Anda mempunyai akaun blogger?

Monday, January 30, 2012

LE TOUR DE LANGKAWI PROMOSI TERENGGANU DI 70 NEGARA






Perlumbaan jelajah berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) kini sudah menjadi satu jenama kepada acara berbasikal di rantau ini yang bakal memasuki edisi ke-17 bermula 24 Februari depan.


Terengganu terus meniti kemasyhuran sebagai kuasa baru sukan negara apabila melakar sejarah sebagai negeri pertama menjadi tuan rumah siri penjelajahan berstatus dua hors pada kalendar perlumbaan Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, perlumbaan 10 hari yang berakhir di Terengganu pada 4 Mac depan bakal memberi impak besar kepada sektor sukan dan industri pelancongan negeri untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, liputan media antarabangsa dari 70 buah negara bukan sekadar mempamerkan aksi kayuhan 22 pasukan profesional, malah mampu menjana peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.

“Liputan media asing sudah tentu memberi promosi meluas kepada Terengganu menerusi penyiaran kepada ratusan juta penonton,” katanya selepas majlis penyerahan penajaan LTdL bernilai RM1 juta di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.



Pengarah Pengurusan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Ab. Jalil Abdullah menerima tajaan berkenaan daripada Menteri Besar yang mewakili penganjur iaitu Kementerian Belia dan Sukan, MSN dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF). 


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB. Rozi Mamat dan Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, melalui pengenalan konsep penajaan venue yang pertama kali diperkenalkan dalam penganjuran LTdL, Terengganu tampil mengambil bahagian dalam inisiatif berkenaan.

Menurutnya, konsep itu memecah tradisi penganjurannya yang tidak melibatkan Langkawi dan ia sama seperti konsep Tour de France di mana lokasi permulaan jelajah terbesar itu diadakan di banyak lokasi seperti Monaco, London, Dublin dan Amsterdam.

“Dengan komitmen yang diberikan Kerajaan negeri, penganjur juga akan memberi peluang kepada rakyat negeri ini menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu beraksi,” jelasnya sambil merujuk kepada pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) yang turut serta.

Beliau turut meminta penganjur menjemput pasukan seperti Champion System dari China yang membarisi dua pelumba kelahiran Terengganu, Anuar Manan dan Adiq Husainie Othman serta OCBC Cycling Team, Singapura yang disertai Ahmad Haidar Anuawar, pelumba kelahiran Kemaman.

“Tidak kiralah apa pasukan yang mereka wakili, apa yang penting ialah pelumba itu kelahiran Terengganu dan ia akan memberi rasa bangga buat rakyat negeri ini nyatakan sokongan ketika perlumbaan berlangsung,” katanya.

Pada edisi kali ini, Terengganu akan menjadi hos kepada tiga peringkat perlumbaan iaitu peringkat kelapan dari Pekan, Pahang ke Chukai sejauh 100.8km, diikuti dua peringkat berikutnya iaitu Kemasik-Kuala Terengganu (165.7km) dan Tasik Kenyir-Kuala Terengganu (114.8km).


*sumber dari akhbar TEGANUKITA

1 comments:

Norhaizan Abd Kadir said...
This comment has been removed by the author.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails