkuatkuasa pada 1 November 1977. Bermula dengan sejarah jumpaan Batu Bersurat Terengganu di Kampung Buloh, Hulu Terengganu oleh Syed Hussein Ghulam Al Bukhari pada tahun 1902.


Batu Bersurat itu dibawa ke Singapura untuk disimpan dan dipamerkan di Muzium Gambar Raffles pada tahun 1923. Pada 3 Februari 1974, sebuah jawatankuasa untuk menguruskan hal ehwal yang berkaitan dengan penubuhan Muzium Negeri telah dibentuk. Pada Julai 1992, Batu Bersurat telah diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri Terengganu dari Muzium Negara.


Harga tiket untuk masuk ke muzium negeri ini hanya RM5.00 untuk dewasa manakala kanak-kanak di bawah umur 7 tahun ke atas hanya RM2.00 sahaja. Pelajar yang berpakaian seragam sekolah hanya dikenakan bayaran RM1.00 dan kanak-kanak di bawah umur 7 tahun adalah percuma.


pelan lokasi yang diambil daripada laman web Muzium Negeri Terengganu


pameran kenderaan antik di hadapan pintu masuk ke muzium


tangga untuk ke pintu masuk ke dalam Muzium...


Tasik yang terletak di aras bawah bangunan Muzium Negeri Terengganu,

kenderaan yang digunakan untuk melewati kawasan muzium dan gambaran pembuatan tembaga


Muzium ini mempamerkan sejarah kedatangan islam dan menyimpan semua artifak-artifak yang telah ditemui di negeri Terengganu. Selain daripada itu, muzium ini turut memaparkan semua gambaran aktiviti kraftangan di negeri Terengganu antaranya proses pembuatan sutera, tembaga, anyaman tikar, pembuatan bot, senjata dan lain-lain lagi. Salasilah dan pemasyuran Sultan dan Sultanah negeri Terengganu turut diabadikan di muzium ini. Sejarah pembangunan negeri Terengganu turut dipaparkan di sini. Selain daripada pameran tersebut, muzium ini turut menyediakan tontonan video yang boleh di kawal oleh pengunjung antaranya tentang penemuan batu bersurat dan cara-cara buatan semua kraftangan yang ada di negeri Terengganu.


Jika anda ke negeri Terengganu jangan lupa singgah ke Muzium Negeri Terengganu untuk melawat tempat yang penuh bersejarah ini. Bak kata pepatah melayu "Siapalah Kita Tanpa Sejarah".


Waktu Operasi Muzium ini ialah :

Hari Sabtu hingga Khamis

- bermula jam 9.00 pagi - 5.00 petang


Hari Jumaat

- bermula jam 9.00 pagi - 12.00 tengahari

- dibuka semula pada jam 3.00 petang - 5.00 petang


Hari Kelepasan Am

- bermula jam 9.00 pagi - 5.00 petang


Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha

- ditutup pada Hari Raya Pertama & Kedua sahaja



untuk keterangan lebih lanjut tentang Muzium Negeri Terengganu ini sila layari laman web : http://museum.terengganu.gov.my/



Share

Thursday, August 19, 2010

MENIKMATI PEMANDANGAN INDAH MASJID TERAPUNG DARI TAMAN AWAM LAGUN KUALA IBAI

Taman Awam Lagun Kuala Ibai yang terletak berhampiran dengan Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung). Kami sekeluarga singgah ke sini semasa ke masjid ini untuk melihat masjid terapung dari taman ini. Semasa kami mula-mula masuk ke taman ini melalui pintu gerbang yang tersergam indah, kelihatan tasik yang tenang yang berlatarkan masjid dan bukit. Semakin kami menyusuri jalan masuk ke dalam taman ini, kami dapat melihat beberapa sampan nelayan yang terdampar di tepi muara sungai di taman ini.



pintu gerbang ke Taman Awam Lagun Kuala Ibai


pemandangan yang indah berlatarkan muara sungai dan sampan nelayan


unik sekali binaan tembok pejalan kaki ini


Pemandangannya yang amat indah sekali dan menarik pengunjung ke sini. Pada pandangan saya, sampan tersebut adalah milik penduduk Kuala Ibai.Di kawasan ini, banyak dibina wakaf-wakaf yang berbentuk kubah yang bertujuan untuk pengunjung beristirehat selepas solat atau beribadah di Masjid Tengku Tengah Zaharah di sini. Selain daripada itu, taman ini membolehkan pengunjung menikmati pemandangan Masjid Tengku Tengah Zaharah yang terapung di dalam tasik berhampirannya.


taman permainan dan wakaf yang dibina di sini


Kawasan ini terdapat juga taman permainan yang dibina untuk menghilangkan kebosanan kanak-kanak semasa ahli keluarga yang lain menikmati pemandangan indah masjid terapung dari sini.


tempat untuk melihat pemandangan masjid terapung di taman ini


pemandangan indah masjid terapung dari taman ini



Share

Monday, August 16, 2010

TAMAN PERTANIAN SEKAYU - TAMAN AGRO

Jika artikel sebelum ini, saya telah menceritakan tentang kecantikan Air Terjun/ Hutan Lipur Sekayu kali ini saya ingin berkongsi tentang Taman Pertanian Sekayu. Sebenarnya taman ini terletak di dalam kawasan Taman Pelancongan Sekayu iaitu sebelum Hutan Lipur Sekayu. Pemandangan di sini amat cantik kerana kawasan ini adalah ditanam dengan pelbagai jenis pokok-pokok.


pintu gerbang Taman Pelancongan Sekayu dan pintu masuk Taman Pertanian Sekayu


Selepas anda melalui pintu gerbang Taman Pelancongan Sekayu dan dikenakan bayaran RM1.00 untuk tempat letak kereta, anda akan berjumpa Taman Pertanian Sekayu terlebih dahulu. Sejak dibangunkan kira-kira 25 tahun lalu oleh Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Taman Pertanian Sekayu (TPS) di Hulu Terengganu menjadi taman agro tumpuan penduduk Terengganu dan pelancong luar. Taman Pertanian Sekayu merupakan taman pertanian terbesar dengan keluasan 280 ekar. Terdapat pelbagai jenis tanaman buah-buahan tempatan seperti durian, rambutan, limau, cempedak, belimbing dan sebagainya. Di taman ini juga terdapat kolam rekreasi dan beberapa buah kolam ikan.


antara haiwan yang boleh dilihat di taman ini


Dengan keluasan kira-kira 85 hektar, pengunjung disajikan dengan pelbagai spesis bunga di taman bunga, kolam mandi, taman burung, tasik buatan untuk memancing dan berkayak, taman perikanan dan taman herba. Selain dilengkapi dengan taman permainan kanak-kanak di kaki bukit, terdapat juga beberapa kawasan yang sesuai dijadikan tempat berkelah atau berkhemah berhampiran anak sungai. Berhampiran taman perikanan, pengunjung boleh melihat pelbagai jenis haiwan seperti rusa dan arnab.


kolam yang disediakan di Taman Pertanian Sekayu


Semasa kami singgah di taman ini, terdapat sekumpulan pelajar daripada beberapa sekolah sedang berkhemah di kawasan ini. Kawasan ini memang indah, menarik dan mempunyai pelbagai kemudahan serta selamat sebagai kawasan perkhemahan. Selain daripada itu, taman ini memang sesuai diadakan majlis untuk Hari Keluarga dan lain-lain lagi. Jadi tidak rugi jika anda bertandang ke sini kerana terdapat pelbagai aktiviti yang boleh anda lakukan.



pohoh-pohon yang hijau dan indah...


Share

Sunday, August 15, 2010

PELBAGAI AKTIVITI DI PANTAI BATU BUROK, KUALA TERENGGANU

Pantai Batu Burok adalah pantai yang popular dan terletak 1 kilometer dari bandar Kuala Terengganu. Pantai ini adalah berhampiran dengan Hospital Sultanah Nur Zahirah dan berhadapan dengan Hotel Primula. Selain daripada Hotel Primula yang bertaraf 4 bintang, terdapat juga Batu Burok Beach Resort yang bersebelahan dengan pantai ini yang menyediakan penginapan yang berpatutan harganya.


bergambar di samping papan tanda dan pemandangan bangunan berhampiran pantai


Pantai ini amat unik sekali kerana pada setiap petang pelbagai aktiviti yang boleh anda lakukan. Antaranya ramai pengunjung ke sini untuk menikmati udara pantai dan meluangkan masa bersama-sama keluarga. Selain daripada itu juga, anda boleh cuba bermain layang-layang kerana ianya mudah ditemui di sini dan dijual oleh peniaga layang-layan di sekitar Pantai Batu Burok. Mungkin juga anda akan lihat ada pengunjung yang bersiar-siar dengan menaiki kuda di tepi pantai. Jika anda bernasib baik, mungkin terdapat juga aktiviti seperti pertunjukan pencak silat, pertandingan sepak raga, permainan gasing dan lain-lain kebudayaan Melayu yang akan diadakan di sini.


penjual layang-layang di tepi pantai ini


pengunjung yang leka bermain layang-layang


pemandangan aktiviti pengunjung di pesisir pantai...


pengunjung bersiar-siar di pesisir pantai dengan menaiki kuda


Jika selain daripada bulan puasa dan anda ingin menikmati makanan pada siang hari, deretan kedai di hadapan pantai menyediakan pelbagai makanan. Bagi tidak menghampakan kanak-kanak, di Pantai Batu Burok turut menyediakan tempat permainan. Selain daripada itu, di kawasan pantai ini turut menyediakan surau kepada pengunjung untuk solat.


Tidak rugi anda ke sini walaupun pantainya tidak sesuai untuk mandi manda. Oleh itu, jika anda ke Kuala Terengganu jangan lupa singgah ke Pantai Batu Burok.



Share

Saturday, August 14, 2010

MELAWAT KE KAMPUNG CINA TEMPAT YANG PENUH BERSEJARAH

Hari ni saya ingin berkongsi tentang satu tempat bersejarah dan tersohor di Kuala Terengganu iaitu Kampung Cina. Kampung Cina ini adalah terletak di muara Kuala Terengganu. Kampung Cina amat unik dan cantik kerana jalannya bukannya ditutupi dengan turap tar tetapi batu bata yang berwarna warni. Selain daripada itu tiang lampunya juga amat menarik sekali.


pintu gerbang di Kampung Cina



Jika anda bermalam di Hotel Seri Malaysia Kuala Terengganu, amat mudah sekali untuk ke sini kerana kedudukan Kampung Cina ini adalah bersebelahan dengan hotel tersebut. Hotel ini amat cantik sekali kerana dibina di tepi muara Kuala Terengganu dan amat strategik untuk anda jika ingin ke tempat-tempat lain di kawasan Kuala Terengganu. Semasa saya melewati kawasan ini pada waktu senja, kawasan ini penuh dengan kedai-kedai orang cina yang sibuk dengan urusan masing-masing. Keadaan tersebut amat bersesuaian sekali kawasan ini dengan panggilan “China Town”.


suasana senja di Kampung Cina, Kuala Terengganu


penulis di depan pintu gerbang Kampung Cina


Daripada pembacaan saya di dalam internet, Kampung Cina ini telah wujud semenjak sekian lama dan ia merupakan perkampungan pedagang Cina yang berdagang antara China dan Semenanjung Tanah Melayu yang bermula semenjak awal abad ke 15. Oleh yang demikian, kewujudan Cina adalah bukti wujudnya hubungan perdagangan erat antara kerajaan China dan Kerajaan Terengganu. Pada pendapat saya, Kampung Cina adalah saling tidak tumpah seperti di kawasan perkampungan Baba dan Nyonya di negeri Melaka. Kiranya perkampungan ini wujud sejak sekian lama semasa zaman kegemilangan negeri Melaka iaitu semasa menjalankan perdagangan dengan negara China.


Jika anda ingin merasai sendiri suasana Kampung Cina yang penuh bersejarah ini, jangan lupa singgah ke sini.


* Lawatan ke Kampung Cina kali kedua.




Share

Thursday, August 12, 2010

KEMERIAHAN MUSIM BUAH : BUAH DURIAN

Selamat menyambut bulan Ramadhan diucapkan kepada semua pengunjung yang sudi singgah ke blog ini.


Mungkin pengunjung dari luar akan mencari-cari apakah perkara yang menyeronokkan di negeri Terengganu selain daripada menjelajah ke tempat-tempat yang menarik. Jawapannya ialah menikmati buah-buahan semasa musim buah di sini. Sebenarnya musim buah akan berlaku di seluruh negara kita yang bertuah ini pada setiap tahun dan negeri Terengganu adalah tidak terkecuali.


Artikel kali ini saya ingin berkongsi perkara yang sama dengan artikel sebelum ini iaitu tentang musim buah di negeri Terengganu. Musim buah di negeri Terengganu adalah terlalu istimewa kerana mempunyai sejenis buah yang namanya di ambil sempena nama negeri Terengganu iaitu duku Terengganu. Buahnya berbeza dengan duku yang lain kerana manis.


buah durian.....


Sebelum ini saya pernah bercerita tentang aktiviti mengutip buah di dusun di Kg Jabi, Jerteh. Disebabkan terlalu banyak sehinggakan buah-buahan tersebut dan hampir busuk.Buah durian yang diambil daripada dusun tersebut saya cuba hasilkan pelbagai masakan selain daripada tempoyak. Kali ini saya ingin berkongsi tentang masakan daripada buah durian. Selain daripada dimakan, buah durian turut boleh dibuat pelbagai jenis masakan yang menyelerakan dan amat sesuai dijadikan sebagai pencuci mulut. Malah ianya amat sesuai sekali untuk dijadikan menu untuk berbuka di bulan Ramadhan ini.


Masakan yang biasa saya sediakan daripada isi buah durian ialah jemput durian, bubur kacang durian dan bubur pulut durian. Selain daripada itu masakan yang boleh disediakan daripada isi buah durian ialah awajik durian, lempuk durian dan masakan berasaskan lauk-pauk seperti ikan patin masak tempoyak. Mungkin ada antara pengunjung yang pening untuk memikirkan resepi untuk berbuka puasa pada hari ini. Semoga dengan perkongsian saya kali ini dapat memberi idea. Selamat mencuba.


bubur kacang dan pulut durian


jemput durian...


awajik durian


patin masak tempoyak


cara-cara lempuk durian diproses dan cara pembungkusannya supaya tahan lama...


Share

Tuesday, August 10, 2010

LAUK BERHIDANG DI RESTORAN MAT BINJAI, KUALA TERENGGANU

Mungkin ada pembaca di luar ingin mencari makanan dari masakan tradisional melayu negeri Terengganu. Jadi artikel kali ini saya akan berkongsi dengan pembaca di luar tentang sebuah restoran yang popular di sini. Restoran yang di maksudkan ialah Restoran Mat Binjai yang berada di tengah bandar Kuala Terengganu dan terletak di Jalan Sultan Sulaiman. Restoran ini menyediakan masakan tradisional melayu negeri Terengganu seperti masakan ikan baung, sayur lemak campur, ayam kampung dan lain-lain.

Restoran Mat Binjai yang sentiasa ramai pengunjungnya


lokasi Restoran Mat Binjai di dalam peta


Keistimewaan restoran ini ialah pemiliknya menyediakan semua lauk pauk kepada pengunjungnya dengan cara berhidang. Selain daripada itu lauk yang tidak akan terkecuali yang dihidangkan bersama-sama lauk pauk yang lain ialah telur penyu. Kepada pengunjung di luar yang ingin merasai keenakan telur penyu bolehlah singgah di sini jika sukar untuk mendapatkan telur tersebut.


lauk-pauk yang disediakan secara berhidang, telur penyu adalah hidangan wajib


Harga makanan di restoran ini adalah berpatutan dan harga adalah berdasarkan jenis lauk yang anda telah makan atau sentuh walaupun tidak dihabiskan.


Share
Related Posts with Thumbnails