Anda mempunyai akaun blogger?

Wednesday, November 3, 2010

KEMENANGAN INI ADALAH UNTUK SEMUA

Jutaan terima kasih diucapkan kepada YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Negeri Terengganu , Kerajaan Negeri Terengganu, Unit Komunikasi Negeri Terengganu dan kepada semua pihak yang terlibat kerana memberi peluang kepada peserta-peserta pertandingan blog ini untuk bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan negeri untuk mempromosikan Terengganu sempena Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan. Daripada penilaian saya sendiri dengan melihat persembahan blog-blog peserta yang layak untuk pertandingan ini sebenarnya amat sengit sekali dan amat tipis sekali untuk saya mendapat kedudukan tempat yang pertama, kedua, ketiga, keempat dan kelima mahupun saguhati. Daripada bacaan ulasan hakim yang dipaparkan pada hari ini di dalam blog penganjur, mungkin ada antara kriteria pemilihan blog ini sebagai yang terbaik ada pada blog ini.



Memang saya akui, blog ini masih banyak kekurangan dan tidak sehebat blog-blog yang lain dan perlu banyak membuat pembaikan. InsyaAllah dalam masa datang saya cuba untuk melakukan beberapa pembaikan untuk cuba menangani kelemahan tersebut. Saya mengharapkan pihak di luar mengkritik secara membina untuk memastikan persembahan blog ini lebih kemas yang mempunyai informasi yang menarik serta bertujuan untuk mempromosikan pelancongan negeri Terengganu.



kemenangan yang tidak dijangkakan....


bersama pemenang tempat pertama mengikut kategori


Sebenarnya pada permulaan blog ini dibina pada awal bulan Julai, dek sikap tamak untuk mendapatkan 75 artikel sebagai syarat pertandingan saya cuba menyalin daripada beberapa artikel daripada laman-laman web lain tanpa menyatakan sumber yang diambil. Tetapi selepas membaca dengan teliti beberapa syarat yang perlu diikuti dengan berulang kali, saya melakukan beberapa perubahan dan cuba membuat artikel mengikut acuan sendiri iaitu menceritakan langkah demi langkah pengalaman yang saya alami sendiri walaupun mungkin kekurangan dari segi tatabahasa dan kurang sedap dibaca. Memang saya akui, artikel yang saya coretkan selama ini tidaklah sehebat penulis novel mahupun pemberita di luar sana.



Pada setiap hujung minggu kami sekeluarga akan mencari bahan di seluruh negeri Terengganu mengikut kawasan yang terdekat dahulu. Contohnya pada minggu pertama ke daerah Kemaman dan minggu seterusnya ke daerah-daerah yang lain pula. Kami akan membuat perancangan terlebih dahulu untuk memastikan pada setiap minggu saya dapat menyediakan sebanyak 7 artikel dalam seminggu. Dan dalam masa sehari sepanjang kunjungan-kunjungan itu, dapat saya ke lokasi-lokasi yang menarik lebih dari 10 tempat atau 10 bahan seminggu. Selain itu, ada juga tempat menarik yang saya sempat singgah semasa laluan untuk balik ke kampung halaman di negeri Kelantan. Saya amat beruntung kerana suami dan anak-anak memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang pertandingan ini berlangsung kerana kami sekeluarga sukakan aktiviti sebegini, manakala rakan-rakan sekerja pula turut menyokong serta mengkritik jika terdapat kesalahan dalam setiap artikel yang saya paparkan.



Memang saya akui, kebanyakan tempat yang kami singgah semasa mencari bahan-bahan untuk di masukkan ke dalam blog ini mempunyai keistimewaannya tersendiri. Ada juga tempat yang amat menakjubkan seperti di air terjunnya terutamanya yang paling tidak dapat dilupakan di Air Terjun Cemerong yang pasti akan saya jejaki lagi selepas ini. Begitu juga dengan pantai-pantai di negeri Terengganu yang bersesuaian untuk dijadikan tempat beriadah seperti di Pantai Batu Burok. Selain daripada itu makanan popular di negeri Terengganu seperti satar, otak-otak, ikan celup tepung, keropok lekor dan lain-lain lagi turut menjadi satu tarikan untuk pengunjung ke sini.



Walaupun banyak masa yang diluangkan untuk menyiapkan blog ini tetapi bagi saya ianya amat berbaloi-baloi kerana dapat merasai sendiri tempat alam semulajadi di negeri ini seperti di pantai-pantainya, air terjunnya dan makanannya yang enak-enak belaka. Dan walaupun banyak masa dan wang ringgit dicurahkan tetapi ianya amat berbaloi-baloi kerana negeri Terengganu di hatiku. Dan akhir sekali, sebenarnya kemenangan blog ini adalah untuk semua kerana bukan hanya untuk diri saya seorang tetapi kepada mempromosikan pelancongan negeri Terengganu.


Saya meminta maaf jika kemenangan blog ini menyebabkan pelbagai spekulasi yang kurang enak dilemparkan kepada pihak yang berkenaan. Mungkin kerana rezeki menyebelahi saya pada kali ini, dan mungkin rezeki anda pada masa akan datang lebih hebat daripada ini. Percayalah setiap manusia adalah hebat dan telah ditentukan rezeki masing-masing. Akhir kata marilah kita bersama-sama cuba untuk mempromosikan negeri Terengganu sesungguhnya berbaloi-baloi di Terengganu Kita.



6 comments:

Zqah Ismail said...

tahniah kak ! =)

umi.... said...

thanks Zqah..

Ustaz Love said...

Salam...

Tahniah atas kemenangan ;)

umi.... said...

thanks ustaz...:)

Trgbesh said...

yer betul...tahniah sekali lagi Haizan...

umi.... said...

lyana thanks...tahun dpn ada lg blog contest mcm ni awak mesti masuk juga...saya pencen dh kot....saya sokong awak pl....

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails