Anda mempunyai akaun blogger?
Showing posts with label Kesenian. Show all posts
Showing posts with label Kesenian. Show all posts

Friday, November 26, 2010

FESTIVAL BATIK, SONGKET DAN KRAFTANGAN 2010 DI TTC

Saya terbaca sebuah artikel di dalam akhbar online Teganuhariini tentang sebuah program yang sedang berlangsung sekarang secara besar-besaran di Pusat Dagangan Terengganu (TTC). Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menganjurkan festival batik, songket dan kraf Terengganu 2010 bermula 25 November ini sehingga 4 Disember 2010. Program ini akan berlangsung selama dua minggu dan semua penduduk seluruh negara dijemput hadir untuk memeriahkan lagi program tersebut. Sekiranya anda tercari-cari di manakah Pusat Dagangan Terengganu ini terletak di mana, sila klik di sini untuk ke google maps.



Objektif utama festival selama dua minggu itu bertujuan merealisasikan peranan industri kraf sebagai pemangkin pembangunan ekonomi dan sosioekonomi negeri dan negara. Selain itu, ia dapat memberi peluang kepada usahawan dan pengusaha industri kraf mempromosi dan mengetengahkan produk mereka kepada masyarakat umum selain peluang mencari rakan niaga.



cara menenun songket


demonstrasi mencanting batik


Kebetulan pula pada 30hb November nanti saya akan mengikut Encik suami ke Pulau Pinang kerana ada Konvensyen di salah sebuah hotel di Batu Feringgi dan kami sekeluarga akan singgah di Kuala Terengganu terlebih dahulu sebelum bertolak ke sana. Jadi dapatlah saya singgah ke festival ini untuk melihat program yang sedang berlangsung itu. Mungkin ada pengalaman yang boleh saya kutip semasa berada di dalam festival itu nanti.


Share

Monday, September 20, 2010

REKABENTUK BAZAAR WARISAN BERCIRIKAN SENIBINA TRADISIONAL TERENGGANU

Semasa pertama kali melihat rekabentuk bangunan Bazaar Warisan yang terletak berhadapan dengan Pasar Besar Kedai Payang atau dikenali Pasar Payang, hati saya terdetik bazar ini merupakan antara bangunan yang paling cantik rekabentuknya yang pernah saya jumpa di bandar Kuala Terengganu ini. Bazaar Warisan ini pasti mempersonakan kepada semua pengunjung yang lalu-lalang di sini. Rekabentuknya yang bercirikan senibina tradisional negeri Terengganu dan amat unik sekali.



pandangan hadapan di Bazaar Warisan


pandangan sisi Bazaar Warisan pada waktu pagi semasa peniaga sibuk membuka kedai masing-masing



Kedai yang dibuka di bazar ini sebenarnya sama sahaja di Pasar Payang iaitu menjual songket, batik, kraftangan dan pelbagai barangan lagi. Tetapi kedai-kedai di sini lebih eksklusif dan unik serta lebih luas berbanding di Pasar Payang. Selain daripada itu, pemandangan di atas bazar ini amat indah kerana menghadap ke laut dan dari tingkat atas dapat melihat keindahan muara Sungai Terengganu dengan jelas.



kualiti barangan dan harganya sama dengan di Pasar Payang tetapi kedainya yang eksklusif dan unik


Semasa berlegar-legar di dalam bangunan ini, saya berkenan dengan sebuah kedai yang menjual barangan cenderamata. Kedai yang dinamakan sebagai Batrisha Craft T5-3 tersebut menjual barangan cenderamata yang amat menarik sekali. Mungkin artikel akan datang saya akan cuba menonjolkan artikel tentang barangan cenderamata yang dijual di situ.



Di Bazaar Warisan ini, kita tidak perlu susah untuk naik tangga untuk ke tingkat seterusnya kerana terdapat eskalator atau tangga bergerak yang disediakan kepada para pengunjung. Selain daripada itu, daripada tangga bergerak tersebut para pengunjung boleh terus ke puncak Bukit Puteri tanpa menaiki tangga seperti sebelum ini.



tangga bergerak yang disediakan kepada pengunjung


Pulau Duyong yang boleh dilihat dari atas Bazaar Warisan ini


Share

Sunday, September 5, 2010

KEUNIKAN DI KOTA LAMA DUYONG, PULAU DUYONG

Persinggahan ke tempat menarik yang telah kami lakukan semasa berada di Kuala Terengganu pada dua minggu yang lepas ialah di Kota Lama Duyong. Kota Lama Duyong berada ditengah-tengah kawasan perkampungan nelayan di Pulau Duyong dan mudah untuk dijumpai kerana ianya merupakan satu-satunya bangunan yang unik di sini. Semasa kami singgah ke sini, petugas yang bertugas di sini menerima kehadiran kami dengan baik sekali.


Kota Lama Duyong dari luar pagarnya


Antara gambar yang diambil di Kota Lama Duyong

papan tanda ke Kota Lama Duyong dan catatan berkenaan Kota Lama Duyong


Pulau Duyong merupakan sebuah pulau di muara Sungai Terengganu. Dahulunya, ia terbahagi kepada Pulau Duyong Besar dan Pulau Duyong Kecil, tetapi pemendapan dan longgokan pasir telah menyatukannya dan juga merubah garis pantainya. Suatu kawasan pendapan baru telah dimajukan menjadi Resort Teluk Warisan yang menjadi tuan rumah kepada lumba kapal layar tahunan Piala Monsun.


Daripada carian sejarah Pulau Duyong, saya dapati yang Pulau Duyong dahulunya menjadi penginapan ulama terkenal Tok Syeikh Duyong(1802-1889), yang disegani istana dan juga rakyat, dan keturunannya, dan merupakan tempat pengajian agama. Kota Lama Duyong ialah peninggalan zaman itu. Oleh kerana bentuk geografinya dan keertian lokasinya dalam keilmuan agama, Pulau Duyong pernah dirujuk sebagai 'lidah Terengganu'.


Daripada tulisan tugu tanda Kota Lama Duyong ini mencatatkan :


“ Kota Lama Duyong terletak di Pulau Duyong kira-kira tujuh kilometer dari Pusat Bandar. Kota Duyong mempunyai 9 buah bumbung yang menutupi beberapa bahagian yang bersambungan dengan dapur, bilik mandi, sarung, beranda dan titian. Reka bentuknya mirip Istana Kecil Raja Melayu tetapi diperkayakan lagi dengan memasukkan unsur-unsur pengaruh seni bina asing seperti Corinthian atau Mesir terutama pada tiang dan dinding batu. Bangunan (rumah) ini memperlihatkan jenis rumah tradisional Melayu Terengganu iaitu Bujang Berepeleh, Lima Bungkus dan Potong Belanda dengan dihias ukiran sobek di sekeliling beranda.”


penerangan setiap bahagian di dalam di Kota Lama Duyong dan ruangan dapur kelihatan di dalam gambar atas


antara pameran yang ada di dalam Kota Lama Duyong


ruangan beranda untuk beristirehat dan gambar paling kiri di atas ialah perigi yang digunakan pada zaman dahulu di sini


Selepas persinggahan kami ke sini, barulah saya dapati yang sejarah Kota Lama Duyong amat bernilai khasnya untuk negeri Terengganu dan amnya untuk negara Malaysia. Warisan ini amat bernilai sekali dan sememangnya sepatutnya dijaga dengan baik sebagai tarikan untuk aktiviti pelancongan.



Share

Thursday, September 2, 2010

KEUNIKAN SURAU HAJI MOHD KERINCI, KUALA TERENGGANU

Artikel kali ini saya ingin berkongsi dengan pengunjung blog tentang surau yang unik dan penuh dengan kesenian yang terletak di dalam bandar Kuala Terengganu. Sebenarnya saya pun tidak dapat mengesan sejarah surau ini dan tahun bila ianya dibina. Tetapi daripada binaan dan kesenian surau ini, dapat saya gambarkan surau ini adalah antara surau yang tertua yang terdapat di negeri ini. Surau yang dimaksudkan ialah Surau Hj Mohd Kerinci, Tanjung, Kuala Terengganu.


papan tanda Surau Haji Mohd Kerinci


Surau Hj Mohd Kerinci ini terletak berhampiran dengan Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu. Saya berpeluang ke sini semasa berkunjung ke bazar ramadhan di Dataran Syahbandar pada minggu yang lepas. Apa lagi, apabila terlihat sesuatu yang unik saya tidak akan melepaskan peluang untuk mengambil gambar surau tersebut untuk dijadikan bahan di dalam blog ini.


Apa yang uniknya, surau ini ialah dengan kesenian kayu yang ditonjolkan dan juga masih mengekalkan binaan asal walaupun kemajuan senibina negara pada masa kini pada tahap yang amat membanggakan. Selain daripada itu apa yang menarik perhatian saya terhadap surau ini ialah sumber air yang digunakan untuk mengambil wuduk hanya menggunakan air telaga dengan dibantu oleh jentera (enjin) untuk mengalirkan air keluar dari telaga tersebut. Dan disampingnya terdapat timba yang diperbuat daripada tembaga sebagai ikon terhadap surau ini walaupun kelihatan ianya jarang digunakan oleh pengunjung surau ini kerana terdapat pili air disekeliling telaga tersebut. Mungkin sebelum ini, timba tembaga tersebut digunakan secara sepenuhnya untuk mengambil air dari dalam telaga.


antara keunikan dan kesenian yang ada di surau ini


timba tembaga yang tergantung di batang kayu


Pada pendapat saya, surau ini sepatutnya dikekalkan sebegini rupa supaya generasi pada masa kini dapat melihat sendiri keunikan dan kesenian negeri Terengganu. Saya menyokong usaha kerajaan negeri Terengganu dengan menganjurkan pelbagai program untuk menarik pelancong ke negeri yang kaya dengan warisan yang sungguh bernilai ini.


Share

Sunday, July 11, 2010

MAJLIS PENTAULIHAN GURU SILAT DI TAMAN BANDAR CUKAI, KEMAMAN

Dalam perjalanan untuk ke Masjid Kemaman pada 10hb Julai (Sabtu), saya sempat melihat aktiviti yang sedang dilakukan di Taman Bandar Cukai, Kemaman. Taman ini adalah berhadapan dengan bangunan Majlis Perbandaran Kemaman.


Daripada banting yang digantung, saya dapat mengagak YAB Dato' Ahmad bin Said datang membuat lawatan kerja di sini. Mungkin saya belum terlewat kerana Majlis Pentauliahan kepada 87 orang guru silat di Padang Astaka yang terletak di taman ini sedang berlaku . Seramai 6000 lebih pesilat-pesilat dan pelajar-pelajar sekolah dari negeri Terengganu, Kelantan, Johor, Perak dan Pahang yang menghadiri majlis ini.


Sebenarnya aktiviti seperti ini adalah dapat menarik pelancong ke sini. Seni silat adalah salah satu daripada cabang kesenian di negeri ini. Kerajaan negeri Terengganu merancang untuk mengumpulkan semua tok guru seni persilatan Melayu di negeri itu untuk mendokumentasi ilmu seni pertahanan diri dalam usaha memastikan ia tidak pupus ditelan zaman
. Difahamkan di Terengganu terdapat sebanyak 145 buah persatuan perguruan persilatan yang berdaftar termasuk Silat Cekak Hanafi, Silat Gayong, dan Silat Cekak Malaysia. .


Mungkin artikel seterusnya saya akan berkongsi cerita tentang seni silat negeri ini pula
. InsyaALLAH..


taman bandar cukai yang luas dan banyak kemudahan menggamit pengunjung ke sini untuk menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Kerajaan Negeri Terengganu


banting semasa aktiviti di Taman Bandar Cukai sedang berlaku


ramai pengunjung yang datang untuk menyertai program ini


bangunan Majlis Perbandaran Kemaman yang indah dan berhadapan dengan Taman Bandar Cukai


taman permainan adalah salah satu kemudahan yang terdapat di Taman Bandar Cukai


Taman Bandar Cukai adalah satu kawasan yang sesuai untuk dilakukan pelbagai aktiviti di sini. Kawasannya yang luas dan mempunyai pelbagai kemudahan serta ianya turut berhampiran dengan Masjid Kemaman.



Share
Related Posts with Thumbnails